Pages

Showing posts with label akhlak. Show all posts
Showing posts with label akhlak. Show all posts

Nov 19, 2016

SABAR

Assalamualaikum wbt.

Antara perkara yang mudah dilafaz tetapi sukar diterjemah kepada perbuatan ialah SABAR.

SABAR  tidak terangkum kepada orang ditimpa kesempitan sahaja.

ORANG SAKIT SABAR dengan menahan kesakitannya
ORANG SIHAT SABAR dengan tidak menggunakan waktunya membuat maksiat
ORANG MISKIN SABAR dengan kesusahan hidupnya
ORANG KAYA SABAR dengan tidak membelanjakan hartanya pada tempat yang haram
ORANG BAWAHAN SABAR dalam mematuhi ketuanya
ORANG ATASAN SABAR dalam memegang amanahnya
ORANG BERKAHWIN SABAR dalam mengemudi rumahtangga
ORANG BUJANG SABAR dalam penjagaan dirinya
ORANG BERNIAGA SABAR dengan kerenah pelanggannya
PEMBELI SABAR dengan tidak membazir dalam pembeliannya

BERSABARLAH DALAM  SEGENAP KEHIDUPAN KITA........

KITA MAMPU MENGUBAHNYA....


Oct 13, 2014

Malu

Assalamualaikum wbt.


Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, 
"Iman itu memiliki 70 atau 60  lebih cabang. Cabang yang paling utama adalah mengucapkan (menegakkan) kalimat laa ilaaha illallah, sedang yang paling rendahnya adalah menyingkirkan duri dari jalan. Dan malu itu merupakan salah satu cabang iman."

(Riwayat al-Bukhari no.9 dan Muslim no.35)


Al-bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a., beliau berkata yang bermaksud, 
"Adalah Rasulullah saw itu lebih pemalu daripada seorang gadis pingitan. Jika melihat sesuatu yang tidak baginda sukai,kami boleh mengetahui daripada raut wajah baginda."

(Riwayat al-Bukhari no. 6119 dan Muslim no.2320)

Imam Nawawi berkata: "Menurut para ulama, bahawa hakikat malu itu adalah sebuah perangai yang diciptakan agar pemiliknya meninggalkan hal-hal yang buruk dan mencegahnya agar tidak mengurangkan hak yang mesti diberikan kepada ahlinya".

Feb 5, 2014

Generasi Burung Kakak Tua

Assalamualaikum wbt.

Kadang-kadang, kita pergi ke rumah seseorang, tentunya kita pernah lihat burung yang pandai bercakap.
Ada yang pandai bagi salam. Jadi, burung tu tak henti beri salam tiap kali nampak orang yang datang mendekat padanya. Itulah yang diulang-ulang tiap ketika dan masa.

Saya bukanlah berniat untuk menceritakan tentang burung kakak tua yang sebenar, namun sedikit sebanyak ia boleh mengingatkan kita supaya tidak menjadi generasi burung kakak tua iaitu tidak faham apa yang dituturkannya.

Kita lihat ramai yang sudah mula ada kesedaran mempelajari Al-Quran, tahu membacanya dengan bertajwid. Namun, yang sedikit kegusaran yang timbul apabila kita tidak tahu apa maknanya. Dari usia kanak-kanak, kita sudah berpuluh kali khatam Al-Quran namun kita tidak tahu apakah yang kita baca sebenarnya.

Hakikatnya, Al-Quran bukanlah diturunkan sebagai sesuatu yang sia-sia, ia sebagai ingatan kepada seluruh umat manusia. Petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman. Ia bisa menghidupkan hati yang mati. Mengingatkan hati yang lalai. Mengembalikan roh jihad yang sudah pudar. Mengingatkan tentang kematian.

Firman Allah SWT :

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

(Al-A'raaf 7:52)

Akhir kalam untuk kali ini, marilah kita sama-sama membaca Al-Quran beserta maknanya. Sudah sampai masanya kita memperbaharui amalan kita, belajar Al-Quran beserta maknanya dan disertai dengan amalan selepas memahaminya. Kita manusia. Tiada yang sempurna. Tetapi kita berusaha untuk membaiki diri kerana Allah swt tidak melihat kepada hasil, tetapi kepada usaha kita sebagai hamba.

Ya, kita bukanlah 'bos' di dunia. Kita adalah hamba.Ciri-ciri hamba? Tentulah taat dan patuh pada segala perintah Tuhannya. Rabb Yang Maha Agung.



 "Kita tidak mahu menjadi generasi burung kakak tua"



Feb 15, 2013

Sabar & Solat

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, masih dipinjamkan nyawa oleh Al-Khaliq.


Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
~Al-Baqarah 2:153~ 


Tika masalah melanda, tika duka menjengah..
banyakkan bersabar. 
Walaupun kita tahu bukan mudah untuk bersabar...tak semudah menyebutnya.

Sabar itu ada hikmahnya.
Sabar itu sangat indah.

Allah Maha Pengasih dari segala pengasih
Allah Maha Pengampun dari segala pengampun
Allah Maha Memberi dari segala pemberi

&

Tetaplah memohon pertolongan kepada Allah 
dengan sabar & solat.

Allah pasti mendengar.
Allah pasti memerhatikan gerak-geri kita
Maha Mengetahui apa yang kita perlukan



 
Subhanallah!!!
 





Jan 1, 2013

Sudah-Sudahlah Karaoke

Assalamualaikum wbt.

Petang semalam, masa "lepak-lepak" kat rumah, ada dua orang budak datang  hantar notis/surat, lebih kurang macam tu lah.

Rupa-rupanya, pemberitahuan tentang sambutan malam tahun baru untuk kawasan sini. Kawasan yang saya duduki sejak lebih 15 tahun ni. Buat pertama kalinya, buat pertandingan karaoke.."M****** Idol". Dalam tentatifnya ada pula doa awal tahun, dalam majlis seperti itu. Apa nak jadi.

Tersentap darah saya. Sudahlah tahun baru orang Islam- 1434H hari tu, tiada sambutan daripada penduduk, inikan pula tahun Masihi disambut besar-besaran dengan majlis "maksiat".

Nak dikatakan penduduk kawasan ini ramai yang bukan Islam, saya rasa 99.9% orang Islam.

Ia menjadi perbualan hangat dalam family saya malam tadi. Abah memberi nasihat dan kami mendengar.

Tengah malam tadi, saya sudah melelapkan mata dan tiba-tiba terjaga dengan bunyi bunga api, mercun. Dalam hati ni memanglah penuh dengan segala ketidaksenangan. Disambung pula dengan nyanyian.

Sambutan itu diadakan dekat sahaja dengan perkuburan Islam. Seberang jalan saja.

Jika masjid, sunyi sepi. Yang ada semuanya warga emas dan beberapa orang sahaja orang muda.

Inilah realitinya orang Islam sekarang. Sudah jaaaaauh daripada ajaran agama sendiri.
 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
~Al-Baqarah 2:208~
 
 
 
 
 Nota : Esok mula sekolah. No more cuti..(^__^)


Dec 23, 2012

Berkata Baik Atau Diam

Assalamualaikum wbt.


Lately..saya rasakan ada yang tersalah faham dengan apa yang saya katakan. Itulah lidah, bisa membawa bencana kepada kita.

Kadangkala kita tidak memaksudkannya, namun disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Merenung kembali diri, cuba mencari nasihat2 yang berguna buat diri, sehinggalah saya diajar untuk menghadam satu hadith,

Daripada Abu Syuraih al-Khuza’ie RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda,
 “Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia
 berbuat baik kepada jiran tetangganya. 
Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka
 hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan 
Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”.
~H.R. Bukhari~

Kadangkala kita lebih baik berdiam diri.
Memilih untuk DIAM.

Banyakkan BERISTIGHFAR.




Oct 25, 2012

Menutup Aurat Dengan Sempurna Di Hari Pernikahan

Assalamualaikum wbt.

Memandangkan jemputan2 walimah semakin banyak... berkadar terus dengan tempoh cuti sekolah hujung tahun nanti, saya sarankan kepada bakal2 menjadi mutazawwijin supaya menjaga batas-batas agama Islam semasa hari pernikahan nanti.

Bukan apa, banyak sekali walimah2 yang dihadiri tidak mengikut syariat Islam terutama pengantin yang tidak menutup aurat dengan sempurna.

Mulakan perjalanan baru dalam hidup anda dengan cara yang barokah...InsyaAllah...

Di bawah ini antara contoh pengantin yang menutup auratnya dengan sempurna. (lebih pada panduan buat muslimah)




 Semoga bermanfaat!

Sep 13, 2012

Ibu...Hormati Anakmu

Assalamualaikum wbt.

Rafflesia..tema baju batik hari ni..:-))
Cerita ni tiada kaitan dengan gambar di atas...

Peristiwa petang tadi, tatkala saya mengawasi peperiksaan, ada seorang murid yang meminta kebenaran untuk ke tandas, dia berpatah balik dan memberitahu bahawa seorang ibu hendak bertemu dengan anaknya. Saya yang bertugas melangkah ke luar dan menjenguk ke bawah dek kerana kelas peperiksaan berada di 1st floor.

Kelihatan seorang ibu lingkungan 30-an berdiri dengan bengis. Saya cuba melemparkan senyuman kepada beliau namun tidak dapat menarik perhatiannya. Tiba-tiba anaknya keluar dari kelas dan berdiri di tepi saya.

Ibu yang ternampak kelibat anaknya itu terus menjerit dari bawah, "Pekse(periksa) lagi ke?"

Anak itu menganggukkan kepala.

"Lain kali bagi tahu la! Tiga kali aku datang!"

 "Padan muka! Balik jalan kaki nanti!"

Suaranya memecah kesunyian dan sangat tinggi pada pandangan saya. Beliau terus berlalu begitu sahaja. Kami semua termasuk saya terkulat2 di depan kelas. Bayangkan, pengawas peperiksaan di kelas sebelah keluar tergesa-gesa mendengar jeritannya dari tingkat bawah.

Kasihan sungguh anaknya.

Saya memberi arahan kepada murid itu supaya masuk ke kelas semula. Perlahan-lahan saya bertanya kepadanya sama ada sudah selesai menjawab soalan ataupun tidak. Nasib juga sudah selesai.

"Mak tak tahu ke hari ni balik lambat?" saya bertanya cuba mencari puncanya.

"Saya lupa nak kabo(Beritahu)" murid itu menjawab longlai.

Ada beberapa pengajaran yang boleh saya ambil sebagai iktibar untuk kita semua.

Pertama, saya terus ke meja melihat namanya, ternyata dia Islam. Itu yang saya sangat kesal dengan sikap ibunya. Saya yang beragama Islam tumpang berasa malu kepada rakan pengawas yang bukan beragama Islam. Itukah cara kita mahu menarik non muslim supaya tertarik kepada agama kita yang suci ini? Malah kita yang telah merosakkan sudut pandang mereka kepada agama Islam.

