Pages

Jun 15, 2012

Anak Yang Cerdik

Assalamualaikum wbt.






Pada suatu hari, Bahlul r.a. sedang berjalan-jalan di kota Basrah dan terserempak dengan sekumpulan budak sedang asyik bermain. Di antara mereka, ada seorang budak yang tidak ikut mengambil bahagian bermain. Dia hanya melihat sahaja kepada temannya sambil menangis. Bahlul yang melihat gelagatnya, menyangkakan anak itu tidak mempunyai permainan seperti temannya yang lain.

Bahlul mendekati anak itu dan bertanya, "Wahai anakku, mengapa engkau menangis? tak baiklah menangis macam ni. Biarlah pakcik belikan mainan seperti itu, nanti engkau boleh bermain bersama mereka." Budak itu berhenti menangis sebentar kemudian memandang wajah Bahlul dan berkata,"Wahai pakcik yang cetek akal, apakah kita ini diciptakan oleh Allah untuk bermain-main?"

"Mengapa engkau berkata begitu? Apakah engkau tahu untuk apa kita diciptakan?" tanya Bahlul.

"Ya tahu. Untuk menuntut ilmu dan beribadah kepada Allah", kata si budak.

Bahlul sangat terperanjat mendengar jawapan itu, tidak sangka budak sekecil itu punya wawasan yang jitu.
"Semoga Allah memberkatimu. Dari mana engkau datang?"

Budak itu menerangkan bahawa dia mengetahui perkara itu dari firman Allah,

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
(Al-Mu'minuun 23:115)



"Wah...kalau begitu engkau seorang hukamak. Sila beri aku nasihat!" kata Bahlul setelah mengetahui kecerdasan budak itu.

Budak itu lalu bersyair yang berisikan nasihat tentang dunia dan kerugian orang yang menjadikannya sebagai matlamat hidup. Selepas itu, dia memekik kuat lalu rebah ke tanah dan pengsan di situ. Bahlul segera mengangkat kepalanya dan diletakkannya di ribaannya. Debu-debu yang terdapat di kepala dan wajahnya dilap sehingga bersih. Sebentar kemudian dia sedar dari pengsannya.

"Wahai anakku, mengapa sampai begitu rupa? Engkau masih kecil dan belum mempunyai sebarang dosa," kata Bahlul.

"Pergi engkau daripadaku.Wahai Bahlul, aku telah melihat ibuku menyalakan api di dapur untuk memasak dengan memakai kayu yang besar-besar. Akan tetapi api tidak mahu membakar sehingga diumpan dengan kayu-kayu yang kecil terlebih dahulu. Dari pengalaman itu, aku merasa takut, kalau-kalau aku dijadikan kayu-kayu kecilnya neraka Jahannam."

Sekali lagi Bahlul terpinga-pinga akan kepandaian budak bawah umur itu. Semua kata-kata dan hujahnya bernas dan masuk akal. Kerana nasihat si kecil itu, hati Bahlul tergugat. Rasa takutnya kepada Allah memuncak dan dia pun pengsan di situ juga. Dalam kedaan demikian, budak kecil itu beredar dari tempat itu.

Apabila Bahlul sedar dari pengsannya, dia segera melihat pada kumpulan budak-budak yang bemain, tapi budak cerdas yang satu itu sudah tidak ada lagi di antara mereka.

"Siapa gerangan budak itu?"tanya Bahlul kepada budak-budak yang ada di situ.

"Apakah pakcik tidak kenal dia?"


"Tidak. Aku tidak kenal."

"Dia itu dari keturunan Husain bin Ali bin Abi Talib radiallahu anhum." jawab mereka.

Bahlul terkejut apabila mengetahui bahawa budak cerdas itu sebenarnya adalah keturunan Rasulullah saw.

"Kalau begitu patutlah. Benihnya memang dari pokok yang baik pula." kata Bahlul pada dirinya.

*Petikan dari buku Kisah Wali-Wali Allah Siri 2.
  Penulis : Salman Al-Farisi

6 comments:

Didin Supriatna said...

luar biasa sharenya..

Abd Razak said...

Assalamualaikum...

Luar biasa orangnya yang mempunyai akal kurniaan Allah kerana telah mengunakannya sewaktu di dunia untuk merealisasikan hakikat terciptanya dirinya sebagai hamba.

~kamilah~ said...

Didin Supriatana : moga mendapat manfaat...

Abd Razak : ya, betul tu ustaz...

NadiaH NaDya said...

"Kalau begitu patutlah. Benihnya memang dari pokok yang baik pula." kata Bahlul pada dirinya.

~kamilah~ said...
This comment has been removed by the author.
~kamilah~ said...

quote ni saaangat menyetuh hati kan??:-))