Pages

Feb 13, 2011

Berubah

Assalamualaikum wbt.

Permulaan manusia dilahirkan ke dunia, dilahirkan suci bersih tanpa sebarang dosa. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun Allah menganugerahkan pelbagai kebolehan.

Daripada hanya pandai menangis kepada bercakap, hanya terbaring kepada berjalan dan berlari, daripada tidak pandai membezakan yang baik dan buruk kepada memilih yang baik-baik sahaja.

Sepanjang perjalanan ada yang mengikuti jalan yang lurus dan ada pula yang menyimpang, tersasar dari laluan yang betul. Terkadang kita menganggap berubah adalah suatu yang mudah tetapi hakikatnya memerlukan satu pengorbanan yang panjang.

Apabila telah sampai hidayah Allah kepada kita untuk berubah menjadi lebih baik, usahlah bertangguh lagi.
Segerakan perubahan kerana kita tidak tahu adakah ada kesempatan lain yang akan diperoleh.
Adakah peluang keemasan akan datang lagi? Bimbang-bimbang kita dijemput balik ke rumah sebelum mengubah diri. Pulang ke rumah dengan maksiat kepada (tuan rumah) Allah.


Semasa zaman kanak-kanak, ibu ayah kita selalu mengingatkan supaya pulang ke rumah sebelum gelap. Itulah yang diumpamakan kepada manusia. Sementara masih ada waktu, masih nampak jalan pulang, berubahlah ke arah kebaikan. Tidak rugi kita berusaha untuk berubah. Allah tidak meminta apa-apa bayaran. Semuanya percuma.

Macam mana ni? aku dah tersimpang jauh...

Tidak mengapa, kembalilah ke arah kebaikan. Sifat maha pengampun dan pengasih Allah tiada tandingan.
Allah yang menguatkan tika kita lemah, mengangkat tika kita jatuh tersungkur, memberi cahaya tika kegelapan, mendengar rintihan tika manusia tidak sanggup melayan kerenah kita dan menghilangkan resah tika kita tidak yakin dengan perubahan yang akan dibuat. Be positive!. Allah bersama kita.



Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-A'raaf 7:153)

Sesungguhnya kita patut bersyukur apabila menerima teguran untuk berubah. Ini bermakna Allah masih memandang dan cakna kepada kita.

Apakah tanda kita bersyukur?

Tandanya ialah kita berusaha mengubah diri ke arah lebih baik sedaya mungkin kerana Allah.

Tiba-tiba mata mula bergenang dan berat.




Pulanglah ke rumah sebelum gelap!

0 comments: