Pages

Showing posts with label muslimah. Show all posts
Showing posts with label muslimah. Show all posts

Mar 17, 2014

Kehidupan Realiti

Assalamualaikum wbt.

Bismillah..........

Hari ini, saya nak kongsikan satu hasil cetusan idea seorang sahabat yang amat istimewa dalam hidup saya.
Sama-sama kita mengambil iktibar daripada hasil tulisan beliau. Saya menunaikan amanah untuk di 'publish' di ruang ini....



KEHIDUPAN REALITI (part 1)

Hari demi hari, hidup semakin mencabar.Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi orang yang berguna dan cerdik pandai.Dapat gaji besar, rumah besar, kereta besar..macam dalam bait  lagu ‘kalau aku kaya’.Itulah realitinya..

Semasa anak-anak dalam kandungan,ibu bapa dah plan anak-anak bakal jadi apa..doktor,engineer, lawyer, pilot, penyanyi,pelakon dll..Maka,sejak dari kecik, anak-anak akan dihantar ke seberapa banyak tempat tuition untuk menuntut ilmu sains, English ,matematik dan sebagainya. Ibu bapa sanggup menghabis duit beratus-ratus demi anak-anak..Selain itu,anak-anak akan dihantar ke kelas muzik untuk release tension mereka.So,anak-anak akan diajar bermain piano,biola,violin, tarian dan sebagainya..

Bila anak-anak belajar agama..???tak pe,nanti mereka akan belajar agama di sekolah.Apa guna ustazah dan ustaz dibayar kalau tak mengajar anak-anak mengenai solat, hukum hakam dan lain lain. Bila anak-anak praktikkan solat, puasa dan lain-lain ajaran islam.. ??Nanti-nanti mesti tahu.Kan dalam kad pengenalan ada tulis ‘ISLAM’. Tu yang penting. Ibu bapa nak suruh anak-anak solat zohor,kesian budak-budak penat balik sekolah.Nak suruh solat asar,mereka dah kena bersiap untuk kelas muzik.Nak suruh solat maghrib,tak sempat sebab kena bersiap untuk ke tuition. Nak suruh solat isyak,penat aktiviti seharian..Biarlah budak-budak ni tidur.Nak kejut untuk solat subuh..awal sangat.kesian..Jadi bila mereka bersolat.. ???tak pe..besar nanti mereka tahu kewajipan solat itu..ayat ini ada dalam pemikiran ibu bapa kini. 

Maka akan lahirlah generasi yang kiblat pun tak tahu arah mana..Lebih malang,kiblat apa pun tak tahu..Sejadah ada..Tu pun nasib ada sebab hantaran mak ayah pada zaman perkahwinan dulu. Tak mustahil kajian yang dilakukan di sekolah-sekolah menengah di satu daerah mencatatkan lebih dari 70% para pelajar tidak cukup SOLAT 5 WAKTU. PELAJAR SEKOLAH MENENGAH bukan sekolah rendah. Salah siapa ??Salah ibu bapa atau para guru ?? Para guru bersama pelajarnya 8 jam sehari sahaja. Selebihnya.. ???Tidak kesian ke lahirnya generasi yang terlalu kejar dunia sehingga lupa tugas sebenar kita dilahirkan didunia ini ?

KEHIDUPAN REALITI (part 2)

Apabila sudah dewasa,maka anak-anak akan dapat tawaran universiti..Ibu bapa gembira sebab anak-anaknya pandai dan dapat tawaran di universiti ternama dan kos yang power. Sesetengah ibu bapa just remind anak-anak mereka tentang pointer..’Kamu buatlah apa pun,yang penting pointer mesti dekan’.Maka,anak-anak mencari kegembiraan  ‘diluar’. Di universiti, mereka akan berjumpa dengan macam-macam ragam jenis manusia. Dan yang penting, tiap individu tidak akan masuk campur hal orang lain. Katanya kenapa perlu menjaga tepi kain oarang. Ini menyebabkan rakan serumah membuat maksiat, tak tegur. Alasannya, kubur masing-masing. So, tahun pertama kebanyakkan adik- adik gadis sudah mempunyai teman lelaki. Katanya untuk berkongsi masalah. Kenapa mesti berkongsi masalah dengan teman yang berlain jantina ??biasanya,apabila ditanya, mereka akan menjawab’Tak pe,dia bakal imam saya ‘.BAKAL je kot..niat tak menghalalkan cara.

WAHAI ADIK –ADIK GADIS, KITA ADA MARUAH UNTUK DIJAGA. MARUAH AGAMA,MARUAH IBU BAPA,MARUAH DIRI.KALAU SEMASA MENJADI TEMAN,SUDAH PEGANG SANA SINI.SIAP SALAM CIUM TANGAN SEBELUM BERPISAH.KATANYA KENA PRACTICE.NANTI KALAU DAH KAHWIN,SENANG.PRACTICE MAKE PERFECT.HELLO..BENDA MACAMNI TAK DA NAK PRACTICE. TIME ‘BERCOUPLE’ SIAP TOLONG MASAK MAKAN KESUKAAN TEMANNYA.KATANYA NAK RASA MAKANAN AIR TANGAN TEMAN WANITANYA.TAK DA MAKNANYA..KEDAI MAKAN BANYAK KAT LUAR..NAK MAKAN APA,BOLEH CARI..ADA YANG TOLONG BASUH PAKAIAN TEMAN LELAKINYA..AMBOI..KEDAI DOBI BELAMBAK KAT LUAR..BOLEH BUAT SENDIRI..COME ON LA..ADA YANG LEBIH MALANG,SIAP BOLEH STAY UP MALAM-MALAM KAT LUAR DENGAN PASANGAN MASING-MASING .KATANYA UNTUK LEBIH MENGENALI DIRI PASANGAN.JAGA DIRI KAMU ADIK-ADIK GADIS..

Wahai ibu bapa..kalian tahu anak-anak keluar dengan siapa ??Keluar pulang ke rumah pukul berapa??Cara pemakaian macam mana ??? pergi ke mana ??Tak pe,ibu bapa akan cakap..kami yakin dengan anak kami.Kami yang mendidik mereka..baik lah..Anda tahu cara anak-anak anda..tapi hakikatnya adakah anda tahu… ???

Di mana kesilapan besar semua masalah ini berlaku ???Sama-sama kita berfikir dan berdoa semoga keturunan kita dilindungi dan dirahmati Allah S.W.T.Ayuh semua saudaraku , kita berubah sebelum terlambat. Kepada saudara-saudara yang telah bergelar ibu bapa, berilah ilmu agama dan ilmu akhirat semaksimum kepada anak-anak kalian. Kepada adik-adik, ayuhlah berubah..Dunia hanya sementara,Jangan terlalu leka dan tersalah langkah. Berubahlah selagi diberi peluang. Kepada saudara-saudara islam sekelian, sama-samalah kita bertegur, mengingati kearah kebaikan. Tidakkah kita semua bersaudara.. ??Ayuh berubah dan berdoa menjadi hamba yang lebih baik disisiNya.

P/s : berbakat juga sahabat saya ni.......saya akan pujuk beliau untuk sama2 berjuang di medan ini satu hari nanti...kita akan berkunjung ke blog beliau :)) Biiznillah...




Dec 19, 2012

Da'wah Bil Hal Muslimah Bertudung Labuh

Assalamualaikum wbt.

Saya tertarik dengan satu penulisan oleh seorang penulis di alam maya yang saya kagumi penulisannya..saya kongsikan di sini.

Jom kita hayati...




Di dalam tulisan bertajuk Muslimah & Tudung Labuh, ada seorang muslimah yang telah memberi komen menceritakan sebab beliau masuk Islam.  Menurut beliau, pemakaian sebahagian muslimah yang bertudung labuh telah menarik hatinya untuk mengenali seterusnya memeluk agama yang suci ini.
Berikut adalah petikan komen beliau:
Tudung labuh boleh jadi sebab kepada hidayah ALLAH.
Hari ini, saya menulis dengan ringkas di Facebook mengenai satu situasi yang berlaku di dalam majlis rasmi sebuah kementerian.  Ia berkaitan bagaimana si muslimah bertudung labuh secara tidak langsung telah mengubah situasi majlis kepada yang lebih baik.

Berikut adalah mesej tersebut:

Muslimah bertudung labuh menyedarkan manusia akan agama.
Dua situasi di atas menyebut kebaikan yang dihasilkan secara tidak langsung oleh para muslimah yang bertudung labuh.  Ia memberi mesej kepada kita betapa pakaian menurut syariah Islam bukan sahaja memberi kebaikan kepada si pemakainya, bahkan buat orang-orang di sekelilingnya.

Da`wah Bil-Hal Si Muslimah Bertudung Labuh

Dakwah ada bermacam-macam jenis.  Jika da`wah bil-lisan adalah seruan kebaikan kepada manusia melalui ceramah, kuliah, seminar, forum dan seumpamanya.  Manakala da`wah bil-hal pula adalah seruan kebaikan kepada manusia melalui perbuatan dan penzahiran perilaku.

Da`wah bil-hal  ialah dakwah tanpa suara.  Ia mengajak manusia kepada kebaikan berdasarkan penunjukan contoh dan aksi.  Dakwah bentuk ini adalah antara bentuk dakwah yang paling memberi kesan kepada orang yang mahu didakwahkan.  Malah orang yang berada di sekeliling pun turut terkesan melalui dakwah cara ini.  Betullah kata pepatah “action speaks louder than words.”

Kita lihat situasi pertama di atas:
Seorang gadis yang pada asalnya bukan beragama Islam, bagaimanapun setelah beberapa kali melihat wanita-wanita Islam yang bertudung labuh, terus  jatuh hati dengan pakaian sederhana yang penuh kedamaian dan ketenangan itu.  Bahkan telah mencetus hidayah untuk beliau masuk Islam selepas dari itu.  Semuanya berpunca dari cara berpakaian muslimah yang bertudung labuh.

Tentu ini bukan kes yang pertama atau kedua.  Mungkin ada banyak lagi kes sebegini yang tidak kita ketahui yang berlaku di luar kesedaran kita.  Secara tidak langsung, muslimah-muslimah yang bertudung labuh telah berdakwah hanya melalui pakaian mereka.  Secara tidak mereka sedari, pahala kebaikan dari sisi ALLAH mengalir ke dalam buku amalan mereka.  SubhanAllah!  Pahala percuma buat mereka!

Kita lihat situasi kedua pula:
Si VVIP itu mungkin lalai dengan agamanya sehingga habis semua lelaki dan perempuan dijabatnya tanpa berasa segan dan kekok.  Mungkin kerana penghayatan agamanya kurang hasil dari persekitaran dan latar belakangnya sendiri.  Namun, setelah tiba giliran si muslimah yang bertudung labuh ingin mengambil sijil penghargaan beliau, si VVIP itu tiba-tiba tersedar akan tuntutan agamanya yang melarang dari lelaki dan perempuan bebas berjabat salam atau bersentuhan.

Kehadiran muslimah itu telah menyelamatkan lain-lain muslimah di belakang gilirannya.  Kerana sebelum muslimah bertudung labuh itu naik ke pentas, telah ada sok-sek-sok-sek di kalangan muslimah di tempat duduk yang masing-masing mengadu sesama mereka betapa tidak sensitifnya si VVIP itu terhadap agama.  Mereka merujuk kepada perbuatan si VVIP yang bersalam sakan dengan wanita-wanita bukan mahramnya di atas pentas.

Namun, tanpa bersuara si muslimah bertudung labuh itu telah menyampaikan mesej agama kepada si VVIP itu lalu menyedarkannya.  Beliau tidak meneruskan perbuatan beliau bersalaman dengan wanita selepas itu. Tidakkah hal ini boleh menyebabkan sayang ALLAH tercurah kepada wanita bertudung labuh itu?  Lain-lain wanita terselamat kerananya. Dan kerananya juga si VVIP itu tersedar. Dengan izin ALLAH, tentu ada bahagian pahala dari sisi ALLAH hasil dari perbuatan tidak langsung ini.

Dua contoh di atas hanyalah sebahagian daripada banyak contoh da`wah bil-hal yang dilakukan oleh para muslimah yang bertudung labuh.  Dan tentunya ia tidak terhenti di situ sahaja.  Banyak lagi contoh dalam masyarakat kita bagaimana si muslimah bertudung labuh boleh berdakwah secara tidak langsung hanya melalui pakaian tudung labuh mereka.  Antaranya ialah:
  1. Meredakan nafsu para lelaki yang selama ini melihat perempuan hanya sebagai objek seks.  Dengan melihat si muslimah bertudung labuh, si lelaki mungkin datang jiwa beragama secara tiba-tiba dan insaf.  Pandangan nafsu mereka akan ditenangkan dan diganti dengan keimanan.
  2. Muslimah yang bertudung labuh selalu mengingatkan para masyarakat akan agama.  Dengan kehadiran mereka, selalu secara tiba-tiba sahaja orang ramai akan teringat akan suruhan solat, suruhan tutup aurat, larangan mengumpat dan lain-lain hal berkaitan agama.  Kebiasaannya masyarakat akan segan untuk melakukan perkara-perkara yang bercanggah agama secara terbuka di hadapan muslimah yang bertudung labuh kerana secara amnya mereka mengingatkan kita kepada agama dan rasa beragama.
  3. Memberi contoh kepada lain-lain muslimah tentang cara berpakaian yang betul dan menepati syariat Islam.
  4. Menunjukkan kesederhaan dan kesopanan para wanita Islam kepada masyarakat Islam atau yang bukan Islam yang terkeliru dengan nilai-nilai ummat Islam yang dipesongkan oleh media dan persepsi masyarakat.
  5. Dan lain-lain lagi.
Semoga tulisan ringkas ini dapat membuka hati para muslimah di luar sana agar bertudung labuh dan berpakaian menutup aurat yang tepat dan sempurna menurut yang dikehendaki oleh Islam.  Tuan/puan boleh membaca secara ringkas mengenai cara berpakaian muslimah yang betul menurut Islam di sini:


Percayalah wahai para muslimah sekalian, bahawa apabila kalian berpakaian menutup aurat dengan sempurna, kalian bukan sahaja beroleh pahala kerana menepati kehendak agama yang dikehendaki atas diri kalian.  Dan ia bukan sahaja bakal menyelamatkan kalian dari bahaya yang mungkin datang dari lelaki-lelaki yang jahat.  Bahkan dengannya juga kalian beroleh pahala melalui dakwah yang kalian lakukan secara tidak sengaja, iaitu da`wah bil-hal yang telah dijelaskan di atas.

Semoga ALLAH Ta`ala pelihara para muslimah sekalian dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…

Nov 16, 2012

Bahagia Menjadi Siti Muthi'ah

Assalamualaikum wbt.

Rasulullah saw bertemu dengan puteri kesayangannya, Saidatina Fatimah lalu baginda memulakan bicara, "Wahai anakku, mahukah kamu menjadi seorang perempuan yang baik dan isteri yang dicintai suami?" tanya baginda saw dengan penuh kelembutan sebagai seorang ayah kepada anaknya.

"Tentu saja wahai ayahuku," jawab Fatimah lembut.

"Tidak jauh dari rumah ini terdapat seorang perempuan  yang sangat baik akhlaknya. Namanya Siti Muthi'ah. Pergilah temui dan teladani akhlaknya."

'Apakah kesitimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah saw?' hati Fatimah terdetik. Apakah amalan yang dilakukan oleh Siti Muthi'ah sehingga ayanhandanya memuji sebagai perempuan yang harus diteladani dan dicontohi?

Maka bergegaslah beliau menuju ke rumah Siti Muthi'ah dengan turut membawa Hasan, putera Fatimah masih kecil itu. Begitu gembira Siti Muthi'ah tatkala mengetahui tetamu yang bakal singgah di rumahnya ialah puteri kesayangan Rasulullah saw. Seraya membuka pintu, Siti Muthi'ah bersuara, "Sungguh gembira sekali aku menyambut kedatanganmu wahai puteri Rasulullah saw. Namun maafkanlah aku sahabat, suamiku telah mengamanahkan bahawa aku tidak boleh menerima tetamu lelaki di rumah ini."

"Ini Hasan puteraku, bukankah dia masih kanak2 ?" kata Fatimah sambil tersenyum.

"Maafkanlah aku, aku tak ingin mengecewakan suamiku, Fatimah," jawab Siti Muthi'ah lembut.

Fatimah mulai berasa akan keistimewaan yang dimiliki oleh Siti Muthi'ah. Dia semakin kagum dan berhasrat menyelami lebih dalam akhlak wanita. Lalu dihantarlah Hasan pulang dan bergegas kembali seorang diri.

"Aku menjadi berdebar-debar gerangan apakah membuatmu begitu ingin ke rumahku wahai puteri nabi?" ujar Siti Muthi'ah.

"Memang benar Siti Muthi'ah. Aku membawa berita gembira buatmu dan ayahku sendiri yang menyuruhku ke sini. Ayahku mengatakan bahawa engkau adalah wanita berbudi yang sangat baik, kerana itu aku ke sini untuk mencontohimu wahai Siti Muthi'ah."

 Siti Muthi'ah begitu gembira mendengar kata-kata Fatimah, namun masih terdetik rasa ragu. "Adakah engkau sedang bergurau wahai sahabatku? Aku wanita biasa yang tidak mempunyai keistimewaan apa pun seperti yang engkau lihat sendiri," ucap Siti Muthi'ah dengan penuh nada rendah diri.

"Aku tidak berbohong wahai Siti Muthi'ah. Ceritakanlah agar aku dapat mencontohimu."

Siti Muthi'ah terdiam dan terfikir. Dalam masa yang sama Fatimah terlihat sehelai kain kecil, kipas dan sebilah rotan.

"Buat apa dengan tiga benda ini?" tanya Fatimah.

Siti Muthi'ah tersenyum malu. Namun setelah didesak Siti Muthi'ah pun bercerita.




"Fatimah, suamiku bekerja keras memerah keringat dari hari ke hari. Aku sangat sayang dan hormat kepadanya. Sebaik kulihat suamiku pulang bekerja, cepat-cepat kusambut kedatangannya. Lalu aku buka bajunya dan aku lap tubuhnya dengan kain kecil ini hingga kering peluhnya. kemudian suamiku akan berbaring di tempat tidurnya bagi merehatkan badannya, lalu aku mengipas sehingga lelahnya hilang dan lena tidurnya,"jawab Siti Muthi'ah.

"Sungguh luar biasa pekertimu, Siti Muthi'ah. Lalu untuk apa rotan ini?" tanya Fatimah lagi.

Siti Muthi'ah menjawab, "Kemudian aku berpakaian yang paling indah untuknya. Setelah suamiku bangun dan mandi, aku siapkan pula makan dan minum untuknya. Setelah semua selesai, aku berkata kepadanya, "Oh, kekanda bila mana layananku sebagai isteri dan masakanku tidak berkenan di hatimu, aku ikhlas menerima hukuman. Pukullah badanku dengan rotan ini dan nyatakanlah kesalahanku agar tidak aku ulangi lagi," sambil dia menunjuk ke arah rotan itu.

"Seringkali engkau dipukul olehnya?" tanya Fatimah bedebar-debar.

"Tidak pernah, Fatimah. Bukan rotan yang diambilnya. sebaliknya dirikulah yang ditarik dan dipeluk dengan penuh kemesraan. Itulah kebahagiaan kami sehari-hari."

"Oh sungguh luar biasa dirimu wahai Siti Muthi'ah. Sungguh luar biasa! Benarlah kata ayahku, engkau perempuan berbudi pekerti baik," kata Fatimah dengan perasaan kagum.

'Kamu memang layak menjadi wanita yang pertama masuk syurga,' bisik hati Fatimah.

Petikan dari buku Tika Bidadari Berbisik.

 




Oct 25, 2012

Menutup Aurat Dengan Sempurna Di Hari Pernikahan

Assalamualaikum wbt.

Memandangkan jemputan2 walimah semakin banyak... berkadar terus dengan tempoh cuti sekolah hujung tahun nanti, saya sarankan kepada bakal2 menjadi mutazawwijin supaya menjaga batas-batas agama Islam semasa hari pernikahan nanti.

Bukan apa, banyak sekali walimah2 yang dihadiri tidak mengikut syariat Islam terutama pengantin yang tidak menutup aurat dengan sempurna.

Mulakan perjalanan baru dalam hidup anda dengan cara yang barokah...InsyaAllah...

Di bawah ini antara contoh pengantin yang menutup auratnya dengan sempurna. (lebih pada panduan buat muslimah)




 Semoga bermanfaat!

Oct 6, 2012

Tudung Yang Menutup Aurat

Assalamualaikum wbt.

Cuba berhenti berjalan dan pandang sekeliling.

Daripada 10 orang muslimah yang lalu-lalang di sekeliling, agak-agak berapa orang  yang menutup aurat dengan sempurna?

Walaupun perkara ni diulang berkali-kali, dari zaman sekolah sampai sekarang, dan yang pastinya ramai yang dah faham, tapi saja buat2 tak faham atau terlupa itu saya tak pasti...


Atas rasa tanggungjawab, saja nak buat ulangan sekali lagi tentang batas2 aurat wanita. Kalau kita lihat sekarang ni, banyak sangat fesyen muslimah yang sentiasa di "upgrade" mengikut peredaran zaman.

Tapi, sayangnya tak ikut syariat Islam. Dalam bahasa yang lebih mudah, tak tutup sempurna aurat. Jadi, apa salahnya, labuhkan tudung kita yang singkat supaya menutup dada. Kita pasti sayangkan aurat kita, tak mudah dipamerkan secara percuma kepada orang yang tak layak malah tak berhak melihatnya.

Isu utama bukan tak boleh berfesyen, tapi biarlah fesyen yang menutup aurat dengan sempurna.

Antara kesalahan semasa bertudung ialah:

*Memakai tutup rambut sahaja tapi leher terdedah.
*Memakai tudung tetapi tidak menutup dada.(Ini kesalahan yang paling kerap dilakukan)
*Memakai tudung yang menutup dada tetapi jarang, dan masih menampakkan bentuk leher. (Kebanyakan kain tudung bawal masih jarang)
*Memakai tudung tapi tak memakai anak tudung menyebabkan rambut masih dapat dilihat.

Semua di antara kita berhak untuk berubah menjadi lebih baik.

Perasaan saat kali pertama menutup aurat dengan sempurna memang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Anda yang sudah mengalaminya pasti dapat memahami apa yang saya maksudkan di sini. Cuma yang boleh saya katakan ialah ketenangan.

"Peliharalah auratmu ketika sihat, nescaya Allah akan memelihara auratmu di kala kamu sakit...insyaAllah"

N.B : Saya akan sambung dengan garis panduan berpakaian pula khas buat kaum Hawa..akan datang..nantikan!!!

Jul 14, 2012

Enam Ciri Wanita Yang Buruk

Assalamualaikum wbt.

Saya membelek-belek kitab Muhimmah karangan Syeikh ‘Abdullah Ibn ‘Abdur Rahim Fatoni petang tadi.
Kitab yang berkisar tentang wanita....makhluk sepertiku.

Berikut hanyalah secebis kupasan dalam kitab ini yang ingin saya kongsikan sebagai panduan kita bersama terutama kaum Hawa...


Pertama : Al-Ananah
Perempuan yang banyak mengadu tentang dirinya serta banyak keluh kesah padahal dia sentiasa menghias dirinya. Maka berkahwin dengan wanita seperti ini menyakitkan hati lagi tiada diperoleh darinya kebajikan.

Kedua : Al-Mannanah 
Perempuan yang berkata kepada suaminya, aku berbuat kebajikan begini2, namun engkau tiada berbuat kebajikan kepada ku.

Ketiga : Al-Hannanah
Perempuan yang berkeinginan kepada suami yang lain dan berkeinginan kepada anak dengan suami yang lain. Maka hendaklah dijauhi berkahwin dengan perempuan seperti ini.

Keempat : Al-Haddaqah
Perempuan yang berkeinginan akan sesuatu dan dia memperbuat sehingga suaminya membelinya. (suka memaksa suami membeli sesuatu yang diingininya walaupun di luar batasan kemampuan suami)


Kelima : Al-Barraqah
Mempunyai dua makna. Pertama ialah perempuan yang hanya suka menghias dirinya iaitu melampau-lampau hingga meninggalkan kewajipannya. Kedua suka memarahi ke atas makanan dan apa yang diberi oleh suaminya selalu dikatakannya masih tidak mencukupi.

Keenam : As-Sallaqah
Perempuan yang membanyakkannya akan perkataan. (Terlalu banyak bercakap).


Seindah Perhiasan Adalah Wanita Yang Solehah


Jun 10, 2012

Cipta Kelainan

Assalamualaikum wbt.


Ramai yang takut untuk menjadi lebih baik, terutama bagi golongan remaja dan yang baru melangkah ke alam kedewasaan. Pelbagai andaian negatif yang difikirkan. Takut kehilangan kawan, takut dipandang serong masyarakat sekeliling, takut tak dapat kerja, takut jadi sangat busy dan macam-macam lagi.

Bagi yang ingin berubah untuk menjadi lebih baik dari segi menutup aurat, selalunya takut kehilangan kawan-kawan 'sepermainan' dulu, takut si dia menjauhkan diri, takut susah untuk bergaul dengan lebih mesra dengan teman-teman, takut tak selesa nanti nak bekerja dan bergerak.

Jika dihitung, tak salah untuk mencipta kelainan. Namun kelainan yang bakal dicipta mestilah berlandaskan syariat. Kita patut berani dan berbangga bila berjaya berubah menjadi lebih baik. Ini bererti kita berjaya memerdekakan diri kita daripada sesuatu yang kita takuti sebelum ini. Kita berjaya melawan hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan yang telah banyak mempengaruhi kita supaya mengikut telunjuk mereka dan membelakangkan syariat Allah. Kita berjaya mengeluarkan diri kita daripada kepompong kejahilan yang selama ini kita berumah di dalamnya.

Ramai yang telah disapa hatinya untuk berubah menjadi hamba yang lebih cintakan kebaikan. Hati mereka meronta-ronta untuk kembali kepada FITRAH. Namun, belum cukup pengetahuan dan kekuatan untuk berubah disebabkan kurangnya sokongan daripada suasana sekeliling. Sungguh banyak cabaran yang pasti menanti. Namun percayalah, Allah sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali kepada fitrah. Pintu keampunannya terbuka luas kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali kepadaNya.

