Semalam saya masuk ke kelas seperti biasa. Sebelum memulakan kelas, saya akan memimpin murid-murid yang beragama Islam untuk membaca doa. Buat pertama kali saya masuk ke satu kelas ini. Apabila saya bertanya siapa yang beragama Islam, ada 2 orang murid yang mengangkat tangan.
Saya hanya tersenyum memandang mereka dan mula memimpin mereka membaca doa sebelum belajar. Murid yang lain hanya mendengar dan diam. Selepas itu, bermulalah kelas menjadi bising dek kerana kawan-kawan ada yang berkata dia bukan Islam. Sekali lagi saya bertanya kepada salah seorang daripada mereka berdua.
Saya : "Betul kamu Islam?"
Murid A : " Betul cikgu "
Saya : "Ayah dengan mak kamu Islam?"
Murid A : " Islam cikgu ".
Kemudian saya menyambung pengajaran seperti biasa. Sedang asyik berkomunikasi dengan semua ahli kelas, tiba-tiba murid A mengangkat tangan dan berkata, "Cikgu, kalau nak makan baca doa macam mana?"
Saya pun memberhentikan kelas sebentar dan memimpinnya membaca doa makan beserta maksud. Dia dapat mengikut bacaan saya dengan baik.
****************************************
Entah mengapa kegusaran saya tentang agama sebenar murid tersebut sejak semalam mendorong saya untuk mendapatkan pengesahan daripada ustaz di sekolah. Ternyata murid A bukan Islam tetapi free thinker. Saya terdiam seketika dan air mata mula bergenang tapi ditahan. Hingga saat ini saya masih memikirkannya.
Ustaz menjelaskan kepada saya, semasa tahun 1 (tahun lepas), murid A berkawan baik dengan anak makcik kantin yang beragama Islam dan ternyata perlakuannya banyak dipengaruhi oleh kawannya itu. Anak makcik kantin sudah berpindah sekolah pada tahun ini.
Sepanjang perjalanan pulang tadi saya melayan perasaan mengenang wajahnya yang ceria dan bersemangat. Kanak-kanak itu suci daripada dosa dan dahagakan tunjuk ajar kita sebagai orang Islam.
Otak mula berfikir apakah yang sepatutnya dilakukan?
Begitulah yang dikatakan FITRAH. Fitrah manusia sentiasa inginkan kepada kebaikan dan naluri itu sudah diberi oleh Allah secara percuma tanpa apa-apa bayaran. Kewajipan kita menjadi hamba yang bersyukur.
Fitrah untuk mempergantungkan segala harapan hanya kepada Allah.
Hati juga mula merasakan tugas dakwah akan lebih mencabar. Dakwah kepada diri sendiri dan orang lain sekadar termampu. Mengenangkan kerja 'full time' muslim dan cikgu hanya 'part time'. Saya mula mencongak diri yang masih bertatih memperdalam agama.
2 comments:
entah kenapa..bgenang plak air mata..huhu
huhu.. ternyata anda MENGHAYATI kisah ini!..
Post a Comment