Pages

Nov 19, 2011

Taubat Kerja Besar!

Assalamualaikum wbt.

Sebelum memulakan perkongsian kali ini, saya mohon para pembaca melupakan sebentar segala urusan seharian, pinjamkan mata, fikiran, akal dan hati kepada setiap patah kata yang saya coretkan di sini. Moga ia menjadi panduan kepada kita sebagai pengembara di muka bumi, pengembara di bumi asing, pencari makna kehidupan yang sebentar ini.

Kita selalu merasakan bahawa kita akan terlepas daripada dosa kerana tidak melakukan perbuatan yang mendatangkan dosa. Namun, apakah kita tidak menyedari? Tanda orang yang diterima taubatnya ialah merasai diri belum suci daripada dosa sekalipun dilakukan taubat berkali-kali. 


Dari hari ke hari, kita menangguh untuk bertaubat, kita buat-buat lupa. Natijahnya, hati kita akan semakin kotor dengan tompok- tompok hitam (dosa). Kita tidak dapat menjiwai sepenuhnya kerana kita tidak nampak dosa yang telah kita lakukan dan betapa ia telah mengotori hati kita. Hati kita bertambah kotor dan menjadi keras. Lebih keras daripada batu. Jika air yang menitik dari dinding gua, lama-lama akan menghakis juga batu di atas tanah tetapi tidak kepada hati yang keras.



Apakah tanda-tanda hati yang telah keras?

Mari kita semak diri kita sama ada terdapat tanda-tanda yang akan saya sebutkan ataupun tidak. Tanda-tandanya dapat dilihat secara zahir walaupun dosa itu perkara yang ghaib. Inilah rahmat Allah supaya kita segera bertaubat. Tanda-tandanya ialah hati kita tidak sedikitpun takut melakukan dosa, tidak merasai nikmat kemanisan beribadat dan ketaatan kepada Allah dan akhirnya nasihat yang diberikan sedikit pun tidak mendatangkan kesan dan manfaat.

Abdullah Ibnu Mas'ud mengatakan bahawa "Seseorang mukmin yang melihat dosanya bagaikan bukit yang akan runtuh, sedangkan bagi orang munafik melihat dosanya bagaikan lalat yang hinggap di hujung hidungnya maka akan diusirnya dengan tangan sahaja".

Bersegeralah bertaubat. Saya bagi contoh, kita seorang pelajar. Hari ini kita melakukan kesilapan dalam peperiksaan. Markah lulusnya ialah 40%, namun disebabkan kita bertangguh untuk menghadam satu topik sebelum peperiksaan walaupun telah diingatkan oleh guru atau pensyarah, kita gagal mendapat markah lulus sekurang-kurangnya. Hanya 39%. Guru berkata kepada kita,"Cikgu tak akan naikkan markah kamu jadi lulus. Biar jadi pengajaran pada kamu supaya ambil perhatian pada apa yang cikgu katakan". Betapa kita menyesal waktu itu tetapi penyesalan sudah tidak berguna. Keputusan sudah pun dikeluarkan.


Begitulah juga kita. Kita tidak mahu menjadi seorang yang papa di akhirat disebabkan dosa yang belum ditaubatkan. Bertaubat sangat sangat sangat penting. Harapnya, dapat meresap terus ke dalam hati kita saat ini. Dengan menyedari kepentingannnya sahaja maka anggota kita akan bekerja.

Tiap suruhan pasti ada caranya. Bagaimana kita mahu mengajak orang yang berkekalan dalam maksiat berkhidmat kepada Allah? Kita mesti bertaubat supaya dosa kita tidak menjadi penghalang kepada ketaatan yang kita lakukan. Pasti kita akan merasai kemanisannya. Taubat yang menjadikan amalan kita diterima oleh Allah swt. Taubat seperti hutang yang belum dibayar. Ibadat pula seperti hadiah sahaja.Maka ibadat tanpa taubat adalah ditolak oleh tuan empunya hutang. Empunya hutan tidak akan menerima hadiah sekiranya hutang wajib belum dibayar. Bagaimana kita memohon hajat kepada Allah sedangkan Allah murka kepada kita ?. Seumpama kita memuji sahabat kita sedangkan pada masa yang sama kita menyakiti hatinya. Ini bermakna pujian itu hanya seperti senda gurau.


Adakah kita berada di ambang taubat?

Beberapa tanda yang kita akan sedari jika kita berada di ambang taubat. Antaranya ialah mengingati perbuatan dosa amatlah buruk, mengingat bahawa balasan terhadap dosa itu amatlah buruk dan mendapati diri ini sangat kerdil dan tidak akan tertahan azab Allah swt.

Jika kita sudah dapat merasakan seperti saya nyatakan tersebut, ia akan menjadi pendorong utama kita untuk bertaubat. Ini bermakna taubat tidak memadai dengan rasa menyesal sahaja. Jika taubat itu disertai dengan rasanya hilang keseronokan dengan dosa yang dilakukan selama ini,ia belum dinamakan bertaubat. Ini kerana masih ada dalam hatinya perasaan ingin menikmati hasil daripada dosa yang dilakukan. Itu semua hanya penipuan syaitan kepada kita dan menjadikan kita makin jauh beribu batu daripada Allah swt.

Mati?

Jika kita mati selepas kita bertaubat, maka kita akan mati sebagai seorang hamba yag telah bertaubat kepada Allah dan belum sempat kembali kepada dosa. Kita tekad dan bulatkan hati untuk tidak kembali kepada dosa yang telah dilakukan. Moga-moga dengan rahmat dan sifat Allah yang Maha Pengampun akan mengampuni segala dosa kita.



Imam Ghazali,seorang tokoh falsafah Islam menegaskan bahawa jangan pula kerana kebimbangan ini, menghalang kita untuk bertaubat.

Oleh itu, kembalilah ke pangkuan Allah, bersegeralah memohon keampunan Allah yang pintunya sentiasa terbuka kepada semua hambanya yang ingin kembali berteduh di bawah rahmatnya dengan hati yang bersih daripada dosa.

Taubat tanpa jemu itulah resepinya!

0 comments: