Saya membaca akhbar semalam dan hari ini. Sungguh pilu apabila membaca berita seorang murid yang akhirnya meninggal dunia akibat dipukul guru.
Saya juga seorang guru dan pastinya semua pembaca mempunyai rasa peri kemanusiaan terhadap seorang kanak-kanak.
Janganlah diikutkan rasa kelak akan binasa.......
Sama-sama kita hayati kisah ini...
Ahad , 3 April 2011
Pelajar dipukul hampir dua jam
shamsulmunir@hmetro.com.my
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.
Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.
Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.
Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.
Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.
“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.
“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.
“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.
Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.
Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.
“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.
Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.
“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.
Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Isnin, 4 April 2011
Cikgu ambil nyawa
shamsulmunir@hmetro.com.my
ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.
Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.
Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama berkenaan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.
“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan disambung untuk tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.
Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.
Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.
Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.
Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan berkenaan.
“Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.
“Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga menyebabkan kematian murdnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan polis.
“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti,” katanya.
Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.
2 comments:
tak tahulah nak cakap apa, bila baca kes2 macam ni, teringat plak saya garang kat murid2 masa di Meru tahun lepas, tak boleh lupa, harap diorang maafkan ketaksabaran saya masa tu, huhu~sedih, sedih bila mengenangnya~
huhu..tu lah..kadang jadi garang gak bila kesabaran diuji dgn budak2 ni...tp bila tersedar terus berhenti nak marah..kesian..=p
Post a Comment