Pages

Showing posts with label coretan. Show all posts
Showing posts with label coretan. Show all posts

May 21, 2018

Buat Yang Telah Pergi

Assalamualaikum wbt.

Coretan ini untuk kenangan .

Suatu kenangan yang ingin ku coretkan di sini. Telah perginya seorang teman bicara meninggalkan alam ini April yang lalu.

Dia teman bicara walaupun bukan seagama dengan ku...aku tahu dia tabah menghadapinya sepanjang melawan penyakitnya itu.

Air mata gugur tatkala mendapat khabar berita kehilangannya. Aku muhasabah diriku...terasa diriku yang dhaif ini tidak dapat memimpinnya ke agama ku sepanjang hayatnya. Hidayah milik Allah. Aku diingatkan oleh seseorang supaya tidak memikirkan yang buruk kepadanya.....kerana itu urusan sahabatku dengan Yang Maha Mencipta.

Aku cuba ingat kembali segala kenangan bersamanya.....sejak hari pertama dia memberitahu ku tentang pemyakitnya. Aku memeluknya erat. Suasana hiba menyelubungi kami ketika itu. Namun riak wajahnya sangat kuat . Semangatnya kental.

Saat dia memberitu ku akan berumah tangga dengan seorang yang sanggup menerimanya walaupun sudah mengetahui akan penyakit kanser yang dihidapinya. Aku tumpang gembira untuk dirinya.
Tidak lama selepas itu, dia telah bertukar berhampiran dengan keluarganya kerana urusan untuk mengubati penyakitnya.

Selepas dia mendirikan rumah tangga, aku telah berpakat dengan kawanku untuk pergi menziarahinya. Hadiah sudah disediakan dan aku sudah memberitahu kawan-kawanku.Ada yang telah mengirim wang kepadanya. Namun, apakan daya....tiada rezeki untuk bertemu kerana kawanku sibuk mengubati penyakitnya di luar negara.  Aku menyimpan rindu kepadanya sedalamnya. Sahabat yang sudah jauh di mata.

Sejak hari itu, aku banyak menghubunginya melalui whatsapp atau telefon.

Hingga akhir hayatnya aku tidak dapat bertemunya lagi.

Dan itulah suratan takdir yang harus aku terima.

Tenanglah sahabatku di sana.

Jun 4, 2017

Salam Ramadan 1438H

Assalamualaikum wbt.



Alhamdulillah kita masih bertemu dengan Ramadan pada tahun ini...moga kita sama-sama dapat memanfaatkan seluruh anggota kita berbakti dan beramal pada bulan yang penuh mulia ini kerana belum tentu kita masih berpeluang bertemu Ramadan yang akan datang. Maut itu pasti tidak akan dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat.
Sudah ramai orang yang kita sayangi, yang kita kenali, dahulunya sama-sama beribadah bersama kita telah kembali kepada Penciptanya pada tahun ini. Kita sudah tidak dapat melihat mereka dan berkasih sayang dengan mereka. Mereka yang dahulunya berbual dengan kita, memberi kita makanan atau minuman, hadir ke majlis kita dan mengambil berat tentang kita, telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Tinggallah kita masih dia dunia meneruskan perjuangan, mendoakan mereka yang telah pergi.

Wahai sahabat seIslam, moga Ramadan ini adalah yang terbaik, yang tercantik, yang terindah andai ini Ramadan terakhir bagi kita. Doakan moga kita dibukakan jalan hidayah, begitu juga rakan-rakan kita yang masih belum memeluk Islam..moga diberi hidayah olehNya..

Salam Ramadan
1438H.

May 5, 2016

Move

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.......

New journey....just beginning.....









Mar 2, 2014

Selamat Kembali Kepada Fitrah

Assalamualaikum wbt.


Minggu lepas.....

Alhamdulillah, syukur mendapat berita 3 orang anak muridku memeluk Islam bersama keluarga mereka.

Selamat kembali kepada fitrah...

Fitrah sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.

Bermakna....

Tugas kita untuk membantu sesama saudara seagama bermula...

Ya Allah Ya Tuhan kami, kuatkan hati kami untuk tetap taat kepadaMu.. Amiin Ya Rabb.





Nov 25, 2013

Sekolah Agama, Kita Takkan Rugi

Assalamualaikum wbt.

Ada sesuatu yang dah lama bersarang di hati. Saya rasa ada tanggungjawab untuk saya kongsikan di alam maya dek kerana perkara ini hangat diperkatakan terutama setiap kali tiba hujung tahun. Rata-rata parents yang mempunyai anak yang ingin melangkah ke tingkatan satu sedang sibuk memikirkan dan menentukan hala tuju anak mereka seterusnya untuk belajar di sekolah menengah.

Persoalannya, kenapa sekolah agama diletakkan pada pilihan terakhir?

Ini situasi yang benar2 terjadi dan bukan hanya CUBAAN....

Beberapa minggu lalu, semasa keputusan UPSR dikeluarkan, saya mendengar seorang ibu yang mengulas kembali keputusan anaknya yang mendapat 4A1B. Katanya, "Akak suka anak akak tak dapat 5A, sebab akak nak suruh dia duk sekolah agama je sama dengan abang dia. Kalau dapat 5A nanti kang jauh pulak dapat SBP".

Berdesing telinga saya. Kenapa dengan sekolah agama? Teruk sangat ke sekolah agama?  Hanya untuk murid yang tak dapat 5A?

Remuk redam hati saya. Saya rasakan agama saya telah dipijak-pijak oleh saudara seagama saya sendiri. Saya sedar saya lemah kerana saya tak mampu nak menjawab perbualan mereka. Mereka lebih tua daripada saya. Jadi, saya rasakan lebih baik saya berdiam diri pada waktu itu.

Selalu kita dengar, orang dulu-dulu belajar agama sebab dah tak dapat nak belajar sekolah2 bagus. Itu pemikiran orang dulu-dulu. Tapi percayalah, pemikiran salah itu masih ada dalam masyarakat kita sekarang. Masih ada ibu bapa yang berfikiran cetek dalam beragama.

Mengapa saya katakan cetek?

Kerana agama bukan kita sembahyang, mengaji dan berpuasa saja. Malah agama senantiasa berada di atas, berada di puncak. Merangkumi segala aspek kehidupan.




Apa kelebihan sekolah agama?

Berdasarkan pengalaman sendiri, terlalu banyak kelebihan yang ada di sekolah agama. Mengimbau kembali kenangan sekitar lebih  10 tahun yang lalu, di sekolah agama semasa masuk ke tingkatan satu, di situlah bermulanya titik perubahan yang banyak dalam diri saya untuk mengenali Islam yang sebelumnya hanya dianuti lebih kepada secara ikutan pada zaman kanak-kanak.

Di sekolah agama, saya belajar rutin yang sebenarnya untuk beramal dalam agama, belajar menjadi pemimpin berteraskan Islam, bergaul dengan cara Islam. Dan yang ibu bapa risaukan, tentang akademik. Saya jamin belajar sama sahaja akademiknya. Bukannya, duduk bawah pokok tak masuk kelas belajar menoreh, bukan duduk di sawah belajar membajak tanah,. Jadi apa yang nak di sangsikan lagi tuan/puan?

Banyak nilai tambah yang saya tak dapat bila keluar daripada sekolah agama. Contohnya, sembahyang berjemaah, menghafaz surah2 pilihan, qiamullail, usrah, dilatih menjadi naqibah, penyampai tazkirah, mengetuai bacaan ma'thurat, takbiratul ula (40 hari takbir pertama bersama imam setiap 5 waktu). Selain itu, bagi yang lelaki azan, imam, bacaan wirid dan doa serta banyak lagi.

Masih segar dalam ingatan, semasa awal tingkatan satu, setiap pelajar akan mendapat seorang 'kakak' Badan Dakwah dan Rohani. 'Kakak' tersebut akan melihat satu persatu cara saya berwudhuk, kemudian melakukan amali solat di hadapannya. Biar pun umur sudah menginjak 13 tahun, namun itulah yang mula dititikberatkan. Tiap kesalahan ditegur dengan penuh kelembutan dan diajar tanpa jemu. Subhanallah! saya rindukan saat itu.. Dalam satu keadaan yang lain pula, pelajar yang tidak menghafal wirid serta surah al-jumu'ah pula akan membawa satu kerusi ke padang maka menghafallah mereka saat rakan lain beriadhah pada waktu petang. Tersenyum sendirian saya tika ingatan kembali menerjah. Itulah yang dikatakan tarbiyyah. Tarbiyyah  yang sangat mahal.

Kita tak akan dapat jika berada di sekolah biasa walaupun sekolah SBP yang pure science. Maaf bukan mahu merendahkan. Kerana ia berdasarkan pengalaman saya. Pengalaman berada di sekolah agama dan kemudian di SBP.


Apabila keluar daripada sekolah agama, sekurangnya anak-anak kita dapat membezakan antara hidup dalam tarbiyyah dan hidup dalam keduniaan semata-mata. Ingatlah, walau apapun yang kita pelajari, agama tetap berada di atas dan yang paling atas.

Target saya, supaya anda yang membaca mendapat manfaat dan menukar persepsi pemikiran tentang sekolah agama. Telah ramai para profesional sekarang yang berasal daripada sekolah agama. Mereka bukan saja berjaya sama seperti para cendekiawan lain malah lebih berjaya.

Hikmahnya...

Mungkin kita tak mampu melihat sekarang hikmah anak-anak kita di hantar ke sekolah agama. Saya juga begitu. Tapi, Allah telah menunjukkan kepada saya hikmahnya sedikit demi sedikit hinggalah ke hari ini. Dan yang paling saya rasakan hikmah saya berada di sekolah agama 10 tahun yang lampau ialah apabila saya telah hilang zaman itu. Zaman berada di sekolah.Umur pantas berlalu dan itulah yang menjadi bekal kepada saya hari ini dan insyaAllah seterusnya hingga ke akhir umur di dunia.

Dear parents, buatlah pilihan yang betul pada anak-anak. Kita mahukan anak-anak yang jaguh dalam agama dan akademik. Kita lah yang mendorong mereka membuat pilihan kerana umur kanak-kanak yang baru ingin menginjak remaja kadangkala belum mampu melihat dunia akan datang. Kitalah yang membentuk mereka menjadi Yahudi, Majusi, atau Nasrani....kerna mereka diibaratkan kain putih.

Allah anugerahkan kita anak-anak dan disertakan dengan amanah yang dipikul di pundak kita masing2. Ia bukan untuk disia-siakan. Dan jadikan ia pengalaman yang paling manis dalam hidup kita masing-masing. ia juga menjadi saham kita di akhirat kelak. Jual beli yang sangat2 boleh menguntungkan kita.

Pedulikan kata-kata orang sekeliling yang tak mahu berada dalam saf yang sama dengan kita yang ingin melihat agama sentiasa diletakkan di puncak segalanya.

Percayalah, hikmahnya bakal diperlihatkan pada masa akan datang. Mungkin 10 atau 20 tahun akan datang.
Biarlah kita mengambil langkah kanan. Langkah yang berbeza. The road not taken.

 Saya akhiri coretan saya kali ini dengan satu hadith yang selalu kita dengar....

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ وَابْنُ أَبِي عُمَرَ جَمِيعًا عَنْ مَرْوَانَ الْفَزَارِيِّ قَالَ ابْنُ عَبَّادٍ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ عَنْ يَزِيدَ يَعْنِي ابْنَ كَيْسَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksudnya : “Muhammad bin cAbbad dan Ibn Abi cUmar telah berkata kepada kami daripada Marwan al-Fazari, Ibn Abbad berkata Marwan telah menceritakan kepada kami daripada Yazid iaitu Ibn Kaisan daripada Abi Hazim daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda : Pada awal munculnya Islam merupakan sesuatu yang asing, dan akan kembali menjadi asing seperti permulaannya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing”.


 Mahukah kita bahagia?
Tepuk dada, tanyalah iman!

N.B : Terima kasih kerana membaca hingga titik terakhir. May Allah Bless U...




Aug 6, 2013

"Lauk Masjid"

Assalamualaikum wbt.


Teringat nak letak gambar "lauk masjid" kat sini. Sebenarnya "lauk masjid" ni hanya nama yang di letak oleh ummi dan abah saya.

Ada memori di sebalik namanya.

Ummi selalu cerita sambil2 masak kat dapur, waktu dulu2 masa zaman ummi kecik2, ada jugak majlis berbuka kat masjid masa bulan puasa, tapi tak macam sekarang, pihak masjid sediakan semuanya. Masa dulu, pihak masjid sediakan nasi tapi lauk2 tu biasanya orang kampung bawak dari rumah masing2 untuk dikongsi dengan jiran lain di masjid.

"Lauk Masjid"

"Lauk masjid" ni antara yang femes yang di bawa oleh orang kampung. Ia adalah gulai ayam kampung(yelahh, dulu memang org guna ayam sendiri) yang dibuat hingga pekat/ditunggu hingga kuahnya ala2 nak kering gitu tapi rempah yang digunakan ialah rempah gulai tradisi Terengganu. Kalau biasanya kat pasar besar di sebelah pantai Timur ni, ada rempah gulai khas. Tapi sekarang dah dipeket cantik..Rempah gulai Cap Bunga Rose dan rempah masak Cap Bunga Rose...Biasanya orang Terengganu akan tahu cara nak guna dua rempah ni dalam pelbagai masakan.

Lauk ni jugak dah jadi tradisi kat rumah kami tiap kali Ramadhan datang. Paling kurang ada sekali "lauk masjid" ni dalam sebulan Ramadhan.

Saja saya 'snap' gambar ni untuk jadi kenangan dengan ummi dan abah. Memori bulan Ramadhan dan moga ia menjadi salah satu memori yang terpahat di ingatan selagi hayat masih ada...InsyaAllah...


p/s : hanya tinggal masa2 kecederaan Ramadhan kali ini. Adakah Ramadhan kali ini paling dimaknakan oleh diri kita masing2? sama2 kita renungkan. Masih ada masa. Gunalah sebaiknya.









Jul 3, 2013

Tukang Masak

Assalamualaikum wbt.

Satu hari, dalam perjalanan yang panjang masa balik sekolah, berborak2 pasal restoran2 sekitar yang pada mula makanannya sedap, tapi dah jadi tak sedap.

Ada pulak yang mulanya tak sedap tapi jadi sedap pulak. Bila dicungkil2 sebabnya, TUKANG MASAK.

Berubah2 rasa disebabkan tukang masak yang berbeza dan bertukar2. Ada yang restoran sama cuma cawangan ja yang berbeza tapi tetap ada yang sedap dan ada yang kurang sedap.

Bila kami duk bincang2, kesimpulannya TUKANG MASAK tu penting. Kalau tak sedap, pelanggan makin kurang. Tambahan pulak kalau service lambat.

Harap boleh jadi TUKANG MASAK yang boleh menambat hati 'pelanggan' di rumah satu hari nanti.

Insyaallah.






Apr 20, 2013

Pantas Berlalu

Assalamualaikum wbt.

MasyaAllah...sedar tak sedar lama juga tinggalkan medan ini. Mungkin kekangan masa untuk mencoret sesuatu dek kerana sibuk dengan urusan2 sendiri dan keluarga...

Hari ni, hari penamaan calon bagi PRU 13. Dan dua minggu daripada sekarang, kita semua yang sudah layak menjadi pemilih bakal mebuat keputusan. Biar apa pun 'sifir' yang kita gunakan, maka satu keputusan mesti dibuat bagi memlilih calon yang layak. Yang mana yang menegakkan Islam, itu yang kita pilih. 

Sekolah
Rutin biasa setiap tahun.

Tapi bulan lepas, kami (guru2) masuk ke perkampungan anak2 murid. Hasrat nak mencari kanak-kanak yang masih tercicir daripada alam persekolahan dan yang sudah lama tak hadir ke sekolah. Dan selepas itu, ramai juga datang 'memeriahkan' lagi sekolah kami.

kawasan perkampungan...

Kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan membuatkan mereka lebih gemar bekerja walaupun masih kanak-kanak. Kesempitan hidup juga faktornya. Bila ditanya, ada yang pergi kerja biji (mengutip kelapa sawit yang sudah terlerai dari tandannya), ada yang kerja 'kahwin tembikai'.....

Teringat saya pada sorang murid tahun 1, semasa bulan feb hari tu, terlalu kerap tak hadir ke sekolah. Rupanya, pergi kerja kutip biji kelapa sawit.

Me : Berapa ringgit ajeh(awak) dapat kalau satu guni biji ajeh(awak) kutip?
Murid : Lima
Me : ooo...penat tu ajeh kerja. Baik ajeh datang sekolah. Bole belajar, bole main dengan kawan. Sapa suruh   ajeh pegi keja?
Murid : Mak.
Me : hurmmm...mula esok datang sekolah ya. Cakap pada mak cikgu suruh datang sekolah belajar.
Murid : (angguk kepala sambil tersengih)

Sejak hari tu, alhamdulillah...da selalu datang sekolah walaupun ada hari tak datang tapi tak lah sekerap dulu.

:)

Sikap : Hormat & "Selamat Pulang Cikgu"
Ada satu yang saya suka untuk memuji murid2 saya. Sejak saya mula-mula posting sampai sekarang, tiap kali pulang dari sekolah, bila mereka nampak ja cikgu2 lalu walaupun naik kereta sedang mereka jalan kaki berderetan nak pulang ke rumah, mesti akan ucap "selamat pulang cikgu". Tak kiralah berapa buah kereta cikgu yang lalu. Memang tak lekang dari mulut mereka semua.

Jadi, selalunya saya tak sampai hati nak tutup tingkap kereta lagi sebelum habis melalui kawasan perkampungan mereka. Terasa sombong kalau tutup tingkap kereta dan berlalu macam tu saja. Aduhai...

Saya terasa sangat perbezaan murid pedalaman dan murid bandar. Sewaktu praktikal dulu, sekolah di tengah bandar, muridnya kurang menghormati cikgu. Sekolah rendah dah pandai bocorkan tayar cikgu, conteng sana conteng sini, nampak cikgu tapi buat2 tak nampak ja..mungkin persepsi tiap orang berbeza. Namun itu yang saya nampak melalui pengamatan sendiri.

Cikgu2 lain macam mana ya?

Ahli Baru
Bulan lepas juga, kami sekeluarga menerima ahli baru. Dengan perkahwinan kakak, maka bertambah seorang abang ipar. Tapi pengalaman saya kali ini berbeza. Pertama kali menerima ipar lelaki. Sebelum ini hanya kakak2 ipar sahaja.

BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIKHAIR.

Setakat ini dulu coret2 saya kali ini.... Panjang umur kita bersiaran lagi..InsyaAllah...

Selamat Mengundi & Buatlah pilihan yang terbaik serta diredhai Allah!
















Mar 9, 2013

Mangsa

Assalamualaikum wbt.



Akhir-akhir ini, saya rasakan yang saya terlalu sibuk pada dunia. Timbul rasa 'tak selesa' dengan perasaan yang menjengah diri.

Terlalu sibuk itu dan ini hinggakan ada yang menjadi mangsa. Mangsa yang tak sepatutnya menjadi mangsa keadaan. Setiap detik yang berlalu, hari berganti hari, minggu dan bulan, rupanya ada yang telah menjadi mangsa.

Dan hari semalam, saya rasakan tekanan ini memuncak. Rasa bersalah pada yang telah menjadi mangsa.

Solat
Kadang terkejar-kejar
Kadang bukan di awal waktu
Kadang dalam keadaan letih 
Dan, hati mula lah tidak hadir sepenuhnya di kala solat.

Mengaji  Al-Quran & Mentadabbur
Kadang mengaji tak konsisten
Masih terkejar-kejar

Ya, saya sangat rasa bersalah pada sesuatu yang tak sepatutnya menjadi mangsa telah menjadi mangsa.
Harapnya, saya dapat 'improve' dan lenyapkan rasa bersalah ini.

InsyaAllah.

****************************************************************

P:S - Al-Fatihah buat Arwah Ustaz Rujhan Hj Razali yang telah kembali ke rahmatullah pada hari semalam, Jumaat. Semoga Allah menempatkan roh beliau bersama orang2 yang beriman.
  


*Pertama kali saya mengenali Arwah Ustaz ketika Tingkatan 5. Pada masa itu Ustaz telah menyampaikan tazkirah di surau sekolah. Beliau seorang yang sangat hebat dalam berdakwah.
MasyaAllah wa tabarakallah.
 

Feb 3, 2013

Kasih Sayang Allah

Assalamualaikum wbt.

Dari mana saya perlu mulakan?..Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Itulah sebaik-baik permulaan.

Lama juga tak menulis di sini. Walaupun di sini hanya dunia maya, namun salah satu 'dunia' yang boleh juga menjadi terapi pada diri sendiri.

Permulaan sesi sekolah yang baru, bermakna permulaan tugas yang baru untuk meneruskan rutin kehidupan. Dalam masa yang sama menghadapi ujian turun dan naik kehidupan. Namun pada Allah swt juga tempat bergantung, berlindung dan berpaut.

Tanpa bantuan Allah swt, kita pasti tak dapat bertahan. Siapa lagi yang selayaknya kita memohon perlindungan selain daripada Allah?. Memohon pertolongan Allah. Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Saat kita tak mampu lagi bertahan, saat segala kesabaran sudah sampai pada 'qadar' yang termampu dalam diri kita. Kita sudah berlepas tangan dan menyerahkan segalanya pada Allah swt untuk menentukannya.

Bersyukur, Allah hantarkan sahabat2 yang sentiasa tak jemu memberi semangat, pertolongan. Itulah antara nikmat Allah yang tak dapat saya dustakan. Sahabat-sahabat yang mengingatkan supaya sentiasa bergantung harap pada Yang Esa. Sebenar-benar tempat bergantung.


Moga setiap yang membaca coretan saya kali ini sentiasa kuat dan sabar menghadapi segala ujian Allah swt. Kita memohon supaya Allah sayangkan kita. Apabila Allah uji, itu tanda Allah sayangkan kita. Kita mesti banyak2 bersyukur dan ucapkan alhamdulillah. Redha dengan hati dan perbuatan. Allah Knows best. Mohonlah dengan sabar dan solat.

Mulakan langkah baru dalam hidup kita.

Terima Kasih Ya Allah dengan segala kasih sayangMu.

Bismillahi tawakkal tu 'alallah.






Jan 1, 2013

Sudah-Sudahlah Karaoke

Assalamualaikum wbt.

Petang semalam, masa "lepak-lepak" kat rumah, ada dua orang budak datang  hantar notis/surat, lebih kurang macam tu lah.

Rupa-rupanya, pemberitahuan tentang sambutan malam tahun baru untuk kawasan sini. Kawasan yang saya duduki sejak lebih 15 tahun ni. Buat pertama kalinya, buat pertandingan karaoke.."M****** Idol". Dalam tentatifnya ada pula doa awal tahun, dalam majlis seperti itu. Apa nak jadi.

Tersentap darah saya. Sudahlah tahun baru orang Islam- 1434H hari tu, tiada sambutan daripada penduduk, inikan pula tahun Masihi disambut besar-besaran dengan majlis "maksiat".

Nak dikatakan penduduk kawasan ini ramai yang bukan Islam, saya rasa 99.9% orang Islam.

Ia menjadi perbualan hangat dalam family saya malam tadi. Abah memberi nasihat dan kami mendengar.

Tengah malam tadi, saya sudah melelapkan mata dan tiba-tiba terjaga dengan bunyi bunga api, mercun. Dalam hati ni memanglah penuh dengan segala ketidaksenangan. Disambung pula dengan nyanyian.

Sambutan itu diadakan dekat sahaja dengan perkuburan Islam. Seberang jalan saja.

Jika masjid, sunyi sepi. Yang ada semuanya warga emas dan beberapa orang sahaja orang muda.

Inilah realitinya orang Islam sekarang. Sudah jaaaaauh daripada ajaran agama sendiri.
 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
~Al-Baqarah 2:208~
 
 
 
 
 Nota : Esok mula sekolah. No more cuti..(^__^)


Nov 12, 2012

Pasca UPSR '12

Assalamualaikum wbt.
 
Minggu akhir sekolah yang lepas, berkesempatan mengiringi murid2 mengikuti rombongan pasca UPSR. Tahun ini, tiada seorang pun murid Islam yang berada dalam tahun 6.

Ini kali kedua dalam masa 3 bulan saya ke sebuah tanah tinggi yang terkenal di Malaysia.

Ada satu perkara yang saya perasan tentang sikap anak murid saya ni.

Pelawa cikgu makan.

Memang tak lekang dari mulut budak2 ni. Tiap kali makan, even makan jajan, coklat tak kira lelaki atau perempuan semuanya macam dah dilatih kat rumah. Kalau masa makan nasi bertambah2 lagi. Saya yang tiap kali dipelawa ni memang nampak sangat itu cara hidup mereka.

Mereka semua majoriti orang susah. Tapi, asyik nak belanja saya makan itu ini. Naik segan juga cikgu ni.:-)

Agakan saya, mereka dah terbiasa kat rumah.

Pagi hari kedua, saya perhati dari jauh, murid2 laki kait buah pisang kaki. Nasib baik juga, tuan homestay ni memang seorang yang dikenali...boleh la juga buat macam rumah sendiri..(^__^).

Sanggup menjerit dari jauh, pelawa lagi cikgu nak makan tak buah pisang kaki . Bukan seorang yang mempelawa, tapi majoriti. Anak muridku tak biasa tengok buah ni. Mereka cakap macam rasa ciku...heheh..

Saya tersenyum je. Betul atau tidak, itu yang mereka rasa dengan lidah mereka. Biar saja mereka memberi komen buat pertama kali makan pisang kaki.

Kebersamaan mereka ni memang terserlah. Saya tabik akhlak budak ni dalam bab pelawa makan.
Ye lah, ada orang yang besar2 makan sorang2 walaupun depan orang lain, tak pelawa pun makan.


Mereka yang di atas...'mengerjakan' pokok pisang kaki.
Yang pasti, saya akan merindui mereka lepas ni sebab mereka semua dah menginjak ke sekolah menengah tahun depan.

Harapan cikgu, moga semua murid2 ni menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi untuk mengubah nasib keluarga...dan yang paling penting tak lekang dari doa cikgu, moga Allah memberi hidayah kepada kamu beserta keluarga untuk bersama-sama dengan cikgu dalam satu agama mentauhidkan Allah Yang Esa...amin.

Allahu musta'an....

Oct 14, 2012

Hutang

Assalamualaikum wbt.

Sebenarnya, semalam tiba-tiba teringat yang aku ni berhutang sesuatu.

Rasanya memang tak terbayar dah.

Sedih pulak rasanya.

Tapi

Setiap khalifah di muka bumi

Masih ada peluang untuk berubah

Malu sangat bila bersendirian di tikar sejadah

Tika tangan ditadah memohon keampunan
kepada Yang Maha Esa.

Lalu masih memohon supaya ditambah nikmat
Sedangkan nikmat yang sedia ada tidak digunakan sebaiknya.

Ya

Aku berhutang

waktu-waktu

umur di dunia

masa sihat

semuanya percuma

tapi tak digunakan semaksimanya untuk mengabdikan diri pada Pencipta

Tika kelalaian. 
Tika syaitan mengintai2 peluang untuk merosakkan hati 

Aku tak mahu bertemu dengan Tuhanku
 Dalam keadaan kotor.
Dalam keadaan kufur nikmat

Ya Allah
Ampunkan kekhilafan hamba



 


Oct 13, 2012

Unta

Assalamualaikum wbt.


Ladang unta...berdekatan masjid di Hudaibiyah

Unta memang terkenal dan selalu dikaitkan dengan orang Arab. Unta juga sememangnya sinonim dengan para Nabi dan Rasul.

Ada perumpamaan menggunakan unta yang Allah swt firmankan dalam Al-Quran sebagaimana  dari surah Al-A'raf  yang bermaksud ,

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

Cuba bayangkan unta masuk ke lubang jarum?
Sesuatu yang secara logik akal tidak akan berlaku. Inilah balasan kepada mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah.

Unta juga dijadikan sebagai ujian kepada ketaatan kaum Nabi Saleh a.s. iaitu kaum Thamud, firman Allah swt yang bermaksud,

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 
 Al-A'raaf 7:73

Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: "Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)". 
Al-A'raaf 7:77


Unta juga digunakan sebagai kenderaan utama bagi umat sejak zaman dahulu seperti dalam perisyiwa hijrah.
Rasulullah saw mempunyai unta yang bernama 'Adba sebagaimana dalam himpunan hadith  Bukhari yang bermaksud...

[1307] Dari Anas r.a.: Nabi s.a.w mempunyai seekor unta yang bernama 'Adba yang cepat larinya....

 Jadi, saya telah menamakan kenderaan yang saya gunakan setiap hari sebagai
Al-'Adba

^ __ ^


 

Oct 9, 2012

Miscellaneous Sabah

Assalamualaikum wbt.



Pejam celik, dah hampir dua tahun saya meninggalkan negeri di bawah bayu. Sebenarnya, memang tak pernah terfikir akan tinggal di sana, tapi perancangan Allah Maha Hebat mengatasi segala perancangan manusia.

Masih terbayang lagi, first impression saya melihat suasana Kota Kinabalu dari udara. Banyak sekali rumah tradisional di sepanjang persisiran pantai, laut yang membiru, pantai yang putih bersih. Dan, kapal terbang yang saya naiki selamat mendarat di bumi Sabah yang bakal saya huni tanpa saudara mara tika itu.

Saya hanya bertawakkal pada Allah, moga-moga menambah petunjuk dan hidayah kepada saya dengan perpisahan sementara dengan keluarga kali itu.

Sebenarnya banyak peristiwa yang dah menjadi sejarah berlaku sepanjang berada di sana. Terkadang saya menjadi lebih bersyukur kerana sudah mendapat didikan agama sejak kecil dan itulah bekalan yang saya bawa ke sana.

Minggu-minggu awal lagi, iman saya sudah diuji...bila mana masa Pendidikan Jasmani, saya telah di'marahi' oleh pensyarah gara-gara dituduh melanggar peraturan disebabkan tak "tight in" baju masa turun padang dan tak masukkan tudung dalam t-shirt masa tu. Biarlah di mata pensyarah dan kawan-kawan, saya 'degil' tak mendengar kata. Tapi, jauh di sudut hati saya, saya sangat meminta maaf kerana memang saya tak dapat mengikut peraturannya ketika itu. Sebak menahan air mata yang bila2 saja akan gugur tapi seorang daie memang mesti "tebal muka" dan saya pasti ada di kalangan rakan yang sudah memahami mengapa saya lakukan demikian. Pensyarah siap katakan pada saya," kalau tak mahu ikut peraturan, bungkus baju balik kampung." Saya dah redha waktu tu walau apa pun terjadi, ada hikmahnya. Namun, rahmat dan kasih sayang Allah swt mengatasi segalanya. Saya selamat tak dikenakan sebarang tindakan tatatertib. Alhamdulillah...

Dari sudut pandang saya secara personal, kehidupan semasa itu, suasana belajar, pergaulannya sangat bebas. Bersentuhan yang bukan mahram. Inikah bakal cikgu yang nak mendidik anak-anak? Saya sangat terkilan dan memang tertekan. Cuma menjaga diri dan berdoa. Semasa satu kem yang dah diadakan, seperti biasa adalah sesi "water confident" masa tu kami dibahagikan kumpulan bercampur lelaki dan perempuan. Jurulatih menyuruh kami memegang tangan lelaki yang bukan mahram kami. Sekali lagi saya menjadi 'degil' dan 'kebal'... Ini bukan situasi mencemaskan, bukan keadaan terpaksa. Ada muka2 rakan yang tak berpuas hati dengan saya, tapi saya doakan moga mereka faham satu hari nanti sebab saya lakukan demikian.

Situasi lain pula, ramai sekali yang tidak menjaga solat malah tak bersolat. Inilah penyakit umat akhir zaman. Bukan mudah untuk tetap istiqamah menunaikan solat walaupun tahu yang ianya wajib. Jadi, nak menjadi guru bukan mudah, bukan hanya cemerlang akademik, tapi akhlak lebih penting. Usah salahkan anak murid itu dan ini, tapi cuba pandang ke belakang, siapa kita pada masa yang lalu?

Wahai jiwa2 yang tenang!

Bersabarlah bila dilabel 'tak mendengar kata', 'kolot', 'tak bergaya', 'terlalu skema'.. Itu semua tak sampai secebis dari sakit yang bakal kita tanggung di akhirat kelak akibat tak menjaga hak2 Allah.

Kita terkadang berasa malu bila dilabel sedemikian.

Tapi mengapa kita tetap dengan pendirian untuk menjaga agama kita dari dipijak-pijak oleh mereka yang cuba memadamkan cahaya Allah?

Sebab kita faham. Kita faham yang itu memang tanggungjawab kita. Walau penat macam mana sekalipun, malu macam mana sekalipun, kita tetap mempertahankannya.

Moga tetap terus istiqamah saudaraku!





Sep 30, 2012

Azam

Assalamualaikum wbt.

Dalam meniti kehidupan, senantiasa ada azam dan cita-cita yang hendak dilunaskan. Tak kiralah jangka pendek atau jangka panjang.

Namun, kadangkala halangan demi halangan di pertengahan jalan membuatkan kita berasa lemah semangat. Rasa tak mampu lagi untuk mencantas onak dan duri yang menghalang langkahan kaki ini.

Pelbagai usaha dilakukan, namun terasa masih jauh titik yang dituju, masih tinggi gunung yang hendak didaki.

Tapi, cukuplah Allah swt sebagai tempat bergantung.


"Fa iza 'azamta fa tawakkal 'alallah"

Moga aku terus kuat dan bergantung hanya pada tali Allah swt.

Allah humma amiinn...

Sep 8, 2012

Tanggungjawab Lebih Banyak Daripada Waktu

Assalamualaikum wbt.

Tanggungjawab lebih banyak daripada waktu.

Itu hakikatnya yang saya rasakan akhir-akhir ini. Saya mencari puncanya. Terkadang rasa tak terkejar. Yang paling sedih, masa untuk saya membaca bahan bacaan luar juga terbatas. Sedangkan itulah antara therapy yang paling berkesan buat saya.

Saya perlu menggunakan masa secara lebih maksima dan bermanfaat. Melihat buku yang belum dibaca membuatkan hati makin tidak tenteram. Beberapa program yang memerlukan komitmen yang besar, serta saya yang baru setahun jagung berkhidmat juga membuatkan masa menjadi semakin suntuk buat saya.

Dada mula sesak.

Alhamdulillah, semalam selesai satu program sekolah. Minggu hadapan, ada lagi dua program besar sekolah yang memerlukan komitmen dan masa yang perlu diperuntukan. Jadual hidup makin terbatas. Moga saya boleh mengatur semuanya dengan sistematik. Dan yang paling penting, Allah swt yang memudahkan jalanku mem'bereskan' satu persatu.

Teringat lagi, saya masih berhutang dengan abah untuk membaca dua buah buku.

List buku semakin panjang.

Benarlah kita senantiasa leka sewaktu masa lapang menjengah. Dan bila tanggungjawab mula menghambat cepat, kita terpaksa melangkah laju dan belajar banyak benda baru yang sebelum ini kita tidak mengambil berat tentangnya.

Hati bermonolog lagi.

"Apakah antara perkara yang paling tak aku sukai?"

"Antara benda yang tak aku sukai ialah bila rasa mengantuk menjengah dalam sembahyang, aku mula tak dapat mengahayati apa yang aku baca."

"Lagi?"

"Bila aku mengikut imam, aku tidak dapat mengesan imam itu membaca ayat daripada surah mana dalam Al-Quran dan aku tak dapat memahami ayat yang dibaca dek kerana ada perkataan Arab yang aku tak fahami."

Kewajipan kita semua sungguh banyak. Tanggungjawab kepada dunia dan akhirat. Antara sedar dan tidak, itulah hakikatnya.

"Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya," 
Wasiat Hasan al-Banna.

Our Guide...

Use Your Time Wisely!





Aug 25, 2012

Comfort Zone

Assalamualaikum wbt.

 Hari baru
 Umurku menginjak selangkah lagi menuju ke garisan penamat.

Kadangkala aku tenggelam dalam keasyikan dunia.
Aku kealpaan.
Keseronokan yang datang membuatkan aku
Bisa melupakan masalah yang dilalui sebelumnya.
Hai dunia, kenapa kau best sangat?

Kadangkala aku takut
Takut untuk menerima hakikat
Yang aku pasti suatu hari akan melalui saat-saat sukar
Kerna hidup ibarat putaran roda
Tak selamanya aku di atas
Hai dunia, kenapa kau best sangat?

Aku gembira sekali melihat keseronokan kanak2
Menyambut lebaran
Dan itu aku yang dulu sewaktu kecil
Bermain siang dan malam tanpa memikirkan
tanggungjawab
Tapi itu semua sudah lama menjadi sejarah hidup
takkan berulang lagi saat itu
Walaupun aku cuba memutarkan kembali waktunya
Hai dunia, kenapa kau best sangat?

Aku gembira sekali
Adanya keluarga yang bahagia
Sahabat2 yang sangat memahami aku,
Bisa menuntunku di saat aku kelemahan
Perjalanan hidup yang sentiasa dipermudahkan
Rezeki yang melimpah ruah.
Ya, jarang sekali aku rasa kesusahan dan kesempitan
Hai dunia, kenapa kau best sangat?

Aku sedar satu hakikat
Semua nikmat itu tak kan bermakna
Jika aku tak menjadi hamba yang bersyukur

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!
Semua nikmat percuma
Khas dari Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang....

:-))

Artifak yang telah dijumpai..:))

Aug 10, 2012

Genap Setahun Pemergian Tok

Assalamualaikum wbt.



Malam tadi, aku melalui kawasan perkuburan berdekatan dengan masjid dalam perjalanan meneruskan perjuangan titisan2 terakhir Ramadhan pada tahun ini. Dari jauh, tersusun kemas si batu nisan di atas deretan kubur yang sepi. Hanya beberapa pohon pokok yang memenuhi kawasan perkuburan ini.

Terdetik di dalam hati, "semakin ramai penghuni tanah perkuburan ni".
Ada antara mereka yang aku sangat kenal, dulu sewaktu kecil berjalan bersamaku ke masjid melalui jalan ini dan melalui kawasan perkuburan ini. Kini, mereka telah kembali ke pangkuan Allah, Zat Yang Maha Agung dan menjadi sebahagian ahli tanah perkuburan ini. Meremang seluruh tubuhku mengenangkan yang aku juga pasti akan menjadi ahlinya satu hari nanti. Bila dan di mana? Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Entah mengapa aku juga teringatkan Ramadhan aku yang lepas, Ramadhan terakhir bersama tok. 19 Ramadhan yang lalu, genap setahun tok kembali menghadap yang Maha Esa. Di awal Ramadhan tahun lepas, aku yang ketika itu diuji dengan sakit kaki, tidak pergi bersolat tarawikh di masjid dan sempat menemani tok yang takut untuk tinggal di rumah seorang diri. Tok selalu menungguku bersolat tarawikh. Masih terbayang tok memakai telekung dan duduk di muka pintu bilikku. Ah, sungguh emosi!

Moga tok baik2 sahaja di alam barzakh dan moga menjadi tempat berehat sebelum hari Qiamat. Aminn.
Alhamdulillah, dalam keterujaan menanti bulan Ramadhan, aku sempat menziarahi kubur Tok di Terengganu pada bulan Sya'ban yang lalu. Aku menahan sebak sambil membersihkan pusaranya. Abah yang memimpin bacaan doa kami. Ummi juga tak tertahan kesedihan. Dan aku sebagai anak, tak terlepas memikirkan bagaimana pula hari perpisahan abadi bersama ibu bapaku yang bakal aku lalui satu saat nanti. Aku rela jika aku yang pergi dahulu sebelum mereka....

Aku turun dari kereta malam tadi dengan fikiran yang masih melayang2 jauh memikirkan tentang kematian. Aku teringatkan pula bagaimana hinanya orang munafik.
 

Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).
~At-Taubah 9:84~ 
 
 
Moga aku tak menjadi salah seorang daripada mereka golongan munafik. Nauzubillah....
 
Sejak tok meninggal pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan, aku juga bercita2 sangat untuk meninggal pada Hari Jumaat dalam bulan Ramadhan. Mohon doa daripada semua pembaca.

Dan hari ini hari Jumaat tiba lagi, aku terkenangkannya. 







Aug 1, 2012

Miscellaneous Ramadan

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, masih diberi umur untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan di dunia ini, masih bernafas dalam degupan iman dan Islam dan masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk mencoretkan sesuatu di sini yang entah bila akan ku tinggalkan buat selama-lamanya. Itu pasti.

Hari ini, kita sudah memasuki fasa ke dua bulan Ramadhan al-Mubarak. 10 hari pertengahan bulan yang mulia ini. Diharapkan kita masih sama-sama dapat membahagikan masa seadilnya bagi merebut ganjaran dan keampunan sepanjang bulan ini.

Banyak perkara yang terjadi sepanjang 12 hari berpuasa bagi diri saya pada tahun ini. Kegembiraan dan kesedihan yang mana apabila kita redha, nescaya Allah akan campakkan ketenangan dalam hati kita. Hingga hati kita berkata, "Ya Allah, aku redha dan pasrah dengan segala ujian Mu. Moga aku bersabar dengan segalanya. Innalillahi wa inna ilaihirajiun."


Di sekolah, kegembiraan jelas terpancar pada kami umat Islam apabila kami menerima 2 orang saudara baru. Saudara seagama dan seakidah. Ya, 2 orang anak muridku baru memeluk Islam. Makin bertambah 'jemaah' yang mengimarahkan surau pada waktu rehat. Pertama kali saya memakaikan tudung kepadanya, mereka tersipu2 malu.

"Best tak?" saya bertanya.

Mereka hanya menganggukkan kepala dan senyum lagi. :-)) sambil memegang tudung yang sudah sedia tersarung di kepala.

Sesungguhnya Allah swt lah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memimpin seseorang kepada kebenaran. Moga Allah sentiasa memimpin anak2 muridku yang berjuang meninggalkan gaya hidup jahiliyyah mereka. Jadikan mereka mutiara yang bersinar di celah2 debu kekafiran.

Saudara2 ku sedang mendengar kata2 hikmah kak ustazah
Beberapa hari yang lalu, sedang asyik mendengar ceramah, ada satu ayat penceramah tu yang menerombos ke segenap penjuru hatiku. Kak Ustazah di sebelahku perlahan-lahan menarik kertas catatanku dan menulis sesuatu. Mulanya, saya tak pasti apa yang ditulisnya. Kemudian beliau perlahan-lahan memberikan semula kepadaku. Tak sangka, ayat itu ditulis. Perasaan kami sama. Ayat itu meruntun hati kami. Mempasakkan keyakinan yang datang tiba2. Kata-kata itu berbunyi,

"Apabila kita berbaiah dengan Allah, nescaya Allah akan permudahkan."

Allah hu akbar...
Masih banyak perkara yang saya masih berhutang dengan Allah.
Masih banyak perkara yang masih belum dibaiah dengan Allah.

Minda ligat menilai diri sendiri. Masuk ke setiap inci hati. Menyelinap ke seluruh kehidupan sendiri.
Mengembara melihat kesan2 sejarah yang berlaku pada diri sendiri.

Mulai saat ini, saya memulakan langkah seterusnya kehidupan
 dengan 
"bismillahi tawakkal tu 'alallah".