Kedua, islam mengajar kita supaya menghormati sesiapa sahaja termasuk mereka yang lebih muda dari kita. Kita sering diingatkan supaya beringat yang kanak-kanak itu ternyata mulia daripada kita sebab tidak banyak dosa seperti kita yang dewasa.

Ketiga, seorang ibu sepatutnya tak menunjukkan "akhlak" seperti itu kepada anaknya. Tak hairanlah jika suatu hari nanti, anak itu tak menghormatinya. 'Sesiapa yang tidak mengasihi tak akan dikasihi.'

Keempat, anak itu sudah tercalar emosinya pada hari peperiksaan penting! Jika ibu mahu marah2, tunggulah hingga anak sudah pulang ke rumah nanti. Atleast, KIV dulu. Kasihan pada anak...

Akhirul kalam,
Hormatilah anakmu..Ternyata itu pengikat kasih sayangmu dengannya!
Berkekalan hingga syurga Firdausi..InsyaAllah.


Nota Bawah : Sampai malam ni duk teringat lagi peristiwa tadi. Mesti diluahkan di sini supaya dapat melelapkan mata dengan aman..:-) Supaya kamu kamu dan kamu yang membaca mengambil iktibar..Itu yang penting!









Jul 10, 2012

Adab Dengan Kasut

Assalamualaikum wbt



Selipar.

Sandal.

Kasut.

Sesuatu yang boleh dikatakan bukan lagi kehendak tapi keperluan. Paling tidak, kita ada sepasang kasut/sandal/selipar untuk kegunaan harian kita.

Tanpa selipar, kita sukar untuk berjalan tanpa alas di atas tanah, jalan raya hatta di atas lantai bersimen terutama jika itu bukan di rumah kita.

Namun, masih ramai yang tidak beradab dengan kasut.

Ketika di kawasan-kawasan yang kita perlu menanggalkan kasut, pastinya bukan hanya kasut/selipar/sandal kita di situ. Tak perlu bergantung pada berapa harganya, ia tetap kepunyaan insan lain dan bukan harta kita.

Cuba kita perhatikan ketika di masjid. Ramai jemaah yang datang memakai kasut/selipar/sandal. Mereka meninggalkanya berderet di depan tangga masjid. Semakin lambat kita tiba di masjid, semakin jauh selipar kita dari tangga masjid dan semakin jauh juga kaki kita sebelum menjejakkan kaki ke tangga masjid.

Apa yang kita lakukan?

Ramai sekali yang sanggup memijak kasut2 insan lain yang berada lebih dekat dari tangga masjid. Risau stokin yang dipakai kotor. Risau kaki mereka kotor. Tapi kita tak risau yang kita sudah menzalimi hak orang lain. Kita menzalimi kasut2 tu. Cuba bayangkan, kasut tu sangat susah nak dimiliki oleh tuan punya kasut. Tuannnya menjaga kasut tu dengan baik. Jika kotor dibasuh.

Apa perasaan tuannya kalau dia melihat kita memijak kasutnya?

Apa perasaan kita selepas solat, ketika mahu turun dari masjid, terlihat kasut kita habis kotor/lunyai dipijak insan lain?

Apa perasaan kita melihat kasut yang kita sayang tertolak ke dalam longkang disepak oleh insan lain?

Sedangkan kita tidak tahu, betapa besarnya kegunaan kasut tu pada tuannya.
Kita tak tahu tuannya telah memulakan memakai kasut mengikut adab-adabnya seperti membaca basmallah, memulakan menyarung kasut dengan kaki kanan dan kemudian memulakan langkah dengan kaki kanan serta mengharapkan keredhaan Allah.

Oleh itu, mari kita menjadi insan yang menjaga adab2 walaupun dengan selipar.

Hikmahnya yang boleh kita ambil ialah supaya mendidik hati2 kita tunduk menghormati sesiapa sahaja walaupun seseorang yang berada di bawah kita pada pandangan mata kasar. Itulah penilaian makhluk seperti kita yang zalim tidak seperti penilaian Allah  swt Yang Maha Adil. Seseorang yang hina di mata manusia belum tentu hina di mata Allah bahkan kedudukannya mungkin jauh lebih mulia daripada kita.

Wallahu  a'lam.


"Beradab Dengan Kasut"






Jul 7, 2012

Tunaikanlah Hajatnya!

Assalamualaikum wbt

Semasa di Johor tempoh hari, seingat saya majoriti sesi ceramah yang dihadiri diselitkan dengan pelbagai peringatan tentang kematian, berbuat baik dan pelbagai lagi kisah yang telah diutarakan.

Salah satu hadith yang telah disampaikan kepada kami adalah berkenaan dengan memenuhi keperluan orang lain. Dengan kata yang paling mudah, kita bantu seseorang yang perlukan bantuan kita.

 ❝ Barang siapa berjalan untuk memenuhi keperluan saudaranya, maka hal itu lebih baik dari pada i’tikaf selama 10 hari. Sedang orang yang beri’tikaf 1 hari kerana mencari ridha Allah SWT, maka Allah akan menempatkan 3 parit antara ia dan neraka. Lebar 1 parit lebih jauh daripada jarak antara langit dan bumi. ❞
  (HR Thabrani)


Apabila bertembung dua kepentingan yang berbeza di antara keperluan kita dan seseorang yang meminta pertolongan, kadangkala terasa berat sungguh untuk memenuhi hajatnya. Lebih dahsyat lagi, terlintas di hati dia adalah pengganggu kita, pengganggu masa rehat kita, pengganggu ibadat kita, pengganggu kerja kita.