Bukan mudah untuk thabat di jalan yang lurus. Someone pernah bercerita kepada saya, di saat permulaan penghijrahannya untuk memakai baju muslimah, dia telah ditertawakan oleh saudara-mara yang bertanya kepadanya adakah dia memakai baju tidur pada ketika itu.



Adakah pelik memakai baju muslimah?Saya bertanya kepadanya, apakah reaksinya ketika itu, dia berkata bahawa dia hanya berdiam diri dan tersenyum. Mungkin mereka belum menerima taufik pada ketika itu dan hanya berdoa supaya mereka akan memahaminya suatu hari nanti. Saya katakan yang saya sangat berbangga dengannya dan berharap dia terus berubah.

Ya, bukan mudah untuk berubah namun tidak mustahil. Tak perlu menunggu tubuh kita dimamah usia. Tak perlu menunggu kesihatan kita merudum barulah hendak berubah. Inilah masanya. Ketika kudrat kita masih kuat, akal kita masih tajam untuk membezakan perkara baik dan buruk. Penglihatan kita masih terang untuk menambah ilmu. Kaki kita masih kuat untuk melangkah.

Akhir-akhir ini, ramai yang telah berubah...tapi sayang belum menepati syariat Allah swt. Contohnya, muslimah memakai tudung. Jika diteliti, mereka sebenarnya bukan memakai tudung untuk menutup aurat tetapi untuk menutup urat semata. Bagaimana Allah swt syariatkan pada kita ya muslimah? Cuba periksa tudung2 kita,

Adakah menutup dada?
Adakah tidak jarang?

Jika bertudung tapi jarang dan tidak menutup dada, ia masih belum menepati syariat. Orang kata, kalau exam belum lulus lagi tu. Sayanggggg sangat, kita buat sesuatu yang sia-sia di sisi Allah malah mendapat dosa. Rujuk Al-Quran Allah swt berfirman,

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(An-Nuur 24:31)


Jika kita faham firman Allah swt di atas, ayuh kita berubah. Cipta kelainan untuk diri kita. Kita melihat orang lain berubah, terasa rugi jika kita tidak mengikutinya. Mengapa hanya mereka? Bila pula giliran kita?

Ketenangan yang hanya kita yang akan merasainya. Tak mahukah kita merasainya di dalam hati?
Di saat hanya kita berkata-kata sendirian dengan Allah, di saat kita mengadu hanya pada Allah, di saat terdetik perasaan kita mahu berubah, tak perlu bertangguh lagi.

Mengapa tak perlu bertangguh?
Kerana kita tak tahu adakah rasa itu akan hadir lagi menyapa kita semasa hayat kita. 

Sanggupkah kita melepaskan saat itu berlalu begitu sahaja?
Sanggupkah kita biarkan mati sebelum mati? Mati sebelum mati yang amat ditakuti iaitu mati hati.

Ayuh, berubah ke arah kebaikan.

Cipta kelainan sebagai tanda cintakan Allah.




Dare to be different!







Dec 27, 2011

Tudung Labuh: Onak & Ujian.

Assalamualaikum wbt.

 Sumber : http://syauqahwardah1209.blogspot.com/2011/12/tudung-labuh-onak-ujian.html#comment-form


Tudung Labuh: Onak & Ujian.





Bismillahirrohmanirrohim..

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, & janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." [surah al-Baqarah: ayat 208]

Dengan Nama Pencipta Yang Maha Agung, Tuhan sekalian alam.

Alhamdulillah, saya rasa berbesar hati atas respon yang menggalakkan bagi post saya yang terdahulu tentang TIPS Awal Sebelum Bertudung Labuh. Alhamdulillah, saya bersyukur sekiranya perkongsian tersebut memberi manfaat kepada sahabat-sahabat, adik-adik, kakak-kakak yang dikasihi oleh Allah sekalian.

Saya doakan semoga hati-hati yang telah dibukakan oleh Allah itu akan terus kuat bagi menggerakkan jasad mengatur langkah perjuangan meraih keredhaanNya. insyaAllah.

Adapun begitu, kadangkalanya niat hati yang suci & azam yang berkobar-kobar itu menjadi merudum lantaran diuji dengan pelbagai ujian. Di kala itulah waktu kritikal yang paling sesuai untuk membina sebuah ketakwaan & kesandaran kepadaNya.

Berikut mungkin antara 'laluan berhalangan' yang harus ditempuhi sepanjang menyelusuri denai cahaya HidayahNya itu. Ada di antaranya saya tulis berdasarkan pengalaman diri, sahabat-sahabat lain, kenalan-kenalan mahupun melalui luahan-luahan peribadi usrati kepada saya. 

Namun, ujian setiap dari kita mungkinlah tidak sama. Cuma, harapan saya, ambillah iktibar & ibrah jika bermanfaat. Mungkin catatan ini dapat 'memujuk' hati 'beginners' sekalian supaya jangan berputus asa dalam mencari jalan pulang, insyaAllah.


1) Halangan daripada Keluarga. 

Keluarga sakinah, mawaddah, warohmah menjadi impian semua.


Haruslah kita akui, bukan semua setiap daripada kita bertuah dilahirkan dalam suasana keluarga yang menitipkan dakwah & tarbiyyah dalam pendidikan anak-anak mahupun seisi keluarga. Bukan semua institusi kekeluargaan di Malaysia ini mempraktikkan sunnah mendidik anak-anak menurut cara Islami. 

Mungkin kita terasa kuat apabila berada di kampus bersama-sama sahabat yang masing-masing menyokong hijrah kita. Namun, ujian sebenar bermula apabila kita pulang ke kampung & terasa sukar untuk berdepan dengan keluarga. Adalah perit menerima perlian & cemuhan. Bertambah perit jika kata-kata pedas itu dilontarkan oleh ahli keluarga darah daging sendiri. 

Pertama sekali, kita haruslah kuatkan semangat & kemaskan genggaman tawakal kita kepadaNya. Bersabar & mohonlah perlindungan & kekuatan daripadaNya. Kita harus faham keadaan keluarga kita yang mungkin terkejut dengan perubahan drastik kita itu. Tambahan lagi, kita memang daripada kecil memang kurang diterapkan dengan nilai-nilai agama. Mungkin jua di antara kaum hawa pertama yang mengenakan tudung, tudung labuh pula tu.

"Tak payah bertudung labuh pun tak apalah. Nanti orang kata apa pula, anak bukan main alim. Mak dengan adik beradik lain tudung pun entah ke mana. Jangan buat malu la." 

"Kau tu muda lagi. Pakai bungkus tudung besar-besar tu nampak macam orang tua. Tak payahlah pakai macam ustazah tu. Orang mengaji sekolah agama pun pakai tudung biasa je."
 
Biarkan saja kata-kata seperti ini berlalu pergi. Percayalah, keluarga kita juga adalah manusia biasa. Jikalau perubahan penampilan kita disertai dengan keindahan akhlak kita, insyaAllah lambat laun, ibu, ayah, abang, kakak mahupun adik kita akan perlahan-lahan dapat menerimanya. 

