Pages

Jun 21, 2011

Setiap Ruas Tulang

Assalamualaikum wbt.

Dari Abu Hurairah r.a berkata :

"Setiap ruas tulang manusia harus disedekahi setiap hari selama matahari masih terbit. Mendamaikan dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, menolong orang hingga ia dapat naik kenderaan atau mengangkatkan barang bawaan ke atasnya merupakan sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah kaki yang engkau ayunkan menuju ke masjid adalah sedekah dan menyingkirkan aral dari jalan juga merupakan sedekah."

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Minggu lepas, ustaz telah menerangkan tentang hadith di atas. Saya masih ingat ketika itu, saya fikirkan seronoknya jika dapat menolong seseorang untuk menaikkan barang ke kenderaan. Entah mengapa saya bayangkan diri mengangkat barang ke atas unta. Walaupun realitinya tidak pernah melihat unta secara live.

Namun saya berkata-kata di dalam hati supaya dapat membantu seseorang yang dalam kesusahan untuk mengangkat barangnya ke kenderaan moden hari ini.

Tadi,

Saya berjalan pantas menuju ke stesen bas usai menghadiri sebuah bengkel.

Tiba-tiba....

"Dik, nak gi stesen bas ke?"sapa seorang makcik.

"A'ah, ye nak gi stesen bas", jawab saya sambil menoleh ke arahnya.

"Boleh tolong angkat ni tak? makcik nak pimpin anak makcik ni kesian dia sakit kaki", balas makcik itu sambil menunjukkan ke arah anaknya.

"Boleh makcik, meh saya bawak ni." giliran saya bercakap.

Semasa saya mencapai tiga beg plastik di tangannya, terdetik dalam hati, boleh tahan berat plastik ni, ada susu tepung 3-4 bungkus, pampers dan ada satu lagi beg plastik berisi barangan dapur lain.

Kesian sungguh makcik ni. Rupa-rupanya anak itu cacat sejak lahir.

Saya berjalan beriringan dengannya hingga ke atas bas yang menuju ke Nenasi.

Dengan lemah lembut, makcik mengucapkan terima kasih kepada saya dan saya membalas ucapannya dan tersenyum.

Kemudian saya turun dari bas dan bertukar haluan ke bas sebelah.

Terasa begitu tenang.

Alhamdulillah, saya dapat mempraktikkan sebahagian daripada ruas tulang saya untuk bersedekah.

Terima kasih Ya Allah. Engkau pertemukan dengan perkara bermain di fikiran semasa minggu lalu.

Saya sungguh gembira hari ini dan dapat bermuhasabah diri supaya mengingati waktu susah.

Usah bimbang jika tidak berharta, Allah mengira setiap ruas tulang kita sebagai sedekah.

Ayuh Bersedekah Dengan Setiap Ruas Tulang!


0 comments: