Pages

Jan 30, 2012

Pelaburan Yang Menguntungkan

Assalamualaikum wbt.
 
Entah berapa kali saya mengulangi bacaan pada satu artikel dalam majalah Solusi kali ini. Sebenarnya rasa terdorong dan termotivasi dengan membaca artikel ini yang ditulis oleh kolumnis Umar Muhammad Nor yang bertajuk Pelaburan Ibn Al-Mubarak.

Setiap kali mengulang baca, saya cuba bersungguh-sungguh memahami setiap patah mesej yang cuba disampaikan. 

Siapakah Ibn al-Mubarak?

Namanya ialah Abdullah bin al-Mubarak al-Khurasan. Beliau sering disebut dalam kitab-kitab fiqah, aqidah dan tasauf. Semua yang mengenalinya bersepakat mengatakan beliau adalah seorang faqih yang mujtahid, ahli
hadith yang hafiz, zahid yang tekun beribadat dan mujahid yang gagah berani di medan perang. Beliau juga seorang usahawan yang berjaya.

Ke mana Ibn al-Mubarak melabur hartanya?

Kata beliau, 
"Aku kenal beberapa orang yang sangat jujur dan tekun. Mereka menuntut ilmu dan hadith dengan rajin namun memerlukan bantuan kewangan untuk keluarganya. Jika kita biarkan, ilmu mereka akan sia-sia. Jika kita bantu, orang ini dapat menyebarkan ilmunya kepada umat Muhammad s.a.w. Aku tidak tahu setelah kenabian ada satu amalan yang lebih utama  daripada menyebarkan ilmu."

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Subhanallah! 

Kesedaran yang amat tinggi dalam jiwa beliau tentang memilih pelaburan yang tepat bagi hartanya.
Apa yang beliau lakukan ialah menaja tokoh-tokoh ilmu dan penggiat-penggiat dakwah agar mereka terus menjalankan aktiviti pembelajarannya tanpa masalah kewangan. Mereka yang ditaja oleh beliau ialah Sufyan al-Thawri , Sufyan bin 'Uyainah, al-Fudhail bin 'Iyad, Ibn Sammak dan Ibn 'Ulayyah.

Sekarang, cuba kita bandingkan dengan diri kita. Ke mana wang gaji atau pendapatan kita setiap bulan dilaburkan? Jauh..sungguh masih jauh. Kita sibuk nak membeli itu ini, kita sibuk mahu timbunkan puluhan ribu dalam akaun simpanan. Apa salahnya kita peruntukan beberapa bahagian daripada gaji kita untuk disalurkan kepada Islam. Apa salahnya sambil-sambil kita membayar bil-bil rumah, kita bank in juga seberapa yang mampu pada mereka yang berpenat lelah menyebarkan Islam.

Dalam hidup, kita pastinya mengenali ramai daripada mereka yang merantau jauh mencari ilmu agama, menubuhkan pondok-pondok dan madrasah, masuk jauh ke kawasan pedalaman menyebarkan Islam, berceramah di sana-sini menyampaikan ilmu agama. Mereka berkorban meninggalkan keluarga dan kampung halaman. Kita dan mereka adalah bersaudara di bawah satu akidah. Jika kita tak dapat membantu menyampaikan ilmu agama, kita bantulah dari segi kewangan. Kita selalu bertanya apa yang orang lain sumbang, tapi kita jarang bertanya apa yang boleh kita sumbangkan. 

Ada juga di kalangan keluarga terdekat kita yang kita ketahui kesusahan mereka menuntut ilmu agama. Sebagai contoh, saudara kita ingin menyambung pelajaran namun mereka tidak mampu membeli laptop, atau membayar yuran pengajian. Kita tahu dia mempunyai ilmu agama. Jika dia belajar dan mendapat kelulusan yang lebih tinggi, pastinya ilmu agamanya akan tersebar dengan lebih luas dan pengikutnya dan lebih ramai. Jika kita biarkan, ilmunya akan sia-sia, kebolehannya akan terbantut dan tenaganya akan terbatas dan pastinya ruang lingkup dakwahnya juga tidak berkembang. Kita lah sebagai pemudah cara.


Dengan sumbangan kita yang tidak seberapa, insya Allah para pencinta ilmu dan pendakwah dapat pergi lebih jauh. Betapa besarnya pahala kita membantu. Kita juga dikira melabur dalam saham akhirat. Ada sumbangan kita dalam membantu mereka menyebarkan Islam. Allah pastinya memberi keuntungan kepada kita. Pada hari akhirat, usahlah kita bimbang dan ragu harta kita akan habis jika disalurkan kepada mereka yang menyebarkan agama, malah Allah pasti akan menggantikan dengan sebuah hadiah yang amat kita harapkan. Sebuah syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, baunya pula boleh dihidu dalam jarak yang amat jauh. Kita tidak akan dapat memasukinya melainkan dengan Rahmat Yang Maha Pemberi Rahmat.


Apa yang kita bimbangkan lagi?

Ayuh, bersegeralah mencari jalan membantu dengan kewangan semampu yang boleh kepada mereka yang menyebarkan Islam. Mulalah mencari iklan-iklan penubuhan madrasah atau pondok, pelajar-pelajar agama, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis bahan bacaan agama, penggiat-penggiat Islam, tenaga pengajar agama, jiran tetangga yang memerlukan dana untuk menyebarkan Islam. Hulurkan bantuan, ringankan tangan memberi. Sanggupkah kita biarkan ilmu mereka membeku dalam diri mereka yang berilmu sahaja tanpa disebarkan seluruh pelusuk dunia disebabkan tangan kita yang lokek ingin membantu, hati kita yang keras dan tegar membiarkan mereka kesusahan, membiarkan mereka membantutkan niat saat ilmu yang ada seharusnya disampaikan pada umat yang semakin hari tenggelam dalam kejahilan yang membunuh.

Ke manakah hartamu, kamu belanjakan?

0 comments: