Pages

May 20, 2011

Tiga Golongan

Assalamualaikum wbt.


Alhamdulillah, masyarakat tika ini amat mementingkan ilmu.

Lihat sahaja ibu bapa yang amat menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka. Sanggup berkorban wang dan masa menghantar anak-anak ke sekolah, tidak cukup dengan itu ditambah pula dengan kelas tuisyen dan sebagainya. Betapa gusarnya jika anak tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Golongan dewasa juga hingga ke peringkat umur warga emas mengisi masa dengan baik sekali memenuhi kehidupan seharian dengan membaca buku di rumah atau mengunjungi majlis ilmu di rumah-rumah Allah.


Suatu aspek penting yang membezakan para penuntut ilmu ialah NIAT mereka menuntut ilmu.
Oleh itu, golongan yang menuntut ilmu terbahagi kepada tiga:

Golongan Pertama.
Seseorang yang menuntut ilmu untuk bekalan akhirat dan tidak lain melainkan kerana Allah SWT. Golongan ini akan diberi kejayaan di dunia dan akhirat.

Mereka dikenali sebagai Al-Muttaqin.

"...hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." (Al-Baqarah 2:197)


Golongan Kedua
Seseorang yang menuntut ilmu untuk kehidupannya di dunia seperti untuk mendapat kemuliaan, kemegahan, kekayaan harta dan selain keredhaan Allah.

Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bahawa di akhir zaman ramai di kalangan ahli ibadat yang jahil dan ulama' yang fasiq.

''Akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama' yang fasiq." (Hadith Riwayat Ibn Ady)

Golongan Ketiga
Seseorang yang menuntut ilmu dan menjadikan ilmunya untuk mendapatkan kebesaran,kemuliaan, kemegahan, mencari pangkat dan supaya orang kasih kepadanya, mereka ini berlakon sebagai ulama' untuk mendapatkan apa yang dihajatinya. Golongan ini dikenali sebagai ulama' yang jahat yang menyesatkan orang lain.

Sabda nabi SAW yang bermaksud,

"Aku terlebih takut kepada kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal. Maka tanya para sahabat: siapa mereka itu ya Rasulullah? Maka Jawab baginda : Mereka itulah ulama' yang jahat"


Nabi SAW bersabda lagi,

"Siapa yang menuntut ilmu kerana untuk bermegah-megah dengan ilmu itu, atau untuk berbantah-bantah dengan orang yang jahil, atau untuk memalingkan muka kepadanya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka."


Oleh itu, bersama-sama kita meneliti tiga golongan ini, golongan yang manakah kita berada?

Moga-moga hidup kita bermanfaat dan segala amalan serta ilmu kita tidak menjadi seperti debu yang berterbangan.




Ayuh kita  perbaharui niat, luruskan semata-mata kerana Allah SWT.

Ingatlah,

Semuanya sekadar pinjaman dan jika dikehendaki oleh Allah SWT, ia akan lenyap daripada hati manusia.

Alat komunikasi yang tercanggih di dunia ialah hati.
Hati ialah rumah Iman.

May 19, 2011

Jauhi Hutang Bila Nak Kahwin!

Assalamualaikum wbt.

Saya ingin kongsikan artikel yang dipetik dari http://www.iluvislam.com/ bersempena cuti sekolah yang akan tiba tidak lama lagi dan pastinya ramai yang akan menamatkan zaman bujang dan memulakan kehidupan yang lebih sempurna. InsyaAllah.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tadi bersembang dengan beberapa rakan, betapa mahalnya untuk mengadakan satu majlis perkahwinan pada zaman sekarang. Purata  'belanja hangus' buat kenduri sahaja perlu ada kira-kira RM20 000. Itu paling kurang.
Jika lelaki, belum termasuk belanja duit hantaran yang diminta pihak perempuan dan persediaan pindah ke rumah baru. Congak-congak, keseluruhan majlis & urusan kahwin boleh mencecah sehingga RM40 000 (ada yang jauh lebih tinggi). Seorang kawan perempuan mencelah, "patutla, ramai lelaki tidak berani nak komit kahwin..." (Ini kena tanya orang lelaki).
Sedihnya, kesan dari belanja kahwin yang semakin meningkat menyebabkan ramai pasangan muda berkahwin dengan membuat pinjaman peribadi. Walaupun, tiada statistik rasmi, saya percaya, anda kenal seorang atau dua kawan-kawan yang pernah membuat pinjaman peribadi (atau anda sendiri) bagi urusan perkahwinan. Mari kita cuba fahami mengapa pasangan (terutama lelaki) perlu meminjam untuk berkahwin...
  • Nilai hantaran yang diminta pihak perempuan tinggi antara RM10,000 ke RM30,000
  • Kos membuat sekurang-kurangnya satu majlis kahwin tinggi antara RM7500 ke RM12500 (anggaran RM25 per pax)
  • Urusan pindah rumah & deposit sewa semakin tinggi antara RM2000 ke RM6000
Katakanlah Mamat & Minat yang baru habis belajar di universiti mahu terus mengikat perkahwinan dan mereka mahu membuat majlis yang sederhana tetapi meriah. Minah yang baru Ijazah Kelas Pertama ingin membantu Mamat dengan hanya meletakkan hantaran bernilai RM5000 dengan membuat hanya satu majlis perkahwinan untuk mereka berdua. Dijangka 500 orang sanak saudara & kawan-kawan akan hadir. Kemudian, urusan pindah rumah dan membeli serba sedikit perabot mungkin sekitar RM2000. Bajet keseluruhan majlis dianggarkan RM19,500 (RM5000 + RM12500 + RM2000).
Saya dapat bayangkan si Mamat akan mula mencongak belanja kahwinnya RM19500. "Kat mana aku nak cari duit sebanyak itu? Aku pun belum kerja lagi...".
Selalunya, 2 perkara yang terlintas di benak si Mamat
  • "Aku boleh kerja dulu dan simpan setiap bulan. Kalau gaji aku RM2000, tiap-tiap bulan, aku simpan separuh. Dalam tempoh 20 bulan atau lagi 2 tahun, boleh la aku kahwin" atau...
  • "hish... aku dah sayang sangat pada si Minah, pinjam bank je la"
Keputusan ini sebenarnya, Mamat tidak perlu fikir seorang diri. Bincang dengan keluarga. Dan, berbincanglah dengan Minah. Kasih sayang dalam perkahwinan adalah kombinasi komunikasi, sakinah, mawardah dan warahmah. Mendapat keberkatan dalam sesebuah perkahwinan adalah jauh lebih penting dari mengadakan kenduri besar-besaran yang berlandaskan hutang.
Satu paradigma harus diubah di dalam masyarakat supaya tidak meletakkan 'piawaian saiz perkahwinan'. Besar kecil sesuatu majlis perkahwinan mestilah berdasarkan kemampuan. Jika bajet kecil, tidak perlu hidangkan nasi beriani, cukuplah sekadar hi-tea. Majlis perkahwinan adalah majlis resepsi untuk sanak saudara & kawan-kawan berkenalan mesra dengan temah hidup anda. Cadangan saya, anda dan pasangan boleh cuba untuk memikirkan kaedah kreatif yang tidak memerlukan banyak modal untuk satu majlis perkahinan.
Pasangan yang ingin berkahwin, sedarlah...
  • Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim, "kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah mudah (rendah) perbelanjaan (mahar)".
  • hantaran kahwin seharusnya adalah pemberian ikhlas pihak lelaki dan bukannya paksaan oleh pihak perempuan
  • janganlah mendekati hutang di awal perkahwinan
  • muafakat antara pasangan sebelum perkahwinan membawa keberkatan yang berterusan dalam perkahwinan
  • jangan gunakan alasan duit tiada untuk tidak berkahwin dan mengambil keputusan untuk terus membujang
  • belajar untuk jadi kreatif dalam menangani bajet yang kecil untuk melangsungkan perkahwinan.
Doa saya semoga anda dan pasangan dapat membina hidup bersama dengan tenang dan tanpa perlu pening memikirkan hutang keliling pinggang. Perkahwinan hanya permulaan kepada lebih banyak keputusan-keputusan penting dalam hidup.
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolmunis

Mimi Salleh merupakan seorang Pengurus Kanan di syarikat Wira Sdn. Bhd. Selain bekerja sebagai pengurus, graduan Illinois State University, Amerika Syarikat ini juga merupakan seorang penulis buku. Beliau menulis di blog bujangok4u.blogspot.com.

Sumber gambar: Koleksi iluvislam.com




May 18, 2011

Menghampiri-NYA

Assalamualaikum wbt.


Semakin TAKUT kita kepada sesuatu, kita akan lari daripadanya.

NAMUN,

Semakin TAKUT kita kepada Allah,

Adakah kita akan lari daripadaNYA?

TIDAK.

Kita akan semakin dekat kepadaNYA.



May 16, 2011

Perempuan Anggun

Assalamualaikum wbt.


Suatu hari, duduk di dalam masjid usai solat Zohor. Tiada tujuan spesifik.

Tiba-tiba pandanganku terhenti pada seseorang.

Sungguh cantik. Bukan kerana paras rupa semata-mata.

Kamu merapikan dirimu dengan NIQAB.



Menjaga diri kamu daripada fitnah. Kamu berjalan sambil memangku anak yang masih kecil.
Sungguh hatiku mengagumi kamu.

Kamu menunjukkan qudwah yang baik kepada anakmu. Mencari keredhaan Allah dalam pergerakanmu.

Moga-moga aku juga menjadi seperti kamu suatu hari nanti. Berilah petunjuk kepadaku Ya Allah.
Aku hamba yang lemah.



Sebaik-baik Perhiasan Ialah Wanita Yang Solehah

Lilin Seorang Guru

Assalamualaikum wbt.

Sempena Hari Guru

Terima kasih kepada semua cikgu yang telah mendidik saya selama ini sama ada secara formal atau tidak formal.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala pengorbanan cikgu...

dan dikira sebagai amal soleh..insyaAllah..

Saya doakan cikgu semua mendapat petunjuk dan rahmat daripada Allah swt. Amin.

SELAMAT HARI GURU




May 15, 2011

Masih Jauh

Assalamualaikum wbt.


Saya ingin kongsikan kisah Abu Hurairah r.a ketika sakit nazak.

Sahabat yang duduk berhampiran dengan beliau bertanya,

"Mengapa kamu menangis?"


Jawab Abu Hurairah,

"Aku bukan menangis kerana dunia yang kamu duduki ini, tetapi aku menangis kerana perjalanan aku selepas ini masih jauh. Aku merasakan terlalu sedikit bekalan yang akan dibawa. Aku akan berjalan di jalan yang mendaki dan aku tidak tahu ke mana yang akan aku pergi, SYURGA ATAU NERAKA".

 *************************************
Mendengar cerita ini pagi tadi semasa kuliah Subuh. Hati tersentak.

YA!

The long journey to go....


Hidup dengan umur yang panjang juga belum dapat melawan panjangnya perjalanan selepas ini.

Lihatlah saudara-saudara kita dan mereka yang telah pergi meninggalkan kita, mereka menunggu tibanya hari Kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah.

Selepas itu pula, apabila manusia dikumpulkan di mahkamah yang Maha ADIL.

Titian Sirat pula terdapat 3 jalan iaitu mendaki, mendatar dan menurun. Halusnya seperti rambut yang dibelah tujuh dan tajamnya seperti pedang.

Ke manakah kita seterusnya ???

SYURGA ATAU NERAKA...

Ya Allah, hati saya sebak tika ini. Gentar rasanya.

Jika Abu Hurairah r.a yang menangis mengenangkan dirinya apatah lagi saya ini.

Selamatkanlah kami ya Allah,

Permudahkanlah segala urusan kami ya Allah.




Ya Allah, sampaikanlah kami ke syurgaMu
dengan Rahmat dan kasih sayangMu.