Sejak bulan Rejab lagi, imam masjid di kawasan rumahku telah mengulang-ulang bacaan ayat Al-Quran mengenai syariat puasa.
Syahdu hati ini ketika mendengar suruhan Allah swt melalui wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad saw 1400 taun yang lalu yang masih ditunaikan oleh kita umat akhir zaman. Tiada apa yang lebih menggembirakan Rasulullah saw selain daripada melihat umat yang amat disayangi baginda, masih beramal dengan ajarannya dan masih lagi bernafas dalam degupan iman..Alhamdulillah ....
Saya masuk ke pasar-pasar dan kedai, buah tamar sudah semakin banyak dijual. Pelbagai jenama dan harga yang berbeza-beza. Mood Ramadan semakin terasa.
Sudahkah kita bersedia untuk melaluinya?
Ramadan Al-Mubarak semakin menghampiri kita. Biarlah kita melangkah juga mengampirinya dalam keadaan yang BERSIH dan penuh persediaan. Persediaan bukan yang zahir sahaja tetapi yang lebih penting persiapan HATI yang khusyuk dan tawadhuk menghadap Allah swt.
Banyakkan bertaubat dan berdoa moga-moga Ramadan kali ini menjadi turning point kepada kita untuk menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah swt.
Tidak mustahil hamba yang dhaif seperti kita, menjadi salah seorang yang diterima ibadahnya di sisi Allah swt dengan syarat kita bersungguh2 dan yakin dengan kasih-sayang Allah swt kepada hambaNya tanpa batasan.
Buat mereka yang telah berkeluarga, ceritakan pada ahli keluarga tentang kelebihan Ramadan, syariat puasa yang terdapat di dalamnya, pelbagai ganjaran Allah swt khusus dalam bulan ini seperti malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Lailatul Qadr. Saya masih ingat, semasa kecil, abah yang banyak bercerita kepada kami adik beradik tentang bulan Ramadan. Di sinilah peranan seorang ayah dalam mentarbiyah anak2. Ibu sebagai pembantu dan pelengkap kepada ayah.
'Merosakkan kain yang bersih dengan contengan adalah mudah namun menghasilkan satu corak yang bermutu memerlukan mujahadah yang panjang'.
Selain itu, perbanyakkan bangun untuk qiamullail. Bangun menghadap Allah swt Tuhan semesta alam. Bagaiman rasanya, susah untuk diceritakan dengan kata-kata. Yang penting, bagi yang belum pernah bangun malam untuk solat, bangunlah. Rasakanlah ketenangannya dalam hatimu! Kamu juga akan semakin kuat untuk melangkah menyelesaikan tanggungjawabmu di siang hari. Belum cuba, belum tahu...Inilah latihan untuk kita bangun sahur pada bulan Ramadan nanti, bukannya makan di tengah malam sebelum tidur dengan alasan susah untuk bangun awal pagi..ruginya kita.
Bacaan al-Quran hendaklah diperhebat dan dipergiatkan. Selalunya, kita sudah mula berkira-kira untuk mengkhatamkan Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadan kali ini. Tak kurang juga yang sudah mempunyai group sendiri untuk bertadarrus dalam bulan Ramadan nanti. Ikatan silaturrahim semakin utuh dan bila satu kerja ni dilakukan berjemaah, kita rasa makin semangat! Ada yang mengingatkan kita di kala kita lemah. Tapi, apa yang penting...cubalah untuk memahami kalamullah yang dibaca.
Bersedekah juga amat digalakkan kerana salah satu hikmah kita berpuasa nanti ialah kita dapat merasa kelaparan yang dirasai oleh saudara kita yang hidup dalam keadaan serba kekurangan. Dari itu, ia dapat melenturkan hati kita yang keras membatu, merendahkan keegoan kita bahawasanya kita di sisi Allah tidak sekali-kali diukur dengan kekayaan yang kita miliki.
Banyak sangat sebenarnya persediaan yang mesti kita lakukan, seeloknya kita buat satu jadual yang bersesuaian untuk kita, target Ramadan kali ini dan yang paling penting luruskan niat kita Lillahi taala.
Jika kita utamakan hak Allah, insya Allah hati kita akan lebih tenang.
2 comments:
السلم عليكم ورحمة الله
Tiada yang menggembirakan orang-orang yang beriman ketika datangnya Ramadhan, disambutnya dengan penuh mesra dan gembira. Lantas diri akan bersedia untuk dibersihkan dengan zikir, tilawah Al-Quran, istighfar, taubat dan doa. Di ketika itu juga akan dapat dirasakan kebahagiaan sebenar, keseronokan roh dan keintiman dengan Allah SWT.
Selamat berpuasa moga beroleh takwa..
syukran..moga beroleh keampunan..
Post a Comment