Pages

Nov 9, 2011

The Actual Task

Assalamualaikum wbt.

Berkali-kali saya menaip sesuatu di sini kemudian saya memadamnya kembali. Seakan ingin berkongsi sesuatu namun tidak tahu ingin bermula dari mana dan saya rasakan itu bukan dari hati saya. Jika tidak dari hati, ia tidak akan masuk ke hati yang membaca.

Hari ini sibuk. Esok bakal sibuk dan begitulah hari-hari seterusnya. Tanggungjawab semakin bertambah. Tapi saya gembira dengan kehidupan sekarang. Fasa kehidupan yang lebih menuntut saya belajar melalui pengalaman. Jika dulu semasa zaman belajar, saya banyak mendengar dan belajar di dalam kelas formal. Kini, saya belajar melalui kesilapan dalam tugasan seharian kemudian dibantu tanpa jemu rakan yang berpengalaman. Belajar daripada kosong dan kemudian menyusun angka demi angka.

Jika mula dihitung, masih terlalu banyak belantara yang belum diteroka. Masih jauh puncak gunung yang perlu didaki sebelum tiba di puncak. Masih banyak stesyen yang perlu disinggahi sebelum terus mara ke destinasi yang dituju. Langkah kaki yang diatur masih terlalu perlahan. Saya cuba sedaya upaya menyelesaikan cabaran demi cabaran yang ada. Sungguh, jalan yang dilalui amat berliku walaupun kadangkala saya alpa dengan jalan lurus dan mudah yang ditempuh.



Saya sentiasa cuba memperbaharui niat, terjun ke bidang yang saya makin jatuh cinta hari demi hari. Mula melekap terus di sanubari. Perjuangan yang menuntut kesabaran dan pengorbanan. Jika dulu, saya kurang peka dengan orang lain, tapi sekarang saya makin faham apa itu hubungan sesama manusia. Jika dulu, saya sibuk dengan hal sendiri, tapi sekarang saya mula memimpin orang sekeliling melangkah bersama. Jika dulu, saya asyik fikirkan peperiksaan sendiri, berdebar menanti natijahnya, tapi sekarang makin berdebar menunggu keputusan anak didik.

Peluang keemasan yang diberikan Allah swt melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Sungguh rezeki itu milik Allah swt. Jauh daripada jangkauan logik akal saya. Kebesaran yang ditunjukkan Allah swt sangat membuatkan saya berasa terlalu kerdil. Percaturan Allah swt Maha Hebat. Perancangan Allah mengatasi perancangan manusia. Tiada kata sebenarnya yang dapat diungkapkan untuk melambangkan betapa saya berasa takjub dengan percaturan Yang Maha Esa.

Doakan saya terus mara ke hadapan. Menyampaikan agama dalam apa jua bidang ilmu yang diajar.
Kerana itulah kehendak agama kita. Kerana itulah kehendak Allah meletak saya di sini. Kerana itulah pilihan terbaik Allah swt untuk saya. Itulah 'task' yang mesti saya sempurnakan.

'Task' yang akan terhenti bila-bila masa dengan datangnya saat kematian!

1 comments:

NadiaH NaDya said...

experience is the best TEACHER....