Tapi, tersentakkah hati kita apabila membaca hadith di atas?

Rupa-rupanya, bila kita menolong seseorang yang memerlukan bantuan kita seumpama lebih baik daripada kita beri'tikaf 10 hari. Mampukan kita beri'tikaf 10 hari? Sehari pun belum tentu berjaya.

Mudah kan?

Kita penuhi keperluannya, kemudian ganjarannya amatlah besar.

Allah tempatkan 3 parit di antara kita dengan neraka. Luas parit itu pula setiap satunya seluas jarak langit dan bumi...

Tabarakallah!

Moga kita tak bermalas-malasan lagi memenuhi keperluan saudara2 kita.
Moga kita beringat2 sentiasa dengan hadith ini.
Moga kita tergolong di antara mereka yang beriman dengan hadith nabi ini.

Nabi sudah wafat untuk mengingatkan kita saban waktu seperti para sahabat dahulu.
Hanya pusaka Al-Quran dan hadith yang selagi mana kita berpegang teguh pada keduanya, Insya Allah kita tak akan sesat.

Moga ingatan ini bermanfaat untuk diriku dan dirimu sekalian wahai pembaca...

Jazakallahu khairan katheera!


Penuhilah kebutuhan saudaramu!




Jun 22, 2012

Sabar Dan Berbuat Baik

Assalamualaikum wbt.



Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.

 

                                                 Riwayat Muslim 

May 23, 2012

Cikgu Bahasa Inggeris Mesti Berpakaian Ikut Gaya Barat?

Assalamualaikum wbt.




Pengalaman ini diceritakan kepada saya oleh seorang kawan semasa di Sabah dahulu. Sahabat saya ini, sebelum memasuki salah sebuah universiti di Semenanjung, beliau mengambil STPM. Semasa di sekolah menengah, beliau sangat disayangi oleh beberapa orang guru bahasa Inggeris di sekolahnya kerana beliau sangat menyerlah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Selepas tamat STPM, beliau menyambung pengajian dalam bidang TESL di universiti. Rezeki beliau untuk menjadi pendidik telah tersurat. Semasa KPLI, usai praktikal, sahabat saya ini pergi semula ke sekolah untuk melawat guru-guru yang amat dirinduinya(luahan beliau kepada saya).

Sahabat saya ini sudah berhijrah memakai tudung labuh seperti seorang ustazah. MasyaAllah!. Dalam kerinduan yang amat sangat kepada guru-gurunya, beliau dengan penuh harapan pergi ke sekolah untuk bertanya khabar kepada guru-gurunya. Ada antara mereka yang menyambut baik kedatangannya.

Namun, yang amat menyedihkannya, seorang guru Bahasa Inggeris yang amat disayanginya telah memandang serong kepadanya.

Antara kata-katanya ialah, "Kita ni, jika jadi cikgu Bahasa Inggeris, tak boleh nampak sangat taksub pada agama".

Terkejut.

Hancur hati sahabat saya ini. Beliau berkata kepada saya, bahasa Inggeris hanya bahasa. Bahasa untuk memudahkan urusan dunia. Tak perlu menukar cara berpakaian, cara hidup dan segalanya menjadi "orang putih". (insyaalllah, akan saya ingat nasihatnya hingga ke akhir hayat).

Walaupun beliau sangat sayang akan gurunya, namun dia berlepas diri daripada "nasihat" gurunya itu.
Beliau mendoakan agar gurunya mendapat taufik & hidayah daripada Allah swt.

Walaupun kita mengajar apa pun subjek, walaupun kita digelar teacher di sekolah, tak salah menjadi teacher yang islamik, teacher yang memahamkan murid bahawa bahasa Inggeris hanyalah salah satu daripada ilmu Allah swt. Kita belajar bahasa Inggeris, bukan untuk meniru atau mengikut cara hidup orang barat atau pegangan hidup orang kafir laknatullah.

Kita belajar bahasa Inggeris untuk memudahkan urusan kehidupan kita.

Satu perkara penting yang mesti diingat, dalam syurga nanti, penghuninya bukan bertutur dalam bahasa Inggeris, tapi bahasa Arab.

Tak perlulah seorang cikgu bahasa Inggeris berpakaian seksi dan mendedahkan aurat.

Ada baiknya kita mulakan kelas dengan ucapan "Assalamualaikum" sebelum ucapan "good morning'.

Ada baiknya kita menjadi ketua kepada murid2 membaca doa penerang hati sebelum kita mulakan kelas Bahasa Inggeris.


Sebaik-baik guru ialah seorang yang berpegang teguh pada agama, mantap akidahnya dan berupaya mengajak muridnya mendekatkan diri kepada Allah swt.

Allahu a'lam. 














Adab Orang Yang Alim

Assalamualaikum wbt.

Ini sambungan daripada entry sebelum ini yang bertajuk Adab Penuntut Ilmu. Jika seorang yang menuntut ilmu ada adabnya, apatah pula gurunya / orang yang alim.

Sumber : Kitab Sirus Salikin.

Terdapat 17 adab seorang yang alim :

  1. Ihtimal iaitu hendaklah menanggung dan menerima segala kesusahan yang didatangkan oleh anak muridnya iaitu segala pertanyaan dan pekerjaan yang menyusahkannya yakni dia hendaklah bersabar dan tidak cepat marah.
  2.  Luzumul hilm iaitu bersifat lembut dan bukan pemarah.
  3. Menundukkan kepalanya.
  4. Jangan membesarkan diri atas segala hamba Allah swt melainkan atas orang yang zalim kerana menegahkan zalimnya.
  5. Tawadhuk iaitu memilih untuk merendahkan diri dalam perhimpunan orang banyak dan di hadapan orang ramai.
  6. Jangan bergurau-gurau dan bermain-main di dalam perhimpunan orang banyak.
  7. Kasih sayang dengan orang yang belajar kepadanya, berperangai dengan lemah lembut dalam pekerjaan dan perkataan diperlakukan kepada muridnya seperti mereka adalah anaknya.
  8. Menanti dan memperkasa dengan perlahan-lahan atas pertanyaan orang yang jahil dan membaikkan & membetulkan pertanyaan orang yang dungu dan orang yang bebal dengan menunjukkan jalan kebajikan dan benar dan meninggalkan marah serta menghentakkan kaki kepada orang yang baru belajar.
  9. Jangan meminta upah atas mengajarkan tetapi hendaklah ikhlas kerana Allah ta'ala.
  10. Jangan malu daripada berkata "Tidak tahu" pada suatu perkara yang ia syak padanya @ berkata "wallahu a'lam".
  11. Bersungguh-sungguh menghadap orang yang bertanya, dan jika dia tidak memahami soalan, hendaklah dia betul-betul memahaminya supaya dia menjawab soalan yang ditanya.
  12. Menerima dalil yang membenarkan perkataan orang dan muridnya, dan jangan ditolakkan dalilnya kerana guru itu malu kepada orang ramai kerana mengikut yang benar adalah wajib dan jikalau ada beberapa orang yang di bawah kita sekalipun.
  13. Mengikut kepada yang benar dengan kembali kepadanya ketika tersalah ia pada sesuatu masalah atau lancar lidahnya kepada sesuatu yang bukan dari kehendaknya.
  14. Menegah ia akan orang yang belajar ilmu itu akan memberi mudharat kepadanya.
  15. Menegah ia akan orang yang berniat dengan belajar ilmu itu akan memberi manfaat kepada sesuatu yang lain daripada Allah swt.
  16. Menegah ia daripada orang yang belajar ilmu yang fardhu kifayah dahulu daripada selesai mengetahui ilmu fardhu ain.
  17. Hendaklah ia mengamalkan ilmu itu supaya diikuti oleh orang yang belajar ilmu itu akan ilmunya dan perkataannya.

Apr 27, 2012

Adab Penuntut Ilmu

Assalamualaikum wbt.


Terdapat sebelas adab seorang penuntut ilmu yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah. Ia adalah seperti berikut :


  1.  Apabila bertemu guru, mendahului dengan memberi salam.
  2. Jangan banyak berkata-kata di hadapan guru. (bercakap-cakap ketika guru mengajar).
  3. Jangan berkata-kata sesuatu tanpa izin guru.
  4. Jangan bertanya kepada guru melainkan telah mendapat izin daripada guru.
  5. Jangan menyangkal perkataan gurunya itu dengan katanya si fulan menyalahi apa yang engkau kata.
  6. Jangan memberi isyarat kepada guru untuk menyalahi bicaranya dan menyebabkan guru bersangka bahawa kamu lebih pandai daripadanya kerana ia kurang adab dan kurang berkatnya.
  7. Jangan berbisik-bisik dengan orang yang sama duduk di hadapan guru (rakan seperjuangan).
  8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan guru, tetapi hendaklah duduk tunduk lagi beradab seolah-olah ia dalam sembahyang.
  9. Jangan membanyakkan pertanyaan kepada gurunya tatkala guru letih.
  10. Apabila guru berdiri, atau baru sampai, hendaklah dia berdiri untuk mentakzimkan guru dan jangan diikuti dengan pertanyaan ketika guru berdiri hingga sampai guru ke tempat duduknya melainkan kerana darurat, ia tidak ditegah.
  11. Jangan bersangka buruk dengan kepada guru yang menyalahi pada pendapat atau pengetahuannya kerana gurunya itu terlebih tahu akan segala hukum syarak dan segala rahsia syariat.

Sampaikan pada rakan-rakan, anak-anak, murid-murid, dan sesiapa sahaja yang bergelar penuntut ilmu. Insya Allah dengan menjaga adab-adab seorang penuntut ilmu, ilmu yang diperoleh akan lebih berkat serta bermanfaat.

 To be continued....'Adab Orang Yang Alim'....insya Allah...








Mar 31, 2012

Kapitalisme Merantai Jiwa

Assalamualaikum wbt.

Biasa kita dengar tentang kapitalisme. Istilah ini lebih kepada sistem ekonomi. Kalu kita tengok maksud kapitalisme dalam wikipedia, "sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan".

Jika dulu, kalau mak ayah kita beli barang-barang, memang tahan. Ada kualiti. Boleh pakai sampai ke anak cucu. Contohnya kukur kelapa. Yang zaman mak ayah kita kecik dulu still ada sampai sekarang. Tapi kalau zaman sekarang, semua benda tak tahan lama. Bukan sebab negara dah makin  mundur. Logiknya, kalau negara makin maju, mestilah barang-barang semua boleh tahan lebih lama. Ini tidak, barang-barang semua memang direka sekali dengan expiry date...supaya apa? Supaya peniaga-peniaga dan sesiapa yang terlibat boleh cari makan.


Tak ke sistem kapitalis tu?


Kita ambil satu contoh, kereta. Kalau kereta dulu memang tahan lama. Kalau accident tu tak lah teruk sangat. Tapi sekarang, terkena sikit dah kemek..... alal-ala tin MILO gitu...Sebab apa? sebab nanti adalah kerja mechanic kat bengkel, dapat lah jimatkan kos pengeluaran tapi hasilnya sama.

Kalau dah settle bayar hutang kereta, mulalah makin banyak rosak kereta tu. Macam tahu-tahu je tuannya dah habis hutang kereta. Sebenarnya bukan kereta tu yang tahu, tapi yang mereka yang mencipta kereta tu yang tahu. Memang dibuatnya expiry date kereta tu 9~10 tahun.

Tak dinafikan, semua benda di dunia ni ada expiry date, tapi sistem kapitalisme ni memang sudah meresap dalam diri kita, diri umat Islam sekarang.

Nak dikaitkan juga di sekolah. Kalau kita masa sekolah dulu, selalu cikgu marah suruh kutip sampah kalau jumpa, buang dalam tong sampah atau pun, jangan buang sampah merata-rata, tapi kita buang juga. Kalau ternampak sampah pula, biarkan ja. Sebab apa?..sebab kita fikir, nanti kalau kita yang kutip sampah tu, makcik yang tukang sapu sampah tak da kerja nak buat...

Tak ke sistem kapitalis tu?

Saya perhatikan, begitu juga anak murid saya sekarang. Biarkan saja sampah bawah meja. Selagi saya tak tegur, tak da sivik nak kutip sampah sendiri. Tak tahu yang kutip sampah tu bukan supaya kawannya yang bertugas menyapu tu tak payah buat kerja, tapi untuk kebersihan kelas sendiri.

Kesimpulannya, kapitalisme tu memang dah termasuk meresap tanpa kita sedar dalam diri kita sejak turun temurun. Saya, kamu wahai pembaca, kita semua yang sedar sepatutnya menjadi agen perubahan pada corak pemikiran kita, generasi kita akan datang.



Jom hentikan kapitalisme!















Mar 19, 2012

Akhlak Runtuh Dimakan Anai-Anai

Assalamualaikum wbt.

Perjalanan yang singkat tetapi sungguh bermakna. Cuti kali ini ke Terengganu. Hajatnya bertemu dengan sahabatku Cik Amy. Almaklumlah, Cik Amy akan jalan jauh minggu ini ke tanah suci, Insya Allah. (doakan kami pula)

Kami (me, jihah, amy& anak saudara amy) ke kawasan tepi pantai, ambil angin petang. Perbincangan kami petang itu ternyata lebih kepada  masalah umat Islam sekarang. Saya bercerita kepada mereka bahawa statistik seorang kaunselor yang telah menjalankan kajian /soal selidik di sebuah sekolah menengah telah mendapati bahawa setiap kelas mempunyai 'wakil' yang telah berzina.

See???

Betapa keruntuhan akhlak sangat berleluasa di sekeliling kita. Ini bukan satu kisah dongeng atau khabar angin yang sengaja memperburuk umat Islam. Tetapi, satu kisah benar yang sepatutnya kita yang mempunyai ilmu dan iman mengambil tindakan sewajarnya.

Apakah sebabnya?
Ibu, ayah, semuanya mahukan yang terbaik. Namun, di sekolah, keluar daripada rumah bagaimana?

Saya sebagai 'cikgu', terkedu juga dan hanya mampu mengiyakan bila mana teman-teman mengatakan salah satu punca yang juga menyumbang disebabkan cikgu sendiri tidak menutup aurat dengan sempurna. Itulah yang anak-anak murid perhatikan setiap hari ke sekolah. Itulah yang disimpan dalam ruang memori otak mereka. Bermula daripada umur sekolah rendah, mereka lebih mempercayai kata cikgu terutama apa yang cikgu ajar tidak kira walaupun parents mereka sendiri cikgu.

Seruan kepada diri sendiri terutamanya dan pembaca, terutama yang terlibat dalam dunia pendidikan, jagalah pakaian, perwatakan kita sebagai cikgu. Jika hari ini kita memakai pakaian yang tidak menutup aurat, dan boleh jadi anak murid melihat kemudian mengikuti cara kita, kita pasti akan mendapat 'saham' yang merugikan itu.

Bentuklah hati murid sebaiknya.
Berilah makanan yang terbaik kepada hati mereka.
Biarkan mata mereka melihat kita cintakan Islam dalam berpakaian.
Sayangi mereka kerana Allah.
 

Mengapa saya katakan akhlak runtuh dimakan anai-anai?

Sebab, kalau kayu dimakan anai-anai kita tidak sedar. Begitu juga akhlak. Runtuhnya akhlak remaja hari ini tanpa kita sedari dan ia berpunca daripada kita juga sendiri.

Mari kita berdakwah di medan ilmu!

Jan 28, 2012

Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Kepapaan

Assalamualaikum wbt.


Pagi ini saya kongsikan antara perkara atau perbuatan yang menyebabkan kepapaan(kemiskinan).

  1. Berdusta atau mengumpat
  2. Banyak tidur
  3. Tidur dalam keadaan telanjang
  4. Makan sesuatu ketika berjunub
  5. Memudahkan sesuatu yang tumpah dari makanan (ambil mudah makanan yang tertumpah)
  6. Mengeringkan anggota badan dengan menggunakan tepi kain
  7. Membakar kulit bawang
  8. Menyapu rumah pada waktu malam
  9. Meninggalkan sampah di dalam rumah
  10. Berjalan di hadapan gurunya
  11. Membasuh tangan dengan tanah
  12. Memanggil kedua ibu bapa dengan nama keduanya
  13. Meringankan sembahyang
  14. Menjahit kain pada badan
  15. Menanggalkan sarang labah-labah pada rumah
  16. Bersegera keluar daripada masjid
  17. Berpagi-pagi ke pasar dan kemudian lewat pulang daripadanya
  18. Meninggalkan membasuh bejana(bekas) makanan
  19. Memberi akan roti yang pecah-pecah (bersedekah dengan sesuatu yang sudah tidak elok) kepada fakir miskin
  20. Memadamkan pelita dengan mulut
  21. Menyisir rambut dengan sikat yang patah
  22. Tidak berdoa kepada ibu bapa
  23. Memakai serban sambil duduk
  24. Memakai seluar sambil berdiri
  25. Bakhil (kedekut)
  26. Melebih-lebihkan belanjanya

 RUJUKAN : Kitab Al Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub terjemahan oleh Asy-Sheikh Ali Bin Abdur Rahmad Al-Kelantani.

Jan 14, 2012

Teguran Berhikmah

Assalamualaikum wbt.

Jika ditegur seseorang, tandanya Allah swt masih sayangkan kita. Allah hantarkan seseorang untuk tegur kesalahan kita, untuk kita kembali ke pangkuan jalan. Dulu, masa muda-muda di asrama, kakak sebilik selalu tegur itu ini, nak-nak pulak masa tingkatan 1, mula berpisah dengan family, kawan-kawan yang jadi penegur, penunjuk jalan.

Masa mula masuk tingkatan 1, kene amali solat depan kakak BADAR, hafal wirid lepas solat dan surah-surah pilihan. Kakak-kakak yang tegur, tunjuk cara yang betul. Masa tu lah mula tahu cara nak kekalkan kebersihan surau dan sebagainya.

Kehidupan dengan kawan-kawan, banyak belajar erti kebersamaan, darjatnya sama. Tak kira daripada keluarga senang atau susah, semuanya sama. Tinggal yang membezakan ialah, TAQWA di sisi Allah.

Masa di asrama juga, mula belajar nak gunting dan jahit tudung labuh. Seingat saya, Kak Salwa yang ajar masa tingkatan 1. Cara mengemas locker pun diajar. Ada pengawas asrama yang datang ajar masa tu. Walaupun rasa kecil ja, tapi amat berharga. Tiada bayaran diminta oleh 'pembimbing'.



Itu dulu, tapi sekarang bila dah masuk bidang kerja, kadang-kadang rasa semua hanya kerja semata-mata. Dah tak da orang nak tegur tentang kehidupan. Terasa lain sangat. Ada juga yang merungut bila ditegur. Mengumpat semula penegur di belakang.

Rasa sedih sangat, ukhwah dah tak sama seperti zaman belajar. Ada juga yang pantang ditegur, tarik muka dan bermasam muka.

Itukah akhlak Islam?
Sedarkah kita kawan menegur kerana sayangkan kita?

Sedarkah kita Allah masih cakna dengan kita?
Allah hantar kawan kita sebagai pemberi teguran berhikmah untuk kita.
Kawan kita tak mahu masuk syurga sorang-sorang. Dia tak mahu lihat kita hanyut.

Ubat, walaupun pahit, kita cuba jugak untuk menelan sebab kita mahu sembuh.
Begitu juga dengan teguran, walaupun pahit, kita harus menelannya dan ambil iktibar, berusaha berubah jika kita mahu sembuh dari 'penyakit hati'.

Umur kita makin hari, makin bertambah dan semakin menghampiri seseuatu yang pasti iaitu mati.
Jika kita tak mula berubah, tak ambil kisah dengan teguran, bimbang juga Allah sudah tidak menghantarnya di lain kali.


Sifat Orang Berjaya


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (A-li'Imraan 3:104) 


Oleh itu, diri dan pembaca, tak kira kita masih belajar atau sudah bekerja, marilah kita suburkan rasa kasih sayang sesama kita dengan menegur untuk kebaikan sahabat-sahabat kita.
Sayangkan sahabat, rakan sekerja biar bertempat. Jika kita biarkan dia berterusan dalam kesalahan, itu bukan sayang namanya.

Fikir-fikirkan!

Jan 1, 2012

Seruan Pada Muslimeen!

Assalamualaikum wbt.

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh).Sehingga kamu masuk kubur.
(At-Takaathur 102:1-2)


 Begitulah ayat yang dikupas pagi ini oleh ustaz. Pandangan semua jemaah tertumpu kepadanya.

 Takaathur ialah segala perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan mencapai beberapa perkara seperti :
  • Harta
  • Anak-pinak
  • Pangkat
  • Pengaruh
Terdapat dua jenis hubungan iaitu pertama hubungan dengan Allah dan kedua hubungan dengan manusia.

Jika kita perhatikan, kadangkala hubungan dengan manusia digunakan untuk menunjukkan kemegahan dan kesombongan.Segala kesombongan menjadikan manusia menyangka semuanya akan kekal.

Lantas, manusia lalai terhadap tugasnya sebagai hamba.

Ustaz cakap, sebagai contoh, kita sebagai umat Islam selalu lalai daripada solat berjemaah sedangkan pahala solat berjemaah itu 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Tak payah kita pergi jauh. Lihat sekeliling kita terutama rijal, berapa ramaikah hatinya tergerak ke masjid bila azan dilaungkan? Berapa ramaikah yang terus hidupkan enjin motosikal atau kereta untuk ke masjid bila azan dilaungkan?

Nak tak delete dosa?
Manusia yang datang ke rumah Allah, dosa-dosanya akan lebur dengan setiap langkahnya atau setiap pusingan roda kenderaan serta ada satu lagi ganjaran yang hebat.

Apakah ganjaran yang lain tersebut?
Allah tinggikan darjatnya di sisi Allah. Jika kita hari ini, antara kerani dan pengarah yang manakah yang akan lebih disanjung? Mestilah pengarah, ada bilik sendiri, boleh arahkan pekerja bawahan, menjadi VIP dalam majlis-majlis. Namun, adakah darjatnya sama di sisi Allah? Tentunya tidak wahai pembaca yang dihormati sekalian.

Allah telah berfirman,...
" Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)...."  
(Al-Hujuraat 49:13) 
 
Suka tak kalau kita dijamu?

Jika kita ke rumah seseorang, selalunya kita akan dijamu oleh tuan rumah. Begitu juga bila kita ke masjid. Allah telah menjanjikan untuk memberi jamuan kepada orang yang berkunjung ke rumahNya. Bukannya tiap kali kita ke masjid, telah ada jamuan tersedia. Tapi Allah janjikan jamuan tersebut di akhirat nanti.

Mahu dapatkan naungan Allah?
Salah satu golongan daripada 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat ialah pemuda yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Bila dengar "hayya 'ala solah", terasa hatinya, ya Allah, Allah telah memanggilku ke rumahnya untuk sembahyang berjemaah.

Banyak lagi sebenarnya kelebihan solat berjemaah di masjid.

Bersegeralah ke masjid. Aturkan langkah. Luangkan masa.

Hati-hati dengan harta
Hati-hati dengan anak-pinak
Hati-hati dengan pangkat
Hati-hati dengan pengaruh

Mari kita sama-sama betulkan niat lillahi ta'ala.
Mari kita sama-sama berubah ke arah kebaikan
Mari kita hapuskan rasa malas beribadah


Bismillahi tawakkal tu alallah.!


Dec 24, 2011

Sedekah & Mimpi Abdullah bin Al-Mubarak

Assalamualaikum wbt.



Abdullah bin Al-Mubarak r.a ialah guru kepada Imam Bukhari r.a. Beliau sangat hebat dalam bidang hadith. Ke mana sahaja beliau pergi mengadakan majlis ilmu, sentiasa sahaja dipenuhi oleh ramai pendengar yang hadir sehinggakan pada suatu hari, isteri kepada khalifah ketika itu iaitu khalifah Harun Ar-Rashid r.a yang melihat dari rumahnya orang berbondong-bondong seakan-akan menuju ke suatu tempat.

Lalu, isteri khalifah bertanya kepada suaminya,

"Ke manakah mereka hendak pergi?."

" Ke majlis ilmu Abdullah bin Al-Mubarak." jawab khalifah.

"Jika beginilah ramainya, Abdullah bin Al-Mubarak lah yang sepatutnya menjadi khalifah dan bukan kamu."

Begitulah hebatnya guru kepada Imam Bukhari r.a. ini.

Apakah kaitannya dengan sedekah?


Beliau bercerita......

Bahawa pada suatu tahun,  aku pergi menunaikan haji. Aku bermimpi bahwa nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Apabila kembali engkau ke negeri Baghdad, sampaikan salamku kepada Bahram Al Majusi dan katakan bahawasanya Allah s.w.t redha kepadanya."

Abdullah bin Al-Mubarak tertanya-tanya apakah keistimewaan Bahram Al-Majusi sehinggakan Rasulullah s.a.w mengirimkan salam kepadanya.

Selepas pulang ke Baghdad, Abdullah bin Al-Mubarak pergi bertemu Bahram Al-Majusi dan bertanya kepadanya,
"Adakah kebajikan engkau kepada Allah taala?".

"Aku mengahwinkan anakku dengan anakku dan aku membuat walimah."

"Ini haram," kataku.

"Adakah engkau berbuat yang lain?" tanyaku.

"Aku berkahwin dengan anakku dan aku membuat walimah." jawabnya.



"Ini haram". kataku lagi.

"Adakah engkau berbuat yang lain?" Aku bertanya sekali lagi.


"Seorang perempuan muslim (muslimah iaitu jirannya) datang ke rumahku dan dia menyalakan pelita dengan menggunakan pelitaku."


"Namun apabila sampai di pintu, pelitanya terpadam lalu dia datang semula untuk menyalakan pelitanya. Begitulah hingga kali ketiga."


"Pada kali keempat, aku telah mengikutnya hingga sampai ke tempatnya. Aku mengintai-ngintai ke dalam rumah muslimah itu dan telah melihat anak-anaknya sedang kelaparan."

Perempuan itu berkata, " Aku malu kepada Allah swt kerana meminta-minta kepada makhluk."


"Aku pun balik ke rumah dan mengambil makanan dan membawa kepada mereka."

Kata Abdullah bin Al-Mubarak, "Suka olehmu bahawa Nabi saw telah mengirim salam kepadamu dan sabdanya bahawa Allah swt telah telah redha kepadamu".

Bahram Al-Majusi pun memeluk agama Islam.

Begitulah berkat memuliakan jiran dengan bersedekah!