Pages

Feb 28, 2012

Ciri-ciri Lelaki Dayus

Assalamualaikum wbt.






Lelaki dayus apabila :

  • Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh badan isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau sepanjanjang berada di luar rumah.
  • Membiarkan isterinya balik lewat daripada kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yg menghantarnya.
  • Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya yang dewasa terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor @ apa jua kenderaan sepanjang yg menyebabkan aurat terlihat.
  • Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya @ teman lelaki bukan mahramnya.
  • Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa sporting yg memahami
  • Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian seksi di luar rumah.
  • Membiarkan anak perempuannya yg memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan sebagainya sehingga mempamerkan auratnya kepada jutaan manusia bukan mahram.
  • Membiarkan isteri @ anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu lelaki dihilangkan? Tidak sekali-kali.
  • Membiarkan isterinya kerja dan keluar tumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
  • Membiarkan isterinya disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan sepertinya.
  • Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
  • Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawat oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
  • Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa rasa cemburu.
  • Membiarkan isteri kerap berdua-duaan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
 Sumber : Majalah i - Feb 2012

Feb 25, 2012

Sifir Kelalaian Orang Kampung Dan Bandar

Assalamualaikum wbt.




Semasa dalam perjalanan ke satu mesyuarat, saya singgah di sebuah masjid untuk solat Zohor. Suasana sunyi di sekitar masjid. Mungkin belum tiba waktu Zohor pada masa itu. Mata saya ligat melihat sekeliling, bimbang juga dengan keadaan diri yang berseorangan. Setelah memastikan semuanya selamat, saya turun dari kereta.

Berjalan terus ke bahagian perempuan. Setelah naik ke masjid, melihat keadaan lantai yang penuh dengan habuk dan najis cicak, hati tergetus semacam sudah lama sungguh tak digunakan walhal masjidnya sungguh indah dan besar. Umur masjid saya agak lebih kurang 2-3 tahun.

Hati berbisik sendirian, mungkin kurang jemaah perempuan di sini. Deru angin yang kuat memandangkan kawasan tersebut berdekatan dengan pantai memecah kesunyian. Terasa sedih memandangkan masjid tersebut tidak digunakan sebaiknya oleh penduduk setempat. Saya mencari-cari juga kalau2 ada penyapu dek kerana mata sudah tak tahan melihat rumah Allah itu terbiar begitu sahaja namun hampa.

Saya duduk di bahagian belakang masjid sementara menunggu waktu Zohor. Telekung juga sangat banyak, Al-Quran dan rehal semuanya ada disediakan. Siap semua saya survey.

Kemudian datang seorang cikgu yang sama tujuan denganku. Mula bercerita dengannya masalah umat Islam sekarang. Dia mulakan dengan bercerita latar belakang tempat dia mengajar. Tempatnya memang dikategorikan sangat 'kampung'. Suasana Islam di situ amatlah menyedihkan. Ia akan lebuh ketara bila tiba Hari Jumaat. Menurutnya, bilangan keluarga Islam dalam 70 keluarga. Yang bekerja di luar seramai lebih kurang 20 ketua keluarga.Tapi apa yang amat menyedihkan dan mengejutkan, tak sampai 10 orang yang hadir ke masjid untuk solat Jumaat. Mana perginnya sejumlah 40 orang kaum Adam yang lain???. Suaminya terpaksa mencari masjid yang terletak agak jauh untuk solat Jumaat. Amat menyedihkan jika Nabi melihat keadaan kita begini...

Begitulah senario umat Islam sekarang. Yang benar-benar menjaga solat sangatlah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang lalai daripada rukuk dan sujud. Sifirnya sama di mana-mana. Jika di bandar, dengan cara orang bandar manakala di kampung, dengan caranya tersendiri. Hakikatnya, kedua-dua akan mendapat jawapan yang sama. Jawapan yang menggambarkan bahawa umat Islam sekarang sedang dilanda virus hati yang kronik sehingga melupakan mereka kepada Penciptanya sendiri.

Itu hanya perihal solat Jumaat yang seminggu sekali sahaja. Bagaimana pula 5 waktu setiap hari bagi setiap lelaki dan wanita mukallaf. Tak terhitung angkanya untuk mengira bilangan mereka yang solat tidak penuh, apatah lagi yang tidak solat langsung. Sedangkan sudah jelas suruhan solat khas untuk kita.

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
                                                                    (Al-Baqarah 2:43)


Ayuh kita menuju ke rumah-rumah Allah!












 

Feb 18, 2012

Syoknya Kahwin ?

Assalamualaikum wbt.


"Mengapa memilih Yang HARAM? Yang HALAL kan ada?"

Feb 17, 2012

Alhamdulillah

Assalamualaikum wbt.

Pertamanya, segala puji yang selayaknya hanya kepada Allah swt Tuhan yang bersemayam di atas arasy. Menciptakan kita dengan pelbagai rupa, bentuk dan warna kulit. Tiada satu pun yang mengetahui apa yang dikandung dalam perut seorang ibu melainkan Dia. Dan kemudian Dialah yang memberi nikmat Iman dan Islam kepada hambaNya.

Alhamdulillah thumma alhamdulillah......

Pernah pada entry satu ketika dahulu  Ujian Sakit & Doktor , dan Tak Terbayar Nikmat Sihat  saya diuji dengan ujian yang sangat memberi manfaat kepada diri sendiri.

Memberi kesedaran  betapa Allah swt menguji kita sesuai dengan apa yang mampu kita lalui. Yang menyedarkan kita supaya menjadi lebih bersyukur dengan nikmat yang tidak terhitung. Malulah kita untuk mengeluh dengan sedikit kesusahan yang menimpa kerana tidak terbanding dengan nikmat yang telah kita gunakan setiap detik.

Sejak seminggu yang lalu, saya sudah sembuh daripada sakit kaki yang dialami selama beberapa tahun kebelakangan ini. Gembira tak terkata, lidah tidak henti memuji yang Maha Esa. Penyakit juga salah satu makhluk Allah. Allah lah yang ,menulis bahawa kita akan sihat atau sakit. Tugas kita hanya bersabar dan berusaha untuk menyembuhkan diri. Semuanya kaffarah dosa kita.

Tika dapat bersolat seperti biasa, seperti orang lain yang sihat, seperti dulu-dulu. Telah hilang rasa semua sakit yang dialami. Saya sudah tidak dapat membayangkan waktu sakit itu. Indahnya nikmat sihat. Teringat saya pada kisah para penghuni syurga. Ketika mana mereka melihat segala nikmat yang terdapat di dalam syurga, maka lupalah mereka akan segala kesusahan yang dihadapi sewaktu di dunia dahulu. Mereka merasakan bahawa mereka tinggal di dunia hanya sebentar. Sekadar satu pagi atau satu petang sahaja. Begitulah Allah membeli mereka dengan nikmat yang tidak tercapai dek akal manusia.

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
                                                                      (Adh-Dhuha 93:11)

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan saya. Yang banyak memberi dorongan dan kata semangat. Hanya Allah swt yang dapat membalas dengan kurniaNya.





Sejenak Di Situ

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, selesai sudah perkhemahan seperti yang dirancang. Kelihatan anak-anak muridku yang semuanya non-muslim begitu gembira pergi melihat dunia luar. Jauh dari rumah mereka dan suasana hidup mereka selama ini.

Petang itu, saya bersendirian di tepi pantai. Berdiri menghadap laut yang sungguh seluas mata memandang. Memandang sekeliling ruang lingkup mata, sungguh banyak kawasan yang telah dirosakkan oleh tangan-tangan manusia.

Benarlah fiman Allah swt yang bermaksud,

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
                                                                      (Ar-Ruum 30:41)

Berfikir sejenak kejadian Allah swt. Sungguh indah, sungguh melebihi batas pemikiran manusia.

Bayangkan,

Mujurlah Allah swt jadikan manusia ni dapat hidup di daratan sahaja. Jika Manusia ni dapat hidup di laut juga, pastinya mereka akan melakukan kerosakan. Semua kawasan laut diteroka, dibina tempat-tempat maksiat, tempat-tempat penyembahan tuhan yang lain selain Allah swt dan banyak lagi kawasan yang menjadi tumpuan para penderhaka kepada Allah swt.

Bayangkan,

Segala hidupan di laut, yang bermacam-macam jenis, kecil dan besar semuanya hidup dengan pengawasan Al-Muhaymin. Para nelayan tidak turun ke laut setiap hari untuk memberi makan kepada semua hidupan yang ada melainkan Allah lah yang memberi rezeki kepada mereka. Malah, mereka hanya turun ke laut untuk mengaut hasilnya, kemudian memberi makan kepada keluarga. Semuanya dengan belas ihsan Yang Maha Kuasa.

