Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberi pinjaman iman dan segala nikmat yang dikecapi tanpa boleh dihitung oleh kita sebagai hamba.
Semakin lama semakin jarang menulis di sini. Mungkin kadangkala saya berfikir bekali-kali untuk menulis dan pada akhirnya tidak berkesempatan mencoret sesuatu di sini. Mahu menulis namun mestilah sesuatu yang bermanfaat kepada yang membaca.
Orang kata, bukan mudah kita mahu bernafas dalam jiwa hamba. Apabila kita mula mahu bernafas dalam jiwa hamba, ada saja seribu satu halangan yang mendatang. Dunia pekerjaan dan dunia menuntut ilmu mempunyai suasana yang amat berbeza. Walaupun hakikatnya setiap hari kita belajar sesuatu yang baru, ia bukan mudah seperti ketika menuntut ilmu dahulu. Kita bergaul dengan segenap lapisan umur yang berlainan latar belakang pendidikan.
Futur
Hingga satu masa kita rasakan diri kita terkena penyakit futur. Salah satu tanda-tanda futur ialah apabila kita daripada seorang yang rajin beribadah, kuat bekerja, thabat di jalan dakwah tiba-tiba menjadi malas bekerja,malas beribadah, berat tulang di jalan agama Allah.
Jika ada tanda-tanda seperti ini, awasilah diri kita daripada penyakit futur terus merebak dan bermaharajalela dalam diri kita.
Rawatan?
1- Membaca, merenung dan memikirkan kandungan al-Quran.
2-Merasakan keagungan Allah.
3- Mendalami ilmu syariat.
4-Mencari persekitaran dan sahabat soleh.
5-Memperbanyakkan kerja amal.
6-Tumbuhkan rasa takut su’ul khatimah (kesudahan yang buruk)
7-Banyak mengingati mati.
8-Kepatuhan dan berlepas diri daripada orang kafir
9-Muhasabah jiwa ketika datang kelemahan
10-Menelaah kisah teladan salafussoleh
Moga-moga dengan rawatan yang diberikan kepada diri kita mampu dijakdikan antibodi daripada serangan penyakit futur.
Mulakan dengan diri kita
Jika mahukan saudara di sekeliling kita menjadi baik, mulakan dulu dengan diri kita. Jika mahukan saudara kita tetap kuat melangkah ke depan di jalan agama Allah yang banyak likunya dan penuh duri, mulakan dahulu dengan diri kita.
Nikmat yang paling berharga apabila masih ada sahabat yang sudi menegur kelemahan kita, memimpin tangan kita saat kita terjatuh dan mengingatkan kita saat kita terlupa. Itulah nikmat hidayah Allah swt yang didatangkan melalui sahabat kita. Ucaplah seribu penghargan kepada mereka kerana tanpa mereka siapalah kita yang tak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan.