Pages

Jun 22, 2012

Sabar Dan Berbuat Baik

Assalamualaikum wbt.



Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.

 

                                                 Riwayat Muslim 

Jun 19, 2012

Pelarian Di Bumi Sendiri

Assalamualaikum wbt.


Lihatlah kawasan Palestin yang berwarna HIJAU semakin mengecil dek kerana tanah air mereka dirampas oleh Israel laknatullah....

Sedangkan di sana terdapat kiblat pertama bagi umat Islam iaitu Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Aqsa mendapat ganjaran 500 kali lebih baik daripada solat di tempat lain.

“Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitulmaqdis).” (Hadis riwayat Bukhari) 


Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Al-Baqarah 2:84-85)


 Allahuma suril islam ma wal muslimin fi falestin!!!

Jun 17, 2012

Buktikan, Di Mana Allah? & Israk Mikhraj

Assalamualaikum wbt.


Tersebut alkisah dalam satu kelas pengajian, terdapat seorang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Saya namakan dia sebagai Si Fulan.

Si Fulan langsung tidak mempercayai Allah itu wujud.

Suatu hari, Si Fulan bertanya kepada kawan-kawannya benarkah Allah itu wujud?

Maka, bermulalah perdebatan di antara Si Fulan dengan rakan sekelasnya. Di sinilah rakan sekelas yang beragama Islam, mempercayai kewujudan Allah telah memainkan peranannya untuk membuktikan yang Allah itu wujud.

Saya namakan pula rakan sekelas tersebut sebagai, Tentera Allah.

"Ya, Allah itu wujud", jawab Tentera Allah.

"Cuba kamu tengok kerusi, meja ni kamu nampak tak?" soal Si Fulan lagi.

"Nampak" jawab tentera Allah.

"Kalau Allah tu wujud, mesti nampak macam ni jugak. Tapi mana? Tak da pun nampak?" sambung Si Fulan lagi.

Perdebatan kian memuncak.

Tentera Allah mula mendapat ilham untuk menegakkan akidahnya.

"Kamu nampak tak whiteboard kat depan tu?" soal tentera Allah.

"Mestilah nampak." jawab Si Fulan dengan yakin.

"Akal kamu nampak tak?" soal Tentera Allah lagi.

"Tak", jawab Si Fulan ringkas.

"Kalau macam tu, kamu tiada akal la.." balas Tentera Allah.

Si Fulan tercengang-cengang dan tertanya-tanya. Dia mula memahami hakikat yang Allah itu wujud.

Perdebatan hari itu berakhir dengan kemenangan Islam. Hanya sujud syukur yang mampu dilakukan tanda terima kasih yang tak terhingga pada Allah Yang Maha Hebat.

Ternyata, bukan semua benda boleh dibuktikan dengan pandangan mata. Kita tak boleh memikirkan isu Ketuhanan mengikut hawa nafsu. Mentafsir hanya mengikut logik akal. Tidak sama sekali.

Israk Mikhraj.

Alhamdulillah, salah satu peristiwa penting yang tidak dapat ditafsirkan dengan akal semata telah berlaku pada 27 Rejab dan hari ini, kita semua masih diberi kesempatan untuk melalui tarikh penting ini.

Bagaimana, Rasulullah saw telah diperjalankan oleh Allah swt dan dimikhrajkan ke langit untuk bertemuNya sendiri bagi menerima kewajipan sembahyang yang kita lakukan kini.

Dan

Peristiwa tersebut berlaku dalam satu malam.

Para penduduk Makkah termasuk bapa saudara Nabi, Abu Lahab tidak mempecayainya.

Mengapa?
Kerana mereka telah menilai dengan logik akal.

Namun, Abu Lahab telah mengutus seorang lelaki untuk memberitahu peristiwa itu kepada saidina Abu Bakar r.a.

Apa kata Saidina Abu Bakar?

"Jika Muhammad yang mengaku telah naik ke langit malam tadi, aku percaya!"

Begitulah akidah yang ada pada Saidina Abu Bakar yang telah diberi gelaran As-Siddiq(Yang Membenarkan) oleh Rasulullah saw.

Namun, Abu lahab masih tidak mempercayainya. Kemudian turunlah ayat,


Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Al-Israa' 17:1)


   اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ  
Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (Hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan”. (HR Baihaqi)



Jun 15, 2012

Anak Yang Cerdik

Assalamualaikum wbt.






Pada suatu hari, Bahlul r.a. sedang berjalan-jalan di kota Basrah dan terserempak dengan sekumpulan budak sedang asyik bermain. Di antara mereka, ada seorang budak yang tidak ikut mengambil bahagian bermain. Dia hanya melihat sahaja kepada temannya sambil menangis. Bahlul yang melihat gelagatnya, menyangkakan anak itu tidak mempunyai permainan seperti temannya yang lain.

Bahlul mendekati anak itu dan bertanya, "Wahai anakku, mengapa engkau menangis? tak baiklah menangis macam ni. Biarlah pakcik belikan mainan seperti itu, nanti engkau boleh bermain bersama mereka." Budak itu berhenti menangis sebentar kemudian memandang wajah Bahlul dan berkata,"Wahai pakcik yang cetek akal, apakah kita ini diciptakan oleh Allah untuk bermain-main?"

"Mengapa engkau berkata begitu? Apakah engkau tahu untuk apa kita diciptakan?" tanya Bahlul.

"Ya tahu. Untuk menuntut ilmu dan beribadah kepada Allah", kata si budak.

Bahlul sangat terperanjat mendengar jawapan itu, tidak sangka budak sekecil itu punya wawasan yang jitu.
"Semoga Allah memberkatimu. Dari mana engkau datang?"

Budak itu menerangkan bahawa dia mengetahui perkara itu dari firman Allah,

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
(Al-Mu'minuun 23:115)



"Wah...kalau begitu engkau seorang hukamak. Sila beri aku nasihat!" kata Bahlul setelah mengetahui kecerdasan budak itu.

Budak itu lalu bersyair yang berisikan nasihat tentang dunia dan kerugian orang yang menjadikannya sebagai matlamat hidup. Selepas itu, dia memekik kuat lalu rebah ke tanah dan pengsan di situ. Bahlul segera mengangkat kepalanya dan diletakkannya di ribaannya. Debu-debu yang terdapat di kepala dan wajahnya dilap sehingga bersih. Sebentar kemudian dia sedar dari pengsannya.

"Wahai anakku, mengapa sampai begitu rupa? Engkau masih kecil dan belum mempunyai sebarang dosa," kata Bahlul.

"Pergi engkau daripadaku.Wahai Bahlul, aku telah melihat ibuku menyalakan api di dapur untuk memasak dengan memakai kayu yang besar-besar. Akan tetapi api tidak mahu membakar sehingga diumpan dengan kayu-kayu yang kecil terlebih dahulu. Dari pengalaman itu, aku merasa takut, kalau-kalau aku dijadikan kayu-kayu kecilnya neraka Jahannam."

Sekali lagi Bahlul terpinga-pinga akan kepandaian budak bawah umur itu. Semua kata-kata dan hujahnya bernas dan masuk akal. Kerana nasihat si kecil itu, hati Bahlul tergugat. Rasa takutnya kepada Allah memuncak dan dia pun pengsan di situ juga. Dalam kedaan demikian, budak kecil itu beredar dari tempat itu.

Apabila Bahlul sedar dari pengsannya, dia segera melihat pada kumpulan budak-budak yang bemain, tapi budak cerdas yang satu itu sudah tidak ada lagi di antara mereka.

"Siapa gerangan budak itu?"tanya Bahlul kepada budak-budak yang ada di situ.

"Apakah pakcik tidak kenal dia?"


"Tidak. Aku tidak kenal."

"Dia itu dari keturunan Husain bin Ali bin Abi Talib radiallahu anhum." jawab mereka.

Bahlul terkejut apabila mengetahui bahawa budak cerdas itu sebenarnya adalah keturunan Rasulullah saw.

"Kalau begitu patutlah. Benihnya memang dari pokok yang baik pula." kata Bahlul pada dirinya.

*Petikan dari buku Kisah Wali-Wali Allah Siri 2.
  Penulis : Salman Al-Farisi

Jun 11, 2012

Too Ambitious

Assalamualaikum wbt.


Permulaan kita mengajar seseorang kepada sesuatu perkara, kita harus bersungguh-sungguh, ikhlas dan bersabar. Itulah resepinya. Terutama saya seorang cikgu.

Kadang-kadang saya rasa seperti selalu menekan murid-murid saya untuk memahami vocab baru. Kasihan saya melihat mereka, bersungguh-sungguh mahu menyebut tiap vocab baru yang diajar sampai memejamkan mata nak menghafal spelling. Good job!

Almaklumlah, sesetengah mereka tidak ke tadika, jadi bahasa Inggeris adalah satu bahasa yang baru bagi mereka. Satu bahasa asing dalam kehidupan mereka.

Kemudian, mereka bermain 'teka-teka' dengan kawan-kawan. Ah, sungguh menyentuh hati. Mungkin mereka yang tidak mengalaminya, tidak dapat menjiwai perilaku mereka.


Lebih sedekad yang lalu, saya juga seperti mereka. Bezanya, saya ketika itu baru mengenal subjek bahasa Arab. Bahasa yang baru bagi saya. Banyaknya kalimah Arab yang mesti dihafal bermula dengan objek2 dalam diri dan sekeliling. Banyaknya masa yang diluangkan dengan buku vocab Arab. Banyaknya main 'teka-teka' dengan kawan-kawan dalam kelas.


Murid saya seolah-olah cermin bagi diri saya suatu ketika dulu. Melihat mereka, seolah-olah melihat diri sendiri.


Kita semuanya bermula dari tidak tahu kepada tahu. Dari kosong kemudian menyusun angka. Dari teori kepada praktikal.

Allah yang meminjamkan ilmuNya kepada kita.

Buat permulaan, saya tidak mahu memaksa mereka berlebihan untuk tahu banyak dalam Bahasa Inggeris.
Cukuplah dengan tahap mereka sekarang.

'Dapat sikit lebih baik daripada tak dapat langsung.'

Kalau mereka boleh tahu 3 perkataan baru sehari, biarlah mereka dengan tahap 3 perkataan baru sehari buat masa ini.

Tak mahu terlalu memaksa ajar 10-20 words sehari dan kesudahannya, sungguh mengecewakan!

***Dengan mood yang masih mood cuti, melangkah ke dalam kelas tadi..rasa happy tak jadi saya nak 'bermalas-malas' hehe...terpandang senyuman kanak-kanak suci tiada dosa. Sejukk hati..:-)

Biarkan murid kita berkembang mengikut tahap masing2 dan yang penting...
Don't be too ambitious!

Nota : Too ambitious dalam hidup penting, tapi bukan cara yang sesuai bagi situasi di atas.







Jun 10, 2012

Cipta Kelainan

Assalamualaikum wbt.


Ramai yang takut untuk menjadi lebih baik, terutama bagi golongan remaja dan yang baru melangkah ke alam kedewasaan. Pelbagai andaian negatif yang difikirkan. Takut kehilangan kawan, takut dipandang serong masyarakat sekeliling, takut tak dapat kerja, takut jadi sangat busy dan macam-macam lagi.

Bagi yang ingin berubah untuk menjadi lebih baik dari segi menutup aurat, selalunya takut kehilangan kawan-kawan 'sepermainan' dulu, takut si dia menjauhkan diri, takut susah untuk bergaul dengan lebih mesra dengan teman-teman, takut tak selesa nanti nak bekerja dan bergerak.

Jika dihitung, tak salah untuk mencipta kelainan. Namun kelainan yang bakal dicipta mestilah berlandaskan syariat. Kita patut berani dan berbangga bila berjaya berubah menjadi lebih baik. Ini bererti kita berjaya memerdekakan diri kita daripada sesuatu yang kita takuti sebelum ini. Kita berjaya melawan hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan yang telah banyak mempengaruhi kita supaya mengikut telunjuk mereka dan membelakangkan syariat Allah. Kita berjaya mengeluarkan diri kita daripada kepompong kejahilan yang selama ini kita berumah di dalamnya.

Ramai yang telah disapa hatinya untuk berubah menjadi hamba yang lebih cintakan kebaikan. Hati mereka meronta-ronta untuk kembali kepada FITRAH. Namun, belum cukup pengetahuan dan kekuatan untuk berubah disebabkan kurangnya sokongan daripada suasana sekeliling. Sungguh banyak cabaran yang pasti menanti. Namun percayalah, Allah sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali kepada fitrah. Pintu keampunannya terbuka luas kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali kepadaNya.

Bukan mudah untuk thabat di jalan yang lurus. Someone pernah bercerita kepada saya, di saat permulaan penghijrahannya untuk memakai baju muslimah, dia telah ditertawakan oleh saudara-mara yang bertanya kepadanya adakah dia memakai baju tidur pada ketika itu.



Adakah pelik memakai baju muslimah?Saya bertanya kepadanya, apakah reaksinya ketika itu, dia berkata bahawa dia hanya berdiam diri dan tersenyum. Mungkin mereka belum menerima taufik pada ketika itu dan hanya berdoa supaya mereka akan memahaminya suatu hari nanti. Saya katakan yang saya sangat berbangga dengannya dan berharap dia terus berubah.

Ya, bukan mudah untuk berubah namun tidak mustahil. Tak perlu menunggu tubuh kita dimamah usia. Tak perlu menunggu kesihatan kita merudum barulah hendak berubah. Inilah masanya. Ketika kudrat kita masih kuat, akal kita masih tajam untuk membezakan perkara baik dan buruk. Penglihatan kita masih terang untuk menambah ilmu. Kaki kita masih kuat untuk melangkah.

Akhir-akhir ini, ramai yang telah berubah...tapi sayang belum menepati syariat Allah swt. Contohnya, muslimah memakai tudung. Jika diteliti, mereka sebenarnya bukan memakai tudung untuk menutup aurat tetapi untuk menutup urat semata. Bagaimana Allah swt syariatkan pada kita ya muslimah? Cuba periksa tudung2 kita,

Adakah menutup dada?
Adakah tidak jarang?

Jika bertudung tapi jarang dan tidak menutup dada, ia masih belum menepati syariat. Orang kata, kalau exam belum lulus lagi tu. Sayanggggg sangat, kita buat sesuatu yang sia-sia di sisi Allah malah mendapat dosa. Rujuk Al-Quran Allah swt berfirman,

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(An-Nuur 24:31)


Jika kita faham firman Allah swt di atas, ayuh kita berubah. Cipta kelainan untuk diri kita. Kita melihat orang lain berubah, terasa rugi jika kita tidak mengikutinya. Mengapa hanya mereka? Bila pula giliran kita?

Ketenangan yang hanya kita yang akan merasainya. Tak mahukah kita merasainya di dalam hati?
Di saat hanya kita berkata-kata sendirian dengan Allah, di saat kita mengadu hanya pada Allah, di saat terdetik perasaan kita mahu berubah, tak perlu bertangguh lagi.

Mengapa tak perlu bertangguh?
Kerana kita tak tahu adakah rasa itu akan hadir lagi menyapa kita semasa hayat kita. 

Sanggupkah kita melepaskan saat itu berlalu begitu sahaja?
Sanggupkah kita biarkan mati sebelum mati? Mati sebelum mati yang amat ditakuti iaitu mati hati.

Ayuh, berubah ke arah kebaikan.

Cipta kelainan sebagai tanda cintakan Allah.




Dare to be different!