Bayangkan,

Ketika Nabi Yunus a.s yang telah diundi sebanyak 3 kali untuk terjun meninggalkan kapal yang sedang meredah taufan. Sedar dengan kesalahan meninggalkan kaumnya tanpa persetujuan Allah swt, Nabi Yunus a.s terjun ke laut. Semasa bergelumang meredah gelombang, baginda diselamatkan oleh Allah swt dengan makhlukNya iaitu ikan Nun. Ikan Nun menelannya hidup-hidup dan tiada sebarang cacat cela pada tubuh baginda. Begitulah hebatnya tentera Allah. Begitulah hebatnya seorang Nabi diuji. Sungguh jauh daripada kita manusia biasa. Jika kita ditempatnya, belum tentu kita mahu terjun ke laut walaupun telah diundi keluar.

Bayangkan,

Bagaimana laut yang besar telah terbelah menjadi 12 laluan untuk kaum Nabi Musa a.s yang lari daripada kekejaman Firaun. Kuasa Allah swt membelah laut kerana laut juga kepunyaan Allah tuhan yang satu.

Begitulah, laut yang terbentang luas. Semuanya terpahat kisah suka-duka dalam lipatan sejarah kita, manusia a.k.a yang banyak melakukan kerosakan di bumi.

"Bila kita melihat yang banyak, sentiasalah kembali pada yang SATU"

 


Feb 10, 2012

Pencinta Yang Ajaib

Assalamualaikum wbt.



Pernah suatu ketika dahulu saya mendengar satu perkongsian oleh seorang ustaz yang menceritakan bahawa kita sebagai umat akhir zaman, yang hidup setelah kewafatan Rasulullah, lebih-lebih lagi yang beriman dengan Al-Quran dan sunnah adalah Pencinta Yang Ajaib.

Masakan tidak, jika kita ingin bercinta dengan manusia, kita ingin mengenali wajahnya, kita ingin tahu latar belakangnya terlebih dahulu sebelum mencintainya. Paling tidak, bertemu walaupun sekali.

Namun, cinta kita pada junjungan besar Rasulullah saw sungguh ajaib.

Mengapa?

Pernah pada zaman Rasulullah saw, baginda bertanya, "Siapakah yang paling ajaib imannya?"

Ada di kalangan sahabat yang menjawab malaikat, nabi dan mereka sendiri.

Masakan malaikat tidak beriman kerana mereka paling hampir dengan Allah swt.

Masakan  para nabi tidak beriman kerana mereka menerima wahyu daripada Allah swt.

Masakan para sahabat pula tidak beriman kerana mereka sendiri berdampingan dengan Rasulullah setiap hari.

Jadi, mereka yang hidup setelah kewafatan Rasulullah saw yang paling ajaib imannya. 

Kita tidak pernah bertemu dengan Rasulullah saw apatah lagi berdamping dengan baginda. Namun, kita membaca dan mentadabbur Al-Quran. Kita mengamalkan isi kandungan Al-Quran. Kita bersungguh-sungguh mencintai Rasulullah saw melebihi cinta kita pada anak-anak dan orang tua. Kita mempercayai wujudnya kekasih Allah itu.

Lihatlah, Sedarlah....

Betapa ajaibnya cinta kita? Cinta pada seorang kekasih Allah. Kekasih yang amat kita rindui untuk bertemunya. Kekasih yang terlebih dahulu mencintai kita sebelum kita mencintainya. Kekasih yang menyebut-nyebut tentang kita menjelang kewafatannya.

Ummati!
Ummati!
Ummati!

Ayuh, saya menyeru kepada diri dan pembaca, bersegeralah dan istiqamah mencintai Rasulullah saw dan segala yang di bawanya.

Jadikanlah diri kita salah seorang Pencinta Yang Ajaib.

Perbaiki akhlak hari demi hari supaya bertambah baik. Buktikan cinta kita kepada kekasih Allah. Pastinya, Rasulullah saw sangat merindui untuk bertemu dengan para pencinta baginda.

Hakikat yang mesti kita sedar ialah terlalu sedikit bilangan mereka yang bersungguh-sungguh menjadi Pencinta Yang Ajaib. Sangat sedikit mereka yang masih sedaya upaya menghidupkan sunnah Rasulullah saw di akhir zaman. Moga kita termasuk dalam golongan yang sedikit.

"Ya Allah, jadikanlah kami dari golongan yang sedikit"

Feb 3, 2012

Redha

Assalamualaikum wbt.


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. 
~ Al Baqarah 2:216~