Pages

Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

May 21, 2018

Salam Ramadan 1439H

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah....kita semua masih diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan kali ini.

Moga bulan ini menjadi bulan terbaik untuk kita semua dalam mencari erti kita seorang Muslim untuk memenuhi perjalan pulang kepada Allah swt.

Sabar
Redha
Terus tersenyum.

Salam Ramadan.
Ramadan kareem.



Nov 19, 2016

SABAR

Assalamualaikum wbt.

Antara perkara yang mudah dilafaz tetapi sukar diterjemah kepada perbuatan ialah SABAR.

SABAR  tidak terangkum kepada orang ditimpa kesempitan sahaja.

ORANG SAKIT SABAR dengan menahan kesakitannya
ORANG SIHAT SABAR dengan tidak menggunakan waktunya membuat maksiat
ORANG MISKIN SABAR dengan kesusahan hidupnya
ORANG KAYA SABAR dengan tidak membelanjakan hartanya pada tempat yang haram
ORANG BAWAHAN SABAR dalam mematuhi ketuanya
ORANG ATASAN SABAR dalam memegang amanahnya
ORANG BERKAHWIN SABAR dalam mengemudi rumahtangga
ORANG BUJANG SABAR dalam penjagaan dirinya
ORANG BERNIAGA SABAR dengan kerenah pelanggannya
PEMBELI SABAR dengan tidak membazir dalam pembeliannya

BERSABARLAH DALAM  SEGENAP KEHIDUPAN KITA........

KITA MAMPU MENGUBAHNYA....


Jan 3, 2016

Sedikit Muhasabah

Assalamualaikum wbt.


Bismillahirrahmanirrahim...
Lama tak menjenguk ke sini..moga-moga ada sesuatu manfaat bila kembali menulis di sini...
Bukan mudah mahu ke jannah...banyak dugaan, ujian bagi menguji keimanan..

Moga semuanya baik-baik saja..

Alhamdulillah dengan segala rahmat Allah swt kepada kita semua. Nikmat kesihatan, masa lapang dan yang paling penting IMAN DAN ISLAM.

Usah dihitung nikmat-nikmat Allah dan berkira-kira masih belum cukup, tetapi gunalah sebaiknya segala nikmat yang dikurniakan kepada kita semua.

Tidak dikira kuat seseorang yang menang dalam pergaduhan dan perselisihan, tetapi yang dikira menang itu ialah orang yang menahan marahnya...marah boleh memutuskan silaturrahim..mencari-cari kesalahan orang lain juga boleh menyebabkan pertelingkahan....


Firman Allah yang bermaksud,

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. 

(Al-Hujuraat 49:11)

Moga-moga Allah kuatkan hati-hati kita untuk memelihara silaturrahim....







Jan 10, 2015

Betapa Ramainya.......

Assalamualaikum wbt.

Betapa ramainya.....
Yang membaca Al-Quran 
Hakikatnya......
hidup tiada penambahan dalam beriman pada Allah swt

Betapa ramainya.....
Yang mengatakan beriman dengan Hari Akhirat
Hakikatnya.....
tidak membuat persediaan untuk kehidupan yang kekal

Betapa ramainya.....
Mengatakan takut dengan neraka jahannam
Hakikatnya.....
berebut-rebut untuk terjerumus ke sana

Betapa ramainya.....
masih mempunyai ibu dan ayah
Hakikatnya.....
Tidak berusaha menggembirakan mereka

Betapa ramainya.....
 Mempunyai adik beradik & kaum kerabat
Hakikatnya.....
Hidup dalam kedengkian dan memutuskan silaturrahim

Betapa ramainya.....
ingin masuk ke syurga Allah swt
Hakikatnya.....
Hanya berehat di dunia yang sementara ini 

Betapa ramainya.....
Mempunyai anak-anak
Hakikatnya.....
Dibiarkan mereka tanpa didikan agama 

Betapa ramainya.....
Mengatakan Allah itu Esa
Hakikatnya.....
Masih ramai yang mempersekutukan Allah dengan amalan yang karut
 
Betapa ramainya.....
mendengar azan setiap waktu solat
Hakikatnya.....
segelintir sahaja yang cukup solat fardhunya


justeru.........
penulis menyeru diri sendiri dan para pembaca.......
Usahlah terlalu leka dengan dunia.........
Zaman ini zaman yang penuh dengan kemajuan dalam teknologi
namun mundur dari segi akhlak dan pemikiran......
AWASILAH diri....
Usah biarkan terus hanyut dalam kesesatan 

FIKIRLAH tentang kehidupan yang kekal abadi
perjalanan masih jauh dan panjang
di sini hanyalah persinggahan sekejap....

diibaratkan hanya sehari di dunia berbanding 
kehidupan di akhirat

Duduk sejenak....
renunglah diri masing-masing....
jauhkan gadjet sebentar....
Bayangkan diri yang akan dihisab....

Alam Kubur & Mahsyar...
Itulah langkah selepas ini........

JAUH.......
YA
MASIH JAUH...........

YA ALLAH, JADIKAN KAMI GOLONGAN YANG SEDIKIT YANG MENDAPAT NAUNGANMU .....AMIIN YA RABB.


 





Jun 10, 2014

Jiwa Hamba

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberi pinjaman iman dan segala nikmat yang dikecapi tanpa boleh dihitung oleh kita sebagai hamba.

Semakin lama semakin jarang menulis di sini. Mungkin kadangkala saya berfikir bekali-kali untuk menulis dan pada akhirnya tidak berkesempatan mencoret sesuatu di sini. Mahu menulis namun mestilah sesuatu yang bermanfaat kepada yang membaca.

Orang kata, bukan mudah kita mahu bernafas dalam jiwa hamba. Apabila kita mula mahu bernafas dalam jiwa hamba, ada saja seribu satu halangan yang mendatang. Dunia pekerjaan dan dunia menuntut ilmu mempunyai suasana yang amat berbeza. Walaupun hakikatnya setiap hari kita belajar sesuatu yang baru, ia bukan mudah seperti ketika menuntut ilmu dahulu. Kita bergaul dengan segenap lapisan umur yang berlainan latar belakang pendidikan.

Futur

Hingga satu masa kita rasakan diri kita terkena penyakit futur. Salah satu tanda-tanda futur ialah apabila kita daripada seorang yang rajin beribadah, kuat bekerja, thabat di jalan dakwah tiba-tiba menjadi malas bekerja,malas beribadah, berat tulang di jalan agama Allah.

Jika ada tanda-tanda seperti ini, awasilah diri kita daripada penyakit futur terus merebak dan bermaharajalela dalam diri kita.

Rawatan?

1- Membaca, merenung dan memikirkan kandungan al-Quran.
2-Merasakan keagungan Allah.
3- Mendalami ilmu syariat.
4-Mencari persekitaran dan sahabat soleh.
5-Memperbanyakkan kerja amal.
6-Tumbuhkan rasa takut su’ul khatimah (kesudahan yang buruk)
7-Banyak mengingati mati.
8-Kepatuhan dan berlepas diri daripada orang kafir
9-Muhasabah jiwa ketika datang kelemahan
10-Menelaah kisah teladan salafussoleh

Moga-moga dengan rawatan yang diberikan kepada diri kita mampu dijakdikan antibodi daripada serangan penyakit futur.

Mulakan dengan diri kita

Jika mahukan saudara di sekeliling kita menjadi baik, mulakan dulu dengan diri kita. Jika mahukan saudara kita tetap kuat melangkah ke depan di jalan agama Allah yang banyak likunya dan penuh duri, mulakan dahulu dengan diri kita.

Nikmat yang paling berharga apabila masih ada sahabat yang sudi menegur kelemahan kita, memimpin tangan kita saat kita terjatuh dan mengingatkan kita saat kita terlupa. Itulah  nikmat hidayah Allah swt yang didatangkan melalui sahabat kita. Ucaplah seribu penghargan kepada mereka kerana tanpa mereka siapalah kita yang tak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan.



Keep Istiqamah!



Mar 17, 2014

Kehidupan Realiti

Assalamualaikum wbt.

Bismillah..........

Hari ini, saya nak kongsikan satu hasil cetusan idea seorang sahabat yang amat istimewa dalam hidup saya.
Sama-sama kita mengambil iktibar daripada hasil tulisan beliau. Saya menunaikan amanah untuk di 'publish' di ruang ini....



KEHIDUPAN REALITI (part 1)

Hari demi hari, hidup semakin mencabar.Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi orang yang berguna dan cerdik pandai.Dapat gaji besar, rumah besar, kereta besar..macam dalam bait  lagu ‘kalau aku kaya’.Itulah realitinya..

Semasa anak-anak dalam kandungan,ibu bapa dah plan anak-anak bakal jadi apa..doktor,engineer, lawyer, pilot, penyanyi,pelakon dll..Maka,sejak dari kecik, anak-anak akan dihantar ke seberapa banyak tempat tuition untuk menuntut ilmu sains, English ,matematik dan sebagainya. Ibu bapa sanggup menghabis duit beratus-ratus demi anak-anak..Selain itu,anak-anak akan dihantar ke kelas muzik untuk release tension mereka.So,anak-anak akan diajar bermain piano,biola,violin, tarian dan sebagainya..

Bila anak-anak belajar agama..???tak pe,nanti mereka akan belajar agama di sekolah.Apa guna ustazah dan ustaz dibayar kalau tak mengajar anak-anak mengenai solat, hukum hakam dan lain lain. Bila anak-anak praktikkan solat, puasa dan lain-lain ajaran islam.. ??Nanti-nanti mesti tahu.Kan dalam kad pengenalan ada tulis ‘ISLAM’. Tu yang penting. Ibu bapa nak suruh anak-anak solat zohor,kesian budak-budak penat balik sekolah.Nak suruh solat asar,mereka dah kena bersiap untuk kelas muzik.Nak suruh solat maghrib,tak sempat sebab kena bersiap untuk ke tuition. Nak suruh solat isyak,penat aktiviti seharian..Biarlah budak-budak ni tidur.Nak kejut untuk solat subuh..awal sangat.kesian..Jadi bila mereka bersolat.. ???tak pe..besar nanti mereka tahu kewajipan solat itu..ayat ini ada dalam pemikiran ibu bapa kini. 

Maka akan lahirlah generasi yang kiblat pun tak tahu arah mana..Lebih malang,kiblat apa pun tak tahu..Sejadah ada..Tu pun nasib ada sebab hantaran mak ayah pada zaman perkahwinan dulu. Tak mustahil kajian yang dilakukan di sekolah-sekolah menengah di satu daerah mencatatkan lebih dari 70% para pelajar tidak cukup SOLAT 5 WAKTU. PELAJAR SEKOLAH MENENGAH bukan sekolah rendah. Salah siapa ??Salah ibu bapa atau para guru ?? Para guru bersama pelajarnya 8 jam sehari sahaja. Selebihnya.. ???Tidak kesian ke lahirnya generasi yang terlalu kejar dunia sehingga lupa tugas sebenar kita dilahirkan didunia ini ?

KEHIDUPAN REALITI (part 2)

Apabila sudah dewasa,maka anak-anak akan dapat tawaran universiti..Ibu bapa gembira sebab anak-anaknya pandai dan dapat tawaran di universiti ternama dan kos yang power. Sesetengah ibu bapa just remind anak-anak mereka tentang pointer..’Kamu buatlah apa pun,yang penting pointer mesti dekan’.Maka,anak-anak mencari kegembiraan  ‘diluar’. Di universiti, mereka akan berjumpa dengan macam-macam ragam jenis manusia. Dan yang penting, tiap individu tidak akan masuk campur hal orang lain. Katanya kenapa perlu menjaga tepi kain oarang. Ini menyebabkan rakan serumah membuat maksiat, tak tegur. Alasannya, kubur masing-masing. So, tahun pertama kebanyakkan adik- adik gadis sudah mempunyai teman lelaki. Katanya untuk berkongsi masalah. Kenapa mesti berkongsi masalah dengan teman yang berlain jantina ??biasanya,apabila ditanya, mereka akan menjawab’Tak pe,dia bakal imam saya ‘.BAKAL je kot..niat tak menghalalkan cara.

WAHAI ADIK –ADIK GADIS, KITA ADA MARUAH UNTUK DIJAGA. MARUAH AGAMA,MARUAH IBU BAPA,MARUAH DIRI.KALAU SEMASA MENJADI TEMAN,SUDAH PEGANG SANA SINI.SIAP SALAM CIUM TANGAN SEBELUM BERPISAH.KATANYA KENA PRACTICE.NANTI KALAU DAH KAHWIN,SENANG.PRACTICE MAKE PERFECT.HELLO..BENDA MACAMNI TAK DA NAK PRACTICE. TIME ‘BERCOUPLE’ SIAP TOLONG MASAK MAKAN KESUKAAN TEMANNYA.KATANYA NAK RASA MAKANAN AIR TANGAN TEMAN WANITANYA.TAK DA MAKNANYA..KEDAI MAKAN BANYAK KAT LUAR..NAK MAKAN APA,BOLEH CARI..ADA YANG TOLONG BASUH PAKAIAN TEMAN LELAKINYA..AMBOI..KEDAI DOBI BELAMBAK KAT LUAR..BOLEH BUAT SENDIRI..COME ON LA..ADA YANG LEBIH MALANG,SIAP BOLEH STAY UP MALAM-MALAM KAT LUAR DENGAN PASANGAN MASING-MASING .KATANYA UNTUK LEBIH MENGENALI DIRI PASANGAN.JAGA DIRI KAMU ADIK-ADIK GADIS..

Wahai ibu bapa..kalian tahu anak-anak keluar dengan siapa ??Keluar pulang ke rumah pukul berapa??Cara pemakaian macam mana ??? pergi ke mana ??Tak pe,ibu bapa akan cakap..kami yakin dengan anak kami.Kami yang mendidik mereka..baik lah..Anda tahu cara anak-anak anda..tapi hakikatnya adakah anda tahu… ???

Di mana kesilapan besar semua masalah ini berlaku ???Sama-sama kita berfikir dan berdoa semoga keturunan kita dilindungi dan dirahmati Allah S.W.T.Ayuh semua saudaraku , kita berubah sebelum terlambat. Kepada saudara-saudara yang telah bergelar ibu bapa, berilah ilmu agama dan ilmu akhirat semaksimum kepada anak-anak kalian. Kepada adik-adik, ayuhlah berubah..Dunia hanya sementara,Jangan terlalu leka dan tersalah langkah. Berubahlah selagi diberi peluang. Kepada saudara-saudara islam sekelian, sama-samalah kita bertegur, mengingati kearah kebaikan. Tidakkah kita semua bersaudara.. ??Ayuh berubah dan berdoa menjadi hamba yang lebih baik disisiNya.

P/s : berbakat juga sahabat saya ni.......saya akan pujuk beliau untuk sama2 berjuang di medan ini satu hari nanti...kita akan berkunjung ke blog beliau :)) Biiznillah...




Feb 5, 2014

Generasi Burung Kakak Tua

Assalamualaikum wbt.

Kadang-kadang, kita pergi ke rumah seseorang, tentunya kita pernah lihat burung yang pandai bercakap.
Ada yang pandai bagi salam. Jadi, burung tu tak henti beri salam tiap kali nampak orang yang datang mendekat padanya. Itulah yang diulang-ulang tiap ketika dan masa.

Saya bukanlah berniat untuk menceritakan tentang burung kakak tua yang sebenar, namun sedikit sebanyak ia boleh mengingatkan kita supaya tidak menjadi generasi burung kakak tua iaitu tidak faham apa yang dituturkannya.

Kita lihat ramai yang sudah mula ada kesedaran mempelajari Al-Quran, tahu membacanya dengan bertajwid. Namun, yang sedikit kegusaran yang timbul apabila kita tidak tahu apa maknanya. Dari usia kanak-kanak, kita sudah berpuluh kali khatam Al-Quran namun kita tidak tahu apakah yang kita baca sebenarnya.

Hakikatnya, Al-Quran bukanlah diturunkan sebagai sesuatu yang sia-sia, ia sebagai ingatan kepada seluruh umat manusia. Petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman. Ia bisa menghidupkan hati yang mati. Mengingatkan hati yang lalai. Mengembalikan roh jihad yang sudah pudar. Mengingatkan tentang kematian.

Firman Allah SWT :

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

(Al-A'raaf 7:52)

Akhir kalam untuk kali ini, marilah kita sama-sama membaca Al-Quran beserta maknanya. Sudah sampai masanya kita memperbaharui amalan kita, belajar Al-Quran beserta maknanya dan disertai dengan amalan selepas memahaminya. Kita manusia. Tiada yang sempurna. Tetapi kita berusaha untuk membaiki diri kerana Allah swt tidak melihat kepada hasil, tetapi kepada usaha kita sebagai hamba.

Ya, kita bukanlah 'bos' di dunia. Kita adalah hamba.Ciri-ciri hamba? Tentulah taat dan patuh pada segala perintah Tuhannya. Rabb Yang Maha Agung.



 "Kita tidak mahu menjadi generasi burung kakak tua"



Jul 26, 2013

Tak Dapat Diwarisi

Assalamualaikum wbt.

Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual-beli
Ia tiada di tepian pantai

Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau merentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah

Jika tidak kembali pada Allah

Begitulah indahnya bait2 lirik dalam lagu Iman Mutiara yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan suatu ketika dahulu....

Hakikat Iman yang tidak boleh diwarisi dan diwariskan. Daripada mana pun asal kita, keturunan kita dan begitu juga zuriat keturunan kita, semuanya tak dapat mewarisi iman melainkan Satu Jalan iaitu KEMBALI KEPADA ALLAH.

Ayuh bersegera kita kembali kepada Allah dalam apa jua keadaan kita kerana hanya itu sahaja jalan untuk kita merasakan IMAN di dalam hati kita.

Masih belum terlambat selagi nyawa masih dipinjamkan, umur masih dipinjamkan dan segalanya secara percuma...Alhamdulillah tidak pernah diminta bayaran.

Semoga kita terus berusaha berubah ke arah kebaikan dalam segala segi kehidupan kerana usia kita yang bertambah seharusnya lebih mematangkan kita semua..insyaAllah.

Akhiru kalam,

Maa3salamah...


Jul 17, 2013

Salam Ramadhan & Sedikit Muhasabah

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah....
Pantas masa berlalu...dah lebih seminggu kita berpuasa. Allah masih beri kita semua peluang mendidik diri kita dalam madrasah Ramadhan.

Walau sebesar mana pun ujian yang mendatang pada diri kita, moga kita tidak alpa dan sentiasa beringat-ingat untuk merebut pelbagai ganjaran yang Allah sediakan untuk kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Kita seharusnya bersyukur kerana hidup beragama Islam dan memahami agama Islam dan kita sungguh istimewa disediakan bulan ini sedangkan itu tiada pada agama lain.

Dalam usaha kita menempuh jalan, meredah segala halangan, tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk kembali bertemu Sang Pencipta suatu hari nanti. Bila saya fikirkan semula, dulu asal saya dari lahir ke dunia, kemudian menginjak ke umur dewasa dan seterusnya menempuh hari2 yang semakin mendekat ke noktah terakhir.

Untuk apa?

Dengan merenung semula, tujuan saya diciptakan ke dunia, ia boleh menenangkan fikiran ini dan melihat segala yang kita tempuhi sehari-hari adalah garisan2 ujian yang mesti ditempuh.

Namun,
pada akhirnya saya akan pulang ke tempat asal, bertemu Sang Pencipta. Mahu atau tidak mahu itulah hakikat kita sebagai manusia yang sentiasa lupa dan sentiasa perlu diingatkan tentang tujuan kehidupan yang sementara ini.

Sama2 kita bermuhasabah diri, dalam keadaan dunia yang semakin tua umurnya. Dalam suasana manusia yang semakin alpa dengan kehidupan dunia dan segala 'kecanggihan teknologi' dan segala macam perhiasan yang boleh merambangkan mata yang tidak dilapisi dengan selaput keimanan dan ketaqwaan yang jitu.

Ingin saya kongsikan di sini satu hadith menceritakan,
Seorang sahabat Rasulullah bertanya, "Ya Rasulullah, yang bagaimanakah orang yang baik perbuatannya?" Nabi menjawab,"Yang panjang usianya dan baik amal perbuatannya." Sahabat bertanya lagi, "Dan yang bagaimana orang yang paling buruk?" Nabi menjawab,"Adalah orang yang panjang usianya dan buruk amal perbuatannya." 
(Hadith riwayat Ath-Thabrani dan Abu Na'im)

Selamat Mentarbiah Diri..





Mar 9, 2013

Mangsa

Assalamualaikum wbt.



Akhir-akhir ini, saya rasakan yang saya terlalu sibuk pada dunia. Timbul rasa 'tak selesa' dengan perasaan yang menjengah diri.

Terlalu sibuk itu dan ini hinggakan ada yang menjadi mangsa. Mangsa yang tak sepatutnya menjadi mangsa keadaan. Setiap detik yang berlalu, hari berganti hari, minggu dan bulan, rupanya ada yang telah menjadi mangsa.

Dan hari semalam, saya rasakan tekanan ini memuncak. Rasa bersalah pada yang telah menjadi mangsa.

Solat
Kadang terkejar-kejar
Kadang bukan di awal waktu
Kadang dalam keadaan letih 
Dan, hati mula lah tidak hadir sepenuhnya di kala solat.

Mengaji  Al-Quran & Mentadabbur
Kadang mengaji tak konsisten
Masih terkejar-kejar

Ya, saya sangat rasa bersalah pada sesuatu yang tak sepatutnya menjadi mangsa telah menjadi mangsa.
Harapnya, saya dapat 'improve' dan lenyapkan rasa bersalah ini.

InsyaAllah.

****************************************************************

P:S - Al-Fatihah buat Arwah Ustaz Rujhan Hj Razali yang telah kembali ke rahmatullah pada hari semalam, Jumaat. Semoga Allah menempatkan roh beliau bersama orang2 yang beriman.
  


*Pertama kali saya mengenali Arwah Ustaz ketika Tingkatan 5. Pada masa itu Ustaz telah menyampaikan tazkirah di surau sekolah. Beliau seorang yang sangat hebat dalam berdakwah.
MasyaAllah wa tabarakallah.
 

Feb 15, 2013

Sabar & Solat

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, masih dipinjamkan nyawa oleh Al-Khaliq.


Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
~Al-Baqarah 2:153~ 


Tika masalah melanda, tika duka menjengah..
banyakkan bersabar. 
Walaupun kita tahu bukan mudah untuk bersabar...tak semudah menyebutnya.

Sabar itu ada hikmahnya.
Sabar itu sangat indah.

Allah Maha Pengasih dari segala pengasih
Allah Maha Pengampun dari segala pengampun
Allah Maha Memberi dari segala pemberi

&

Tetaplah memohon pertolongan kepada Allah 
dengan sabar & solat.

Allah pasti mendengar.
Allah pasti memerhatikan gerak-geri kita
Maha Mengetahui apa yang kita perlukan



 
Subhanallah!!!
 





Jan 1, 2013

Sudah-Sudahlah Karaoke

Assalamualaikum wbt.

Petang semalam, masa "lepak-lepak" kat rumah, ada dua orang budak datang  hantar notis/surat, lebih kurang macam tu lah.

Rupa-rupanya, pemberitahuan tentang sambutan malam tahun baru untuk kawasan sini. Kawasan yang saya duduki sejak lebih 15 tahun ni. Buat pertama kalinya, buat pertandingan karaoke.."M****** Idol". Dalam tentatifnya ada pula doa awal tahun, dalam majlis seperti itu. Apa nak jadi.

Tersentap darah saya. Sudahlah tahun baru orang Islam- 1434H hari tu, tiada sambutan daripada penduduk, inikan pula tahun Masihi disambut besar-besaran dengan majlis "maksiat".

Nak dikatakan penduduk kawasan ini ramai yang bukan Islam, saya rasa 99.9% orang Islam.

Ia menjadi perbualan hangat dalam family saya malam tadi. Abah memberi nasihat dan kami mendengar.

Tengah malam tadi, saya sudah melelapkan mata dan tiba-tiba terjaga dengan bunyi bunga api, mercun. Dalam hati ni memanglah penuh dengan segala ketidaksenangan. Disambung pula dengan nyanyian.

Sambutan itu diadakan dekat sahaja dengan perkuburan Islam. Seberang jalan saja.

Jika masjid, sunyi sepi. Yang ada semuanya warga emas dan beberapa orang sahaja orang muda.

Inilah realitinya orang Islam sekarang. Sudah jaaaaauh daripada ajaran agama sendiri.
 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
~Al-Baqarah 2:208~
 
 
 
 
 Nota : Esok mula sekolah. No more cuti..(^__^)


Dec 23, 2012

Berkata Baik Atau Diam

Assalamualaikum wbt.


Lately..saya rasakan ada yang tersalah faham dengan apa yang saya katakan. Itulah lidah, bisa membawa bencana kepada kita.

Kadangkala kita tidak memaksudkannya, namun disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Merenung kembali diri, cuba mencari nasihat2 yang berguna buat diri, sehinggalah saya diajar untuk menghadam satu hadith,

Daripada Abu Syuraih al-Khuza’ie RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda,
 “Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia
 berbuat baik kepada jiran tetangganya. 
Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka
 hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan 
Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”.
~H.R. Bukhari~

Kadangkala kita lebih baik berdiam diri.
Memilih untuk DIAM.

Banyakkan BERISTIGHFAR.




Dec 17, 2012

Agama Yang Terabai

Assalamualaikum wbt.

Satu hari semasa latihan sukan...

Seorang Ustazah sedang membetulkan tudung kepala anak muridnya yang berusia 9 tahun sambil berpesan supaya tidak menanggalkan tudung dan sentiasa memakainya walau acara apa sekalipun disertainya, memberi kata2 semangat dan dorongan kepada saudara seagama yang kecil itu. Tambahan pula, dia hanyalah minoriti di sekolah.

Tiba-tiba...

"Tanggal je lah tudung ajeh(read : awak) tu...susah nak lari....", sapa seorang cikgu lain yang juga beraga Islam.

Begitulah....walaupun satu agama, satu masyarakat kecil, namun pengabaian terhadap agama tetap berlaku. Tak semua masyarakat sekeliling berfikir seperti kita berfikir dan kita juga tidak tahu apa yang mereka fikirkan. Sudah tentunya situasi di atas tidak baik untuk seorang kanak2 Islam yang hidup dalam kawasan yang majoriti kawan2nya bukan Islam. Contoh berbeza dari dua orang guru yang menjadi model kepadanya setiap hari.

Yang mana satu nak diikuti?

Kitalah yang mencorak anak-anak kecil di sekeliling kita. Namun pengabaian terhadap agama telah menjadi salah satu penghalang kita daripada melakukan sedemikian.



Satu hari di dalam bilik temuduga...

Temuduga sedang dijalankan kepada kumpulan pelajar cemerlang yang bakal di hantar belajar ke luar negara sekiranya mereka lulus dalam temuduga tersebut. Pendek kata, bakal-bakal profesional lah semuanya.

"Kamu solat Subuh tak pagi tadi?", tanya panel penemuduga kepada salah seorang calon.

"Apa kaitan solat Subuh dengan course yang saya nak ambik ni?," pertanyaan balas dari calon tersebut kepada panel.

Dan panel terus menggerakkan mata pen di atas kertas supaya calon ini tidak layak di hantar ke luar negara.

Seorang lagi calon ditanya, "Cuba baca surah Al-Fatihah."

"Maaf tuan, saya tak boleh baca."

Dalam hati panel, "Calon ini jugak tidak layak kerana dia tidak tahu membaca Al-Fatihah, jadi boleh disimpulkan bahawa dia seorang yang tidak solat."

Jika dihantar ke luar negara, kemudian balik menjawat jawatan yang besar2, maka akan hancurlah sistem masyarakat, porak-perandalah negara.



Pengabaian agama terus menular dalam masyarakat kita. Bukan sahaja dalam kalangan mereka yang tidak 'mengaji', malah cerdik pandai yang disanjung orang sekeliling.

Kita sibuk mahukan anak2 kita dapat straight A's...tapi kalau anak-anak tak solat, tak pandai mengaji tak da pun kisah..tak pentinglah kononnya.

 Kasihan Tak Bertempat.

"Tak pa lah, nanti dorang boleh cari sendiri..ni kecik lagi..besar nanti tahulah dorang nak beajar agama..." Itulah mind setting ibu bapa.

Nak kejutkan anak2 solat Subuh mula umur 7 tahun pun kesian. "Kesian nak kejutkan Along sebab dia kecik lagi. Mengantuk lagi tu tengah tidur lena."

Hai...sepatutnya kita kesian kat kat anak2, bila rebung dah jadi buluh.. bila agama sudah biasa diabaikan dan itulah mereka apabila dewasa. Ramai yang bermasalah ketika meningkat dewasa berpunca dari sekolah pertama mereka iaitu di rumah.

Sama-sama kita check semula, nilai diri masing2, di manakah kita tergolong?

Adakah dalam golongan yang mengabaikan agama?

Fikir-fikirkan!











Dec 11, 2012

Indahnya Saat Berada Di Dalam Rahim Ibu

Assalamualaikum wbt.

Pernah suatu ketika dulu....kita semua menduduki satu alam yang sungguh indah..sungguh selesa... 
sentiasa dilindungi...namun kita sudah meninggalkan alam itu dan tidak akan kembali ke sana...


Alam Rahim.....


Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
~A-li'Imraan 3:6~
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.
~Ar-Ra'd 13:8~

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi)....~Al-Hajj 22:5~
*Selalu saya terfikir kenapa rahim ibu dinamakan rahim?*
*mungkin sebab terlalu best duduk dalam perut ibu dengan segala sifat kasih sayang sepanjang di sana*
 MasyaAllah wa tabarakallah...
Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah. 

Nov 22, 2012

Cinta Ilmu

Assalamualaikum wbt.


Diskusi bersama seorang sahabat suatu ketika dahulu telah banyak membuahkan kesedaran dalam hati ini bahawa ilmu agama amat penting untuk mengharungi kehidupan sehari-hari.

Saya merupakan salah seorang yang tidak 'lahir' dari kelas pengajian agama secara formal di universiti melainkan beberapa kelas minor sahaja. Selebihnya, kelas yang dihadiri secara sukarela, perbincangan, pembacaan sendiri dan pelbagai sumber yang banyak disumbang daripada rakan-rakan yang juga mencintai ilmu agama.*alhamdulillah*

Merenung kembali perjalanan hidup yang Allah swt sudah mengaturkan segalanya hingga saat ini, maka satu kesimpulan awal yang dapat dipetik ialah Allah swt ingin saya lebih menghargai ilmu agama yang saya dapati dengan jalan penuh liku. Sungguh berbeza sekali dengan mereka yang berada dalam aliran agama yang belajar agama secara formal, menghadap tok guru setiap hari, dikelilingi suasana tarbiyah. Mereka belajar pelbagai kitab agama yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu agama, dari kitab-kitab yang nipis hinggalah yang setebalnya. Dahulunya, saya tidak dapat menyembunyikan betapa saya iri hati melihat mereka yang menguasai pelbagai disiplin ilmu,tidak lokek pula menyampaikan pada masyarakat di sekelilingnya sedangkan saya masih jauh untuk mencapai tahap seperti mereka.

Namun, setelah bertanya kepada seorang sahabat, beliau telah memberi satu pandangan yang berbeza kepada saya. Kata beliau, semua manusia berpeluang menjadi hebat. Hebatnya kita bukan kerana kita kaya, pandai mempengaruhi orang sekeliling, hebatnya kita ialah apabila kita sentiasa berusaha bermanfaat kepada saudara kita. Itulah yang saya pegang hingga saat ini.

Ilmu agama ialah alat untuk kita mengenal Allah. Setiap satu itu ada kuncinya. Kunci rumah, kunci kereta, kunci bilik. Begitu juga dengan syurga. Kuncinya ialah "Lailahaillah". Tiada satu pun yang layak disembah, ditakuti, diikuti melainkan Allah swt.


Kitab-kitab karangan ulamak yang masih banyak belum 'ditadah'







Melihat pada deretan kitab agama karangan ulamak. Betapa hari ini kita semua sudah jauh dari agama. Kita mementingkan ilmu dunia lebih dari ilmu akhirat. Tak dinafikan itu semua. Bersusah payah para ulamak silam mengarang kitab, namun kita? Sudahlah masih jauh nak mengarang kitab, tugas kita untuk belajar kitab juga diabaikan. Melihat pada harganya, sungguh sangat-sangat murah..ada yang berharga dua ringgit, lima ringgit tetapi ilmu di dalamnya sangat mahal. Rugilah kita biarkan umur kita berlalu tanpa berusaha mendalami isi kitab2 tersebut dan seterusnya mengamalkan pula.

Saya akan terus berusaha agar dapat mencintai ilmu agama, mencintai majlis ilmu, mencintai para ulamak dan berdamping dengan insan-insan yang soleh. Mengutip hikmah yang terbit dari bibir mereka agar menjadi bekalan menempuh dunia yang ada permulaan dan ada akhirnya.

Saya yakin, walaupun payah saya akan dapat mengharunginya, walaupun umur sudah meningkat namun saya masih bertatih mendalami agama, saya tak mahu terus terlewat hingga roh berpisah dari jasad....Bi iznillah..


Marilah kita Cintai Ilmu Agama!


Nov 10, 2012

Fadhilat Faqir

Assalamualaikum wbt.




Kata Imam Al-Ghazali,
 "Faqir bermaksud ibarat tiada mendapat sesuatu yang kita berhajat kepadanya."

Rasulullah saw bersabda dalam doa baginda,
"Hai Tuhanku, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin,matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan himpunkanlah aku dalam himpunan segala orang miskin."
  
 Maka, kata Aisyah r.a,
"Mengapa Ya Rasulullah?"

Maka jawab baginda saw,
"Mereka itu masuk dahulu ke syurga daripada orang yang kaya
 dengan empat puluh tahun. 
Hai Aisyah, jangan engkau tolak segala orang miskin walaupun dengan sebelah buah tamar.
Hai Aisyah,kasih olehmu segala orang miskin dan hampirkan dirimu dengan mereka itu nescaya engkau akan hampir dengan Allah swt pada hari kiamat."  

Dalam hadith riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw bersabda,
"Masuk syurga orang faqir dahulu daripada orang kaya dengan lima ratus tahun iaitu nisfu hari."

Nisfu hari=separuh hari = 500 tahun
1 tahun akhirat = 1000 tahun dunia.

Jika dilihat, terdapat perbezaan antara masa yang disabdakan dalam dua hadith di atas. Bagaimanapun, empat puluh tahun lebih awal ialah bagi orang faqir yang berkehendak kepada kekayaan.
Manakala lima ratus tahun lebih awal ialah kepada orang faqir yang zuhud.

Kelebihan orang faqir ialah tidak terikat dengan harta untuk disoal semasa hari kiamat.Tersebut juga dalam kitab Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub, nabi yang terakhir di kalangan para anbia yang akan memasuki syurga ialah Nabi Sulaiman a.s, dan sahabat yang terakhir akan masuk syurga di kalangan para sahabat ialah Abdul Rahman bin Auf kerana kekayaan mereka.

Sabda Nabi saw,
"Tiap-tiap suatu ada kuncinya dan anak kunci syuga ialah mengasihi segala orang miskin dan fuqara' (orang faqir) kerana sabar mereka itu dan merekalah yang sedudukan dengan Allah swt pada hari kiamat yakni hampir kepadaNya."

Oleh itu, secara kesimpulannya, kita hendaklah redha dengan kesusahan/kemiskinan di dunia. Jika kita terdiri daripada orang yang senang/kaya, kasihanilah pada orang miskin. Berilah sedekah, hulurkan zakat, dan sumbangkan pelbagai sokongan moral atau jalan kepada mereka.

Allahu a'lam.

Mengapa bersedih jika miskin?

Nov 4, 2012

Kuasa Memilih

Assalamualaikum wbt.

Saya membelek-belek akhbar-akhbar pagi ini. Dua akhbar yang berbeza. Dua pemikiran yang saling bertentangan. Dua jalan cerita yang sama sekali berlainan.

Saya membaca isi kandungannya satu-persatu. Kadangkala, saya tersenyum namun saya dapat rasakan senyuman saya itu sinis. Adakalanya pula saya tersenyum puas. Ada ketika yang lain pula, saya mengulang bacaan berkali-kali kerana menilai agenda mereka. Di saat rasa marah, saya membacanya kuat agar didengar dan dinilai "masyarakat kecil" di sekeliling saya.

Sungguh emosi saya membaca.

Bukan kita dituntut menilai apa yang dibaca?
Bisakah kita tersenyum  bangga membaca suatu yang merendahkan agama Allah?

Beza antara kita dan makhluk lain ialah mempunyai akal.
Apakah kita tak mahu bersyukur dicipta sebagai manusia, tak dicipta sebagai haiwan?
Samakah kita dengan haiwan ternakan?     


Sebagai seorang yang mengakui Tuhanku ialah Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah, kita mempunyai kuasa memilih. Membezakan mana yang mesti dipilih dan yang mana mesti ditegah.

Setiap hari kita diberi pilihan. Janganlah menjadi seorang yang buta tuli daripada melihat kebenaran.
Syaratnya cukup mudah. Yang Mana menegakkan Allah Dan Rasul, itulah yang sepatutnya menjadi pilihan.

Mengapa ada yang masih menentang?
Sebenarnya mereka berpura-pura tidak tahu. Fitrah dalam hati mereka sebenarnya telah mengingatkan, telah memberi signal kepada mereka.
Namun, nafsu mereka mengatakan tidak.
Dan mereka tunduk kepada nafsu.

Nafsu demi kepentingan dunia. Sedangkan kehidupan akhirat lebih abadi.

Wajarkah kita memilih mereka yang melawan hukum hakam Allah?
Wahai pembaca, bukalah minda kita semua. Nilailah sebaiknya apa yang dibaca benar atau tidak.

Kita semuanya hebat. Belajar ke peringkat yang tinggi. 
Namun jangan dipandang hina mereka yang di bawah kerana kadangkala mereka yang di bawah itu jauh lebih pandai berfikir daripada kita yang di atas.

TAQWA mereka melebihi mereka yang berada tinggi di mata manusia.


Allah hu akbar..
Sedarlah...
Bukalah mata hati kita...
Nilailah apa yang berlaku di sekeliling kita...
Kerana kita ada kuasa...
Kuasa memilih yang BENAR!




 
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." ~Al-A'raaf 7:179~




Kita Berhak Memilih!


Oct 22, 2012

Macam Rumput

Assalamualaikum wbt.

Dari kejauhan...

Terlihat satu pemandangan yang sangat hebat. Langkah diberhentikan.

Google Image

Walaupun hampir setiap hari melaluinya namun entah mengapa baru kali ini satu perasaan yang lain daripada biasa mengusik hati.

Pandangan mata dilontarkan sejauh mungkin.

Monolog hati bermula.

Jika diberi pilihan, adakah aku mahu menjadi seperti rumput yang banyak itu?

Warnanya hijau. Menenangkan setiap mata yang memandang.
Mudah tumbuh tanpa jagaan rapi.
Tak perlu modal yang besar untuk menjadi penguasa di bumi.
Berbudi pula pada haiwan ternakan.
Bisa mencengkam bumi dari tertindas oleh manusia seperti aku.

Namun, hatiku mengatakan aku tidak mahu menjadi seperti rumput.

Bukan kerana aku tak suka bermanfaat kepada makhluk lain.

Tetapi kerana bilangannya.
Bilangannya yang banyak, mudah dicari, mudah dijumpa.

Inilah perumpamaan bagi orang2 yang berdosa di akhir zaman.
Orang2 yang menderhaka kepada Zat Yang Maha Agung.

Bilangannya sangat banyak dan semakin bertambah hari demi hari.
Sebut sahaja mahu melihat mereka yang lalai.
Mudah saja dihimpunkan.

Tapi, sukar sekali mengumpulkan mereka yang sentiasa mengingati Zat Yang Maha Agung.
Sukar sekali melihat mereka dalam kelompok yang ramai.
Bilangan mereka tidak seperti rumput2 itu.

Mereka sangat sedikit.

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sedikit!









Oct 14, 2012

Hutang

Assalamualaikum wbt.

Sebenarnya, semalam tiba-tiba teringat yang aku ni berhutang sesuatu.

Rasanya memang tak terbayar dah.

Sedih pulak rasanya.

Tapi

Setiap khalifah di muka bumi

Masih ada peluang untuk berubah

Malu sangat bila bersendirian di tikar sejadah

Tika tangan ditadah memohon keampunan
kepada Yang Maha Esa.

Lalu masih memohon supaya ditambah nikmat
Sedangkan nikmat yang sedia ada tidak digunakan sebaiknya.

Ya

Aku berhutang

waktu-waktu

umur di dunia

masa sihat

semuanya percuma

tapi tak digunakan semaksimanya untuk mengabdikan diri pada Pencipta

Tika kelalaian. 
Tika syaitan mengintai2 peluang untuk merosakkan hati 

Aku tak mahu bertemu dengan Tuhanku
 Dalam keadaan kotor.
Dalam keadaan kufur nikmat

Ya Allah
Ampunkan kekhilafan hamba