Pages

Feb 5, 2014

Generasi Burung Kakak Tua

Assalamualaikum wbt.

Kadang-kadang, kita pergi ke rumah seseorang, tentunya kita pernah lihat burung yang pandai bercakap.
Ada yang pandai bagi salam. Jadi, burung tu tak henti beri salam tiap kali nampak orang yang datang mendekat padanya. Itulah yang diulang-ulang tiap ketika dan masa.

Saya bukanlah berniat untuk menceritakan tentang burung kakak tua yang sebenar, namun sedikit sebanyak ia boleh mengingatkan kita supaya tidak menjadi generasi burung kakak tua iaitu tidak faham apa yang dituturkannya.

Kita lihat ramai yang sudah mula ada kesedaran mempelajari Al-Quran, tahu membacanya dengan bertajwid. Namun, yang sedikit kegusaran yang timbul apabila kita tidak tahu apa maknanya. Dari usia kanak-kanak, kita sudah berpuluh kali khatam Al-Quran namun kita tidak tahu apakah yang kita baca sebenarnya.

Hakikatnya, Al-Quran bukanlah diturunkan sebagai sesuatu yang sia-sia, ia sebagai ingatan kepada seluruh umat manusia. Petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman. Ia bisa menghidupkan hati yang mati. Mengingatkan hati yang lalai. Mengembalikan roh jihad yang sudah pudar. Mengingatkan tentang kematian.

Firman Allah SWT :

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

(Al-A'raaf 7:52)

Akhir kalam untuk kali ini, marilah kita sama-sama membaca Al-Quran beserta maknanya. Sudah sampai masanya kita memperbaharui amalan kita, belajar Al-Quran beserta maknanya dan disertai dengan amalan selepas memahaminya. Kita manusia. Tiada yang sempurna. Tetapi kita berusaha untuk membaiki diri kerana Allah swt tidak melihat kepada hasil, tetapi kepada usaha kita sebagai hamba.

Ya, kita bukanlah 'bos' di dunia. Kita adalah hamba.Ciri-ciri hamba? Tentulah taat dan patuh pada segala perintah Tuhannya. Rabb Yang Maha Agung.



 "Kita tidak mahu menjadi generasi burung kakak tua"