Assalamualaikum wbt
Beberapa hari yang lalu, usai solat Subuh, saya membaca Al-Quran beserta terjemahan. Sedang khusyuk memahami serta menelaah kalam-kalam Yang Maha Esa, saya sangat tersentuh dengan cerita perihal ahli syurga yang menceritakan tentang perihal rakannya di dunia.
Rakannnya semasa di dunia telah menempelaknya tentang kebangkitan semula selepas manusia dimatikan di dunia.
Seorang di antaranya berkata: " Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku)." Katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?. "Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? " (As- Saaffaat 31 : 51-53)
Kemudian ahli syurga tersebut telah mengajak temannya di syurga untuk melihat keadaan rakannya itu.
Alangkah terkejutnya mereka melihat keadaan rakannya itu.
Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. (As- Saaffaat 31 : 55)
Bayangkan rakan kita di dunia yang kita kenali dan bersenda gurau bersama tetapi tiba-tiba di akhirat sana kita melihat mereka sengsara di dalam api azab. Sebaliknya, jika kita yang ingkar dan mendustakan Allah dengan sebarang bentuk sekali pun, tidak mustahil rakan kita yang melihat kita di tengah-tengah api yang menjulang (na'uzubillahi min zaalik).
Oleh sebab itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri, patuh pada perintah Allah dan yakin dengan segala ketentuanNya. Kita wajib beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti kehidupan setelah kematian, syurga, neraka, neraca mizan dan hari kiamat.
Berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikut Islam dalam kehidupan seharian. Teringat saya pada Ustaz semasa di sekolah menengah pernah berkata bahawa hari Kiamat juga dipanggil yaumul din (hari agama).
Mengapa dipanggil yaumul din?
Kerana barangsiapa yang mengikut agama nescaya mereka akan selamat dan barangsiapa yang ingkar, mereka akan sengsara dan mendapat balasan yang setimpal dengan keingkaran mereka tanpa dizalimi sedikit pun.
Masihkah kita mahu leka sedangkan telah jelas antara kesudahan yang baik dan buruk?
Cerminlah diri masing-masing....
0 comments:
Post a Comment