Pages

Dec 19, 2012

Da'wah Bil Hal Muslimah Bertudung Labuh

Assalamualaikum wbt.

Saya tertarik dengan satu penulisan oleh seorang penulis di alam maya yang saya kagumi penulisannya..saya kongsikan di sini.

Jom kita hayati...




Di dalam tulisan bertajuk Muslimah & Tudung Labuh, ada seorang muslimah yang telah memberi komen menceritakan sebab beliau masuk Islam.  Menurut beliau, pemakaian sebahagian muslimah yang bertudung labuh telah menarik hatinya untuk mengenali seterusnya memeluk agama yang suci ini.
Berikut adalah petikan komen beliau:
Tudung labuh boleh jadi sebab kepada hidayah ALLAH.
Hari ini, saya menulis dengan ringkas di Facebook mengenai satu situasi yang berlaku di dalam majlis rasmi sebuah kementerian.  Ia berkaitan bagaimana si muslimah bertudung labuh secara tidak langsung telah mengubah situasi majlis kepada yang lebih baik.

Berikut adalah mesej tersebut:

Muslimah bertudung labuh menyedarkan manusia akan agama.
Dua situasi di atas menyebut kebaikan yang dihasilkan secara tidak langsung oleh para muslimah yang bertudung labuh.  Ia memberi mesej kepada kita betapa pakaian menurut syariah Islam bukan sahaja memberi kebaikan kepada si pemakainya, bahkan buat orang-orang di sekelilingnya.

Da`wah Bil-Hal Si Muslimah Bertudung Labuh

Dakwah ada bermacam-macam jenis.  Jika da`wah bil-lisan adalah seruan kebaikan kepada manusia melalui ceramah, kuliah, seminar, forum dan seumpamanya.  Manakala da`wah bil-hal pula adalah seruan kebaikan kepada manusia melalui perbuatan dan penzahiran perilaku.

Da`wah bil-hal  ialah dakwah tanpa suara.  Ia mengajak manusia kepada kebaikan berdasarkan penunjukan contoh dan aksi.  Dakwah bentuk ini adalah antara bentuk dakwah yang paling memberi kesan kepada orang yang mahu didakwahkan.  Malah orang yang berada di sekeliling pun turut terkesan melalui dakwah cara ini.  Betullah kata pepatah “action speaks louder than words.”

Kita lihat situasi pertama di atas:
Seorang gadis yang pada asalnya bukan beragama Islam, bagaimanapun setelah beberapa kali melihat wanita-wanita Islam yang bertudung labuh, terus  jatuh hati dengan pakaian sederhana yang penuh kedamaian dan ketenangan itu.  Bahkan telah mencetus hidayah untuk beliau masuk Islam selepas dari itu.  Semuanya berpunca dari cara berpakaian muslimah yang bertudung labuh.

Tentu ini bukan kes yang pertama atau kedua.  Mungkin ada banyak lagi kes sebegini yang tidak kita ketahui yang berlaku di luar kesedaran kita.  Secara tidak langsung, muslimah-muslimah yang bertudung labuh telah berdakwah hanya melalui pakaian mereka.  Secara tidak mereka sedari, pahala kebaikan dari sisi ALLAH mengalir ke dalam buku amalan mereka.  SubhanAllah!  Pahala percuma buat mereka!

Kita lihat situasi kedua pula:
Si VVIP itu mungkin lalai dengan agamanya sehingga habis semua lelaki dan perempuan dijabatnya tanpa berasa segan dan kekok.  Mungkin kerana penghayatan agamanya kurang hasil dari persekitaran dan latar belakangnya sendiri.  Namun, setelah tiba giliran si muslimah yang bertudung labuh ingin mengambil sijil penghargaan beliau, si VVIP itu tiba-tiba tersedar akan tuntutan agamanya yang melarang dari lelaki dan perempuan bebas berjabat salam atau bersentuhan.

Kehadiran muslimah itu telah menyelamatkan lain-lain muslimah di belakang gilirannya.  Kerana sebelum muslimah bertudung labuh itu naik ke pentas, telah ada sok-sek-sok-sek di kalangan muslimah di tempat duduk yang masing-masing mengadu sesama mereka betapa tidak sensitifnya si VVIP itu terhadap agama.  Mereka merujuk kepada perbuatan si VVIP yang bersalam sakan dengan wanita-wanita bukan mahramnya di atas pentas.

Namun, tanpa bersuara si muslimah bertudung labuh itu telah menyampaikan mesej agama kepada si VVIP itu lalu menyedarkannya.  Beliau tidak meneruskan perbuatan beliau bersalaman dengan wanita selepas itu. Tidakkah hal ini boleh menyebabkan sayang ALLAH tercurah kepada wanita bertudung labuh itu?  Lain-lain wanita terselamat kerananya. Dan kerananya juga si VVIP itu tersedar. Dengan izin ALLAH, tentu ada bahagian pahala dari sisi ALLAH hasil dari perbuatan tidak langsung ini.

Dua contoh di atas hanyalah sebahagian daripada banyak contoh da`wah bil-hal yang dilakukan oleh para muslimah yang bertudung labuh.  Dan tentunya ia tidak terhenti di situ sahaja.  Banyak lagi contoh dalam masyarakat kita bagaimana si muslimah bertudung labuh boleh berdakwah secara tidak langsung hanya melalui pakaian tudung labuh mereka.  Antaranya ialah:
  1. Meredakan nafsu para lelaki yang selama ini melihat perempuan hanya sebagai objek seks.  Dengan melihat si muslimah bertudung labuh, si lelaki mungkin datang jiwa beragama secara tiba-tiba dan insaf.  Pandangan nafsu mereka akan ditenangkan dan diganti dengan keimanan.
  2. Muslimah yang bertudung labuh selalu mengingatkan para masyarakat akan agama.  Dengan kehadiran mereka, selalu secara tiba-tiba sahaja orang ramai akan teringat akan suruhan solat, suruhan tutup aurat, larangan mengumpat dan lain-lain hal berkaitan agama.  Kebiasaannya masyarakat akan segan untuk melakukan perkara-perkara yang bercanggah agama secara terbuka di hadapan muslimah yang bertudung labuh kerana secara amnya mereka mengingatkan kita kepada agama dan rasa beragama.
  3. Memberi contoh kepada lain-lain muslimah tentang cara berpakaian yang betul dan menepati syariat Islam.
  4. Menunjukkan kesederhaan dan kesopanan para wanita Islam kepada masyarakat Islam atau yang bukan Islam yang terkeliru dengan nilai-nilai ummat Islam yang dipesongkan oleh media dan persepsi masyarakat.
  5. Dan lain-lain lagi.
Semoga tulisan ringkas ini dapat membuka hati para muslimah di luar sana agar bertudung labuh dan berpakaian menutup aurat yang tepat dan sempurna menurut yang dikehendaki oleh Islam.  Tuan/puan boleh membaca secara ringkas mengenai cara berpakaian muslimah yang betul menurut Islam di sini:


Percayalah wahai para muslimah sekalian, bahawa apabila kalian berpakaian menutup aurat dengan sempurna, kalian bukan sahaja beroleh pahala kerana menepati kehendak agama yang dikehendaki atas diri kalian.  Dan ia bukan sahaja bakal menyelamatkan kalian dari bahaya yang mungkin datang dari lelaki-lelaki yang jahat.  Bahkan dengannya juga kalian beroleh pahala melalui dakwah yang kalian lakukan secara tidak sengaja, iaitu da`wah bil-hal yang telah dijelaskan di atas.

Semoga ALLAH Ta`ala pelihara para muslimah sekalian dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…

2 comments:

Abd Razak said...

السلم عليكم ورحمة الله

Tugasan dakwah tidaklah hanya terhad kepada perkataan tetapi perlulah juga menunjukkan contoh yang baik.

win3 said...

dakwah bil hal lebih mengena pada obyek dakwahnya