Sentuhlah hati mereka dengan akhlak kita. Perelokkan tutur kata, jadilah lebih sopan, menurut kata, ringan tulang membuat kerja rumah. InsyaAllah, hati mereka akan tersentuh & cair juga akhirnya walau menentang keras pada mulanya. InsyaAllah, mereka akan lebih menyenangi akhlak & penampilan baru kita itu.

Cuma, lambat atau cepat penerimaan itu, Allah lebih Tahu. Usaha itu hak kita. Tapi yang Menentukan itu adalah hak Allah. :)

Berbekal dengan doa & kesungguhan kita untuk istiqomah, mudah-mudahan Allah akan membukakan pintu hati semua ahli keluarga kita untuk menjadi hamba-hambaNya yang lebih soleh & solehah..  amiin.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman & orang-orang yang berhijrah & berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah al-Baqarah; ayat 218]


2) Kekasih Luar Nikah.

Ramai sahabat-sahabat saya yang 'menangguhkan' penghijrahan' mereka kerana alasan yang ini. Hanya kerana seorang lelaki yang dicintai sebelum bernikah. 

Bukanlah asing budaya "love-couple" (bercinta & berpasangan) sebelum akad nikah di negara kita ini. Bahkan pada usia belum baligh pun sudah ada anak-anak remaja yang terlibat dengannya. Astaghfirullahal adzhim..

Dalam keasyikan kita bercinta dan berpasangan, entahlah bagaimana tiba-tiba sahaja Allah menghantarkan hidayahNya kepada kita. Rasa angau, enak, indah & lazat bercinta dengan kekasih luar nikah kita itu tiba-tiba sahaja Allah nampakkan sebagai hodoh, busuk & menjelikkan. 

Kita ingin kembali. Kita rasa berdosa dengan kesilapan kita. Kita mahu menjadi perempuan solehah yang mahal harga dirinya. Kita mahu menyertai wanita-wanita syurga yang sangat mantap penjagaan batasan pergaulan (muamalat/ikhtilat) dengan lelaki yang bukan mahramnya. Namun, kita tak tahu harus berbuat apa.

Nak ditinggalkan lelaki itu, kita sudah banyak termakan budi dengannya, kita sudah lama menjalin cinta dengannya. Tidakkah nampak zalim kalau kita tiba-tiba meninggalkan dia dengan drastik? Itu persoalan yang mungkin bertalu singgah di hati.

Hati kita lalu berbelah bahagi. Memilih kembali kepada Allah atau meninggalkan kekasih hati? Kalau kita berhijrah namun masih melakukan kemungkaran tersebut, seakan tidak sah pula taubat kita itu. Itu yang kita fikir & sangkakan. Lalu, kita terus menjadi buntu.

Allah berfirman, Ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa bila dikatakan kepada kamu, "Berangkatlah untuk (berperang di jalan Allah)" Kamu merasa berat & ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia itu (dibandingkan dengan akhirat) sangatlah sedikit." [surah 9; At-Taubah: ayat 38]

Apalah hebatnya lelaki itu, yang cuma makhlukNya juga yang hina & berdebu dosa seperti kita jika hendak dibandingkan dengan Allah? Layakkah dia untuk menjadi penghijab jalan kita daripada pulang kepada Allah?

Lepaskanlah apa yang belum menjadi halal bagimu. InsyaAllah, Allah akan menjaganya lebih baik daripadamu. Kuatkanlah iman & bertawakallah kepada Allah. 

"....Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan Membukakan jalan keluar baginya." [surah 65; at-Thalaq: ayat 2]

"Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas & rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud hijrah kerana Allah & rasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. & Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." [surah an-Nisa', 4: ayat 100]

Saya faham, untuk mengambil langkah berpisah & meninggalkan kekasih luar nikah kita itu cukup susah & benar-benar menguji kita. Sesuatu yang telah kita buang perlulah digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Gantikanlah tempat yang telah ditinggalkan oleh kekasih kita itu dengan cinta Allah. InsyaAllah, luka & parut itu akan Allah sembuhkan dengan cintaNya.

Percayalah, jika kita melepaskan keduniaan semata-mata kerana mahukan ampunan & keredhaan Allah, nescaya Allah akan melimpahkan kebaikan kepada kita & menganjarkan sesuatu & seseorang yang lebih baik daripada dia yang telah kita tinggalkan kerana Allah. insyaAllah.


3) Dibayangi Dosa Lalu.

Halangan ini datangnya daripada kita sendiri. Kita menganggap, dosa kita yang terlalu menggunung itu takkan dapat terhapus hanya dengan taubat. Kita juga takut sekiranya kita akan mengulangi kembali dosa silam itu setelah bertaubat. 

"Aku banyak dosa. Aku dah sesat terlalu jauh. Nak ke Allah ampunkan aku kalau aku bertaubat? Aku pernah couple, berzina, tipu parents, minum arak. Nak ke Allah ampunkan aku...?"

Astaghfirullahal adzhim... siapalah kita untuk bersangka-sangka kepada Allah? KeampunanNya amat luas jika hendak dibandingkan dengan kemurkaanNya.

Allah berfirman dalam surah ke-4; An-Nisa' ayat ke 106; Ertinya:
"& mohonlah ampunan kepada Allah. Sungguh Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Kemudian Allah berfirman lagi dalam surah sama ayat ke 110, Ertinya:
"Barangsiapa berbuat kejahatan & menganiaya dirinya, kemudian dia memohon keampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapati bahawa Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Subhanallah! Baiknya Allah! :') Walau sejahat mana pun kita, Allah tetap menerima taubat kita selagi kita berusaha meraih ampunanNya. Dengan syarat, kita mestilah menyesali dosa terdahulu, berazam untuk tidak mengulangi serta berusaha untuk mengelakkan diri dari terjebak kembali ke arah maksiat itu.  

InsyaAllah, selagi dosa itu bukan dosa syirik, insyaAllah, Allah sentiasa membukakan pintu ampunanNya dan menerima taubat kita.

Setiap orang daripada kita melakukan dosa. Kerana kita adalah manusia yang bernafsu. Iman juga naik & turun. Pastilah kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun, adalah sangat berbeza berdosa lalu bertaubat & sentiasa berusaha untuk mengikutiNya dengan pendosa yang senang dengan dosanya & berat untuk bertaubat. 

Fitrah manusia bernafsu, namun, itu bukanlah alasan kita untuk tidak bertaubat & kembali kepada Allah. 

"Telah semakin dekat kepada manusia hari perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia) & berpaling (daripada akhirat.)" [surah al-Anbiya' ayat 1]

Tidak dinafikan, walau kita sudah bertaubat & memperbaiki diri sekalipun, kita masih ada masanya lalai & leka. Namun, segeralah kembali kepada Allah.
"Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah ke-12; yusuf: ayat 53]

Mohonlah pertolongan daripada Allah, "...maka katakanlah; "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakal, & Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy (singgahsana) yang agung." [at-Taubah; 9: 129]


4) Persepsi Tudung Labuh Hanya Untuk Golongan SMKA, Maahad.

"Aku jahat. Tudung labuh hanya untuk orang yang alim, banyak ilmu agama, aku bukan anak imam, ustaz atau lulusan maahad B, SMKA A. Aku sekolah biasa. Keluarga pun bukan orang masjid. Aku tak layak...."

Kalau boleh, buang sikap suka bersangka-sangka begini. Jika kita ingin berbuat kebaikan, demi mendekatkan diri kepada Allah swt, hayunkan sahaja terus langkah kaki itu bergerak ke arah matlamat kita. Elakkan bertangguh-tangguh dan bersangka-sangka negatif begini.

"Bila aku pakai tudung labuh, orang ingat aku banyak ilmu agama. Padahal aku baru jek nak bertatih-tatih pulang kembali padaNya. Kalau orang tanya hal-hal kemusykilan pada aku & aku tak dapat jawab, bukankah malu nanti?" 

Ini juga antara halangan atau mungkin juga alasan lain yang menjadi tembok bagi penghijrahan kita. Hakikatnya persepsi orang tidaklah boleh kita halang, kita juga tidak punya kuasa jika mereka fikir kita serba tahu.

Oleh itu, amatlah perlu perubahan penampilan itu seiring dengan penambahan ilmu, peningkatan ibadah & pemantapan akhlak. Rujuklah orang yang lebih faham agama seperti ustaz & ustazah. Ringankan kaki untuk pergi ke Majlis-Majlis ilmu untuk menambah lagi kefahaman agama kita yang mungkin kurang.

Namun, jangan pula kita fikir perkara ini perkara senang. Allah tidak menjanjikan keindahan, kewangian serta kemanisan sepanjang jalan mujahadah ini. Pasti akan ada ujian yang datang kepada kita untuk menguji. Namun, jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah & teruskan berusaha.

"Dan sungguh, Kami benar-benar Menguji kamu sehingga Kami Mengetahui orang-orang yang benar-benar bersabar di antara kamu; & akan Kami uji perihal kamu." [surah Muhammad, ayat 31]

Ingatlah, tak bermakna kita perlu menjadi anak imam, lulusan universiti al-Azhar, maahad, SMKA atau kita hafizah yang hafal al-Quran barulah kita boleh memakai tudung labuh. Tudung labuh bukan beerti kita maksum dari dosa, lengkap & cukup faqqih dalam ilmu agama, atau peribadi yang langsung tak ada cacat celanya. Kita ini manusia. Bukannya malaikat yang tak punya nafsu. Kita ini manusia biasa. Bukan para Nabi yang maksum. Pasti ada kekurangannya dalam diri kita. Namun, itu semua bukanlah alasan untuk tidak kembali kepadaNya.


5) Musuh Terbesar : Diri Sendiri

Percaya atau tidak, diri kita sendiri merupakan halangan terbesar buat diri kita sebenarnya. Diri kita boleh jadi musuh yang paling jahat & tidak boleh dipercayai. Kita menyangka halangan untuk kita kembali adalah datang daripada sekeliling kita. Walhal sebenarnya, kita sendiri yang membina persepsi tersebut. Kita sendiri yang banyak beralasan seolah-olah ragu-ragu, tidak yakin & berat hati untuk berhijrah. 

Oleh itu, haruslah kita muhasabah diri kita kembali. Apakah & siapakah sebenarnya yang menghalangi kita daripada berbuat kebaikan? Padahal kita tahu itulah kebenaran, namun mengapakah hati kita berat untuk bergerak ke arahNya? Apakah kerana hati kita terlalu tebal dengan debu-debu dosa? 

Elakkan beralasan, bertangguh-tangguh. Memang apabila kita memilih untuk bertudung labuh, kita akan berusaha untuk menjadi ghuraba (asing), kita tidak akan menarik perhatian lelaki. Lelaki tidak akan memandang kita. Penampilan kita akan sederhana. Bukanlah mengikuti trend semasa, fesyen ala-ala korea, ala-ala artis kesayangan kita, gaya tudung model terkenal, gaya tudung si A, si B yang nampak anggun & cantik itu. 

Anggaplah ini semua sekadar ujian kecil buat kita. Biarkanlah mereka dengan gaya kain jarang, berbelit-belit & 'seciput' yang menutupi kepala namun, mendedahkan aurat mereka itu. Yang disangkakan mereka cantik & mengikut arus semasa, lelaki memandang mereka & mereka juga suka apabila dipandang lelaki. Walhal itu semua hanyalah mengundang murka Allah sebenarnya.

Wahai sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak-kakakku yang dikasihi Allah sekalian.

Biarlah lelaki tidak memandang kita, asalkan kita dipandang Allah. Biarlah kita dikatakan kuno tidak trendy, asalkan itu yang mengundang redha Allah. Biarlah peluh yang mengalir kerana penampilan kita yang sempurna menutupi aurat kita, andai itu yang menjadi saksi untuk meraih syurga Allah kelak. Panas di dunia bukanlah apa-apa dibanding dengan panasnya api nerakaNya.

Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara. Bukanlah tempat untuk kita bersuka-suka, bersenang-senang. bergembira. Dunia ini adalah tempat menguji iman bagi orang yang beriman. Mereka menyekat nafsu mereka, mereka menahan dengan sabar, bagi mereka, dunia ini tempat untuk mengumpul bekal, tempat untuk mempersiapkan diri bertemu Allah di akhirat kelak.

"Barangsiapa mengkehendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami memberikan balasan penuh buat mereka atas pekerjaan mereka di dunia & tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi sesuatu pun di akhirat kecuali neraka, & sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan di dunia & terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan." [surah Hud: ayat 15-16]

"...Mereka tidak mampu mendengar & tidak dapat melihat kebenaran. Mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri, & lenyaplah dari apa yang selalu mereka kerjakan. Pasti mereka itu menjadi orang yang paling rugi di akhirat." [surah Hud: ayat 20-22]

Jika kita memegang teguh kepada Allah, semata-mata mahu meraih keredhaan & ampunanNya, kita kira Allah akan melepaskankah tangan kita itu? 

Tentulah tidak. 

Allah berfirman, "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka mengikut perintahKu & beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran." [surah al-Baqarah: ayat 186]

"Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya (iman). Dan pelindung bagi orang-orang kafir adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya & memasukkan mereka ke dalam kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya." [surah 2; al-Baqarah; ayat 257]

6) Halangan-halangan kecil lain

Sahabat yang baik, apabila kita terpandang wajah & akhlaknya, kita teringatkan Allah.


a) Sahabat baik/ teman rapat/ kawan karib.

Ada kemungkinannya juga, penghijrahan ini bakal 'mengusir' pergi kawan-kawan baik, teman-teman rapat mahupun sahabat sejati. Namun, insyaAllah, jika mereka benar-benar kawan yang baik, teman yang rapat & sahabat yang sejati, mereka akan memahami malah menyokong perubahan ke arah kebaikan ini.

Pada awalnya mereka mungkin terkejut & menjauhi kita. Hal ini kerana mereka menyangka kita sudah 'lain' daripada mereka. Namun, gunakan jugalah pendekatan yang sama dengan pendekatan yang kita gunakan pada halangan nombor 1. InsyaAllah, mudah-mudahan perubahan & penghijrahan kita ke arah yang lebih baik juga dapat melunakkan hati mereka untuk kembali.

Apabila sudah merasa cukup kuat, ajaklah juga kawan, teman & sahabat ini untuk sama-sama mengadiri usrah, ceramah serta majlis-majlis ilmu. Sambil berdoa juga agar Allah membukakan pintu hati mereka. Jangan sesekali meninggalkan mereka kerana sudah menganggap diri kita suci, baik & sebagainya. Nauzubillah.!

Semua orang yang berdosa itu perlu dibimbing, bukannya ditinggalkan. Jika benar persahabatan kita kerana Allah SWT, maka kita akan bersungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar, yakni mahu sama-sama masuk ke syurgaNya. Bukannya kita meninggalkan sahabat kita itu terkontang kanting dengan masalahnya. Ini sepatutnya menjadi prinsip kita dalam bersahabat. Ini yang sepatutnya dipraktikkan. InsyaAllah. 

b) Antara halangan kecil lain ialah penerimaan masyarakat. 

Hal ini mungkin nampak kecil, namun, pada sesetengah orang, halangan ini besar & berpotensi untuk menggugah semangat untuk tetap istiqomah.

Saya sendiri, di awal penghijrahan, diuji dengan ujian yang ini. Ayah & ibu saya agak dikenali & banyak memegang jawatan penting di kawasan kediaman kami. Maka, apabila saya tiba-tiba pulang dengan gaya 'berbungkus' yang kemudiannya membawa pula kepada penghijrahan adik-adik saya, mungkin ada pihak yang memandang kami dengan sinis. 

Waktu kami ke salah satu walimah di tempat kami tinggal, kami telah digelakkan & diperli oleh sekumpulan makcik-makcik serta anak-anaknya yang berkumpul di sebelah tempat kami makan. Serta merta kami menjadi perhatian.

Kata-kata mereka itu memang sangat pedih & melunturkan semangat buat beginners seperti kami yang masih rapuh tercari-cari.

Waktu itu, bergenang air mata saya. Hampir saja air mata menitis ke dalam pinggan nasi yang sedang di makan. Dada terasa sakit menahan kesebakan. Saya tidak berani membalas pandangan ibu yang nampak hampa & pilu di kejauhan. Saya tak berani memandang adik-adik yang ada di sebelah. Tangan saya menggigil menahan rasa & hati rasa sungguh sayu.  

Waktu itu, doa saya, pinta saya, moga Allah kuatkan hati saya, ibu & adik-adik. Saya pandang, ganjaran Allah lebih besar dari pandangan & cemuhan mereka. Saya redha walaupun kejadian itu nyata memang melukakan.

Tambah melukakan, apabila hati tertanya, bagaimana pula agaknya terluka hati Rasulullah saw sewaktu menyampaikan risalah Allah kepada ummatnya yang jauh lebih menguji baginda. Apalah sangat kejadian itu jika mahu dibandingkan dengan rasa kasih baginda pada kita. 

Saya kuatkan hati sendiri & adik-adik. Nasihat saya pada mereka, kita usaha jadi baik untuk dimuliakan Allah. Bukan untuk manusia. Kita jadi baik untuk bertemu Allah & rasulullah saw dalam syurgaNya. Maka, kuatkan semangat, ini hanyalah ujian yang sangat kecil, kata saya.

Alhamdulillah, kini sudah bertahun penghijrahan ini. Syukur yang sangat tinggi saya panjatkan kepada Allah kerana menguatkan hati saya, adik-adik untuk terus tsabat dalam jalanNya.

Kalau saya yang lemah ini boleh, pastinya sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak semua yang jauh lebih hebat dari saya akan dapat mengatasi semua halangan ini, insyaAllah. :) saya yakin, antum boleh. Boleh, insyaAllah dengan kekuatan & pertolongan Allah.


Penutup: Mujahadah ini Payah, Namun... 

Allah sentiasa menanti taubat & 'kepulangan' kita kepadaNya.


Perjalanan menuju syurga itu dipenuhi onak & duri. Manakala perjalanan menuju ke neraka itu dipenuhi dengan suka, gembira & indah. Yang suka, gembira & indah itu adalah perangkap iblis & syaitan buat kita supaya menjadi sebahagian daripada mereka & menyertai mereka masuk ke dalam neraka & menjadi bahan bakarnya.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu. & boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [al-Baqarah, 2: ayat 216]

"Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah & Rasul & juga janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [surah 8; al-Anfal: ayat 27]

Sahabat-sahabat, adik-adik, kakak-kakak serta saudari-saudariku yang dikasihi Allah sekalian,

Mujahadah itu payah, jalannya sukar beronak duri, kadangkala kita tersungkur dan terluka. Namun, itulah harga yang perlu dibayar untuk syurgaNya.
Isian syurga yang hebat itu adalah insan-insan yang telah banyak bersabar, mereka telah banyak berkorban harta, masa, tenaga bahkan nyawa sekalipun demi Allah swt. Mereka itulah penghuni syurga yang indah bersih wajahnya, suci hatinya. Di sinilah tempatnya Rasulullah saw, isteri-isterinya, sahabat-sahabatnya, para sabirin, para mujahidin berkumpul. 

Tak inginkah kita menyertai mereka? 

Maka, teruskanlah bersabar, berusaha & berdoa. Mudah-mudahan semua amalan kita diterima & mudah-mudahan kita semua akan masuk ke syurgaNya tanpa perlu singgah ke nerakaNya dahulu. insyaAllah, amiin. 


Mudah-mudahan menjadilah kita wanita solehah yang bakal menjadi bidadari yang diredhai Allah. amiin.

Cukup dulu untuk kali ini, semoga bertemu lagi. Ambillah mana yang bermanfaat, maafkanlah atas kekurangan, kekasaran bahasa yang digunakan. Mudah-mudahan Allah pandang saya yang hina ini.

Allahu 'alam.