Siapa sangka, di celah debu kekafiran, dapat dilihat sinar Islam yang paling menyerlah. Itulah yang terdetik di dalam hati setiap kali melihat mereka. Kanak-kanak Islam yang hanya berjumlah kurang 20 orang daripada beratus-ratus murid yang lain.
Sebenarnya mereka ingin sangat mendalami Islam, tapi sangat-sangat kurang pendedahan kepada agama. Tiada siapa yang datang membimbing mereka secara khusus dari kawasan luar. Itulah hakikatnya kita sebagai orang Islam. Kasih sayang kita tidak sepatutnya terbatas kepada mereka yang mempunyai pertalian darah dengan kita atau punya kepentingan kepada kita atau kita dapat bergantung kepadanya semasa susah.
Jika kita tidak dapat menyumbangkan harta, sumbangkanlah ilmu kepada mereka. Tetapi jika kita kurang mempunyai ilmu, namun ada lebihan harta atau jalan yang terbaik, hulurlah sumbangan kepada orang Islam yang masih samar-samar dalam Islam. Sumbangan material di saat-saat awal mereka menganut Islam amat-amat diperlukan.
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan ilmu itu tidak penting, tetapi sumbangan material juga penting kerana mereka mesti diajar untuk makan hanya makanan yang halal, membeli pakaian yang menutup aurat dan sebagainya. Semuanya memerlukan wang. Kita pastinya tidak mampu membayangkan kita sendiri di tempat mereka, bagaimana peritnya, tercari-cari sinar kebahagiaan dalam agama Islam.
Sedekah kita juga menjadi satu dakwah kepada mereka, bagaimana kasih sayang sesama Islam dibentuk.
Tanggungjawab kita untuk memantapkan akidah mereka supaya tiada yang murtad.
Sayu saya melihat dan memikirkan nasib mereka selepas mereka tamat sekolah rendah. Saya sangat berharap dapat membantu mereka untuk ke sekolah agama yang lebih menjaga akidah mereka. Mereka sangat memerlukan suasana tarbiyyah tersebut.
Tugas dakwah di sekolah bukan sahaja pada bahu ustaz ustazah, guru biasa seperti saya juga tidak terkecuali. Itu yang saya mesti ingat dan bermuhasabah.
Semalam, saya ke sebuah sekolah agama di Kuantan bertemu dengan mudir sekolah. Alhamdulillah, mudir dengan berbesar hati sudi menerima 3 orang murid Islam saya ke sekolah itu pada tahun hadapan tanpa melalui ujian saringan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mudir.
YA, ALLAH TAHU KESUSAHAN MEREKA. ALLAH BUKA JALAN KEPADA MEREKA. JALAN YANG TIDAK DISANGKA-SANGKA.
Doakan saya dapat menyumbangkan sesuatu untuk membantu mereka. Sebenarnya kerja kita sangat banyak. Kerja sehari-hari dan kerja dakwah. Itulah nyawa kita.
Dakwah tidak semestinya keluar berhari-hari atau berhabisan harta, dakwah kepada keluarga, kenalan terdekat, rakan sekerja dan orang yang dipimpin, itulah yang utama.
0 comments:
Post a Comment