Pages

Nov 22, 2012

Cinta Ilmu

Assalamualaikum wbt.


Diskusi bersama seorang sahabat suatu ketika dahulu telah banyak membuahkan kesedaran dalam hati ini bahawa ilmu agama amat penting untuk mengharungi kehidupan sehari-hari.

Saya merupakan salah seorang yang tidak 'lahir' dari kelas pengajian agama secara formal di universiti melainkan beberapa kelas minor sahaja. Selebihnya, kelas yang dihadiri secara sukarela, perbincangan, pembacaan sendiri dan pelbagai sumber yang banyak disumbang daripada rakan-rakan yang juga mencintai ilmu agama.*alhamdulillah*

Merenung kembali perjalanan hidup yang Allah swt sudah mengaturkan segalanya hingga saat ini, maka satu kesimpulan awal yang dapat dipetik ialah Allah swt ingin saya lebih menghargai ilmu agama yang saya dapati dengan jalan penuh liku. Sungguh berbeza sekali dengan mereka yang berada dalam aliran agama yang belajar agama secara formal, menghadap tok guru setiap hari, dikelilingi suasana tarbiyah. Mereka belajar pelbagai kitab agama yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu agama, dari kitab-kitab yang nipis hinggalah yang setebalnya. Dahulunya, saya tidak dapat menyembunyikan betapa saya iri hati melihat mereka yang menguasai pelbagai disiplin ilmu,tidak lokek pula menyampaikan pada masyarakat di sekelilingnya sedangkan saya masih jauh untuk mencapai tahap seperti mereka.

Namun, setelah bertanya kepada seorang sahabat, beliau telah memberi satu pandangan yang berbeza kepada saya. Kata beliau, semua manusia berpeluang menjadi hebat. Hebatnya kita bukan kerana kita kaya, pandai mempengaruhi orang sekeliling, hebatnya kita ialah apabila kita sentiasa berusaha bermanfaat kepada saudara kita. Itulah yang saya pegang hingga saat ini.

Ilmu agama ialah alat untuk kita mengenal Allah. Setiap satu itu ada kuncinya. Kunci rumah, kunci kereta, kunci bilik. Begitu juga dengan syurga. Kuncinya ialah "Lailahaillah". Tiada satu pun yang layak disembah, ditakuti, diikuti melainkan Allah swt.


Kitab-kitab karangan ulamak yang masih banyak belum 'ditadah'







Melihat pada deretan kitab agama karangan ulamak. Betapa hari ini kita semua sudah jauh dari agama. Kita mementingkan ilmu dunia lebih dari ilmu akhirat. Tak dinafikan itu semua. Bersusah payah para ulamak silam mengarang kitab, namun kita? Sudahlah masih jauh nak mengarang kitab, tugas kita untuk belajar kitab juga diabaikan. Melihat pada harganya, sungguh sangat-sangat murah..ada yang berharga dua ringgit, lima ringgit tetapi ilmu di dalamnya sangat mahal. Rugilah kita biarkan umur kita berlalu tanpa berusaha mendalami isi kitab2 tersebut dan seterusnya mengamalkan pula.

Saya akan terus berusaha agar dapat mencintai ilmu agama, mencintai majlis ilmu, mencintai para ulamak dan berdamping dengan insan-insan yang soleh. Mengutip hikmah yang terbit dari bibir mereka agar menjadi bekalan menempuh dunia yang ada permulaan dan ada akhirnya.

Saya yakin, walaupun payah saya akan dapat mengharunginya, walaupun umur sudah meningkat namun saya masih bertatih mendalami agama, saya tak mahu terus terlewat hingga roh berpisah dari jasad....Bi iznillah..


Marilah kita Cintai Ilmu Agama!


3 comments:

win3 said...

cinta ilmu dunia dan juga cinta ilmu agama insya Allah selamat dunia akherat

Abd Razak said...

السلم عليكم ورحمة الله

Benar apa yang dibicara, kitab-kitab keluaran dari kalangan ulama-ulama terdahulu memang murah namun isinya bernilai tinggi. Dan saya lebih gemar menjemput ustaz-ustaz yang faqih dalam kitab-kitab tersebut mengajar di masjid dalam kawasan saya duduk.

nur said...

betul tu milah..jom majlis ilmu