Pages

Mar 10, 2012

Masih Ada Rupanya Rijal Seperti Dia

Assalamualaikum wbt.

Suatu kisah yang diceritakan si fulan kepada saya. Sudah terlalu lama mahu dicoretkan di sini. Namun ada sahaja halangan yang mendatang. InsyaAllah untuk ingatan kita bersama terutama diri saya sebagai pencerita.

Seorang guru kepada si fulan, seorang rijal sangat menjaga adab seorang muslim. Jika mahu bertemu dengannya, sangatlah sulit. Bukan kerana beliau seorang yang sombong. Bukan juga kerana mesti membuat janji temu atau menghantar surat pemohonan barulah dapat bertemu dengannya.

Sukar bertemu dengannya kerana beliau sangat menjaga pandangan mata daripada memandang sesuatu yang haram baginya. 

Si fulan menceritakan bahawa gurunya tersebut tidak mahu bertemu atau terserempak dengan wanita yang tidak halal baginya. Jika mahu ke kelas atau pulang dari kelas, gurunya tidak lalu di jalan-jalan, tetapi beliau lebih rela lalu di celah-celah pokok. Ya, gurunya itu berjalan di celahan pokok. Semuanya kerana beliau ingin menjaga hati. Mendidik nafsunya.

Setelah lebih 5 tahun mengenali gurunya, si fulan tidak pernah mendengar walau satu patah kata yang kesat atau walau sekali gurunya itu meninggikan suara. Kalam yang keluar daripada mulutnya sentiasa berhikmah sehinggakan dapat membuatkan si fulan menangis dan ketawa dengannya.

Subhanallah, masih ada rupanya rijal yang seperti ini. Dalam dunia akhir zaman di mana sifat malu sudah semakin menipis dalam diri umat Islam.

Masih ada rupanya rijal seperti ini. Rijal yang tekun menjaga kehormatan diri dan menjaga nafsunya. Mengalahkan wanita yang sudah makin hilang sifat malunya ditelan jahiliyyah.

Sesungguhnya hidayah milik Allah. Kita sebagai hamba, perbanyakkan berdoa, memohon kepada Allah supaya sentiasa dilindungi Allah dan dibekalkan sifat malu walau di mana kita berada.

Amin.