Pages

Feb 25, 2012

Sifir Kelalaian Orang Kampung Dan Bandar

Assalamualaikum wbt.




Semasa dalam perjalanan ke satu mesyuarat, saya singgah di sebuah masjid untuk solat Zohor. Suasana sunyi di sekitar masjid. Mungkin belum tiba waktu Zohor pada masa itu. Mata saya ligat melihat sekeliling, bimbang juga dengan keadaan diri yang berseorangan. Setelah memastikan semuanya selamat, saya turun dari kereta.

Berjalan terus ke bahagian perempuan. Setelah naik ke masjid, melihat keadaan lantai yang penuh dengan habuk dan najis cicak, hati tergetus semacam sudah lama sungguh tak digunakan walhal masjidnya sungguh indah dan besar. Umur masjid saya agak lebih kurang 2-3 tahun.

Hati berbisik sendirian, mungkin kurang jemaah perempuan di sini. Deru angin yang kuat memandangkan kawasan tersebut berdekatan dengan pantai memecah kesunyian. Terasa sedih memandangkan masjid tersebut tidak digunakan sebaiknya oleh penduduk setempat. Saya mencari-cari juga kalau2 ada penyapu dek kerana mata sudah tak tahan melihat rumah Allah itu terbiar begitu sahaja namun hampa.

Saya duduk di bahagian belakang masjid sementara menunggu waktu Zohor. Telekung juga sangat banyak, Al-Quran dan rehal semuanya ada disediakan. Siap semua saya survey.

Kemudian datang seorang cikgu yang sama tujuan denganku. Mula bercerita dengannya masalah umat Islam sekarang. Dia mulakan dengan bercerita latar belakang tempat dia mengajar. Tempatnya memang dikategorikan sangat 'kampung'. Suasana Islam di situ amatlah menyedihkan. Ia akan lebuh ketara bila tiba Hari Jumaat. Menurutnya, bilangan keluarga Islam dalam 70 keluarga. Yang bekerja di luar seramai lebih kurang 20 ketua keluarga.Tapi apa yang amat menyedihkan dan mengejutkan, tak sampai 10 orang yang hadir ke masjid untuk solat Jumaat. Mana perginnya sejumlah 40 orang kaum Adam yang lain???. Suaminya terpaksa mencari masjid yang terletak agak jauh untuk solat Jumaat. Amat menyedihkan jika Nabi melihat keadaan kita begini...

Begitulah senario umat Islam sekarang. Yang benar-benar menjaga solat sangatlah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang lalai daripada rukuk dan sujud. Sifirnya sama di mana-mana. Jika di bandar, dengan cara orang bandar manakala di kampung, dengan caranya tersendiri. Hakikatnya, kedua-dua akan mendapat jawapan yang sama. Jawapan yang menggambarkan bahawa umat Islam sekarang sedang dilanda virus hati yang kronik sehingga melupakan mereka kepada Penciptanya sendiri.

Itu hanya perihal solat Jumaat yang seminggu sekali sahaja. Bagaimana pula 5 waktu setiap hari bagi setiap lelaki dan wanita mukallaf. Tak terhitung angkanya untuk mengira bilangan mereka yang solat tidak penuh, apatah lagi yang tidak solat langsung. Sedangkan sudah jelas suruhan solat khas untuk kita.

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
                                                                    (Al-Baqarah 2:43)


Ayuh kita menuju ke rumah-rumah Allah!