Pages

Dec 7, 2011

Akhlak Isteri Dengan Tetamu

Assalamualaikum wbt.

Kita selalu ke rumah rakan-rakan atau saudara-mara. Begitu juga rumah kita sendiri sentiasa dikunjungi tetamu. Bagaimanakah akhlak kita dengan tetamu? Adakah kita sentiasa menjaga maruah keluarga dan diri sendiri sepanjang tetamu berada di rumah? Atau kita banyak merungut tetnatang kehidupan keluarga kita di hadapan tetamu?

Saya kongsikan cerita yang berlaku kepada isteri Nabi Ismail a.s.

Pada awal sejarah pendudukan Mekah, Nabi Ismail a.s membesar bersama-sama kaum Jurhum dan mempelajari bahasa Arab daripada mereka. Ketinggian akhlak dan peribadinya menjadikan mereka sayang dan hormat kepadanya.

Apabila Ismail dewasa, mereka pun mengahwinkannya dengan salah seorang perempuan daripada kaum Jurhum. Setelah Hajar(ibunya) meninggal dunia, Ibrahim telah datang selepas perkahwinan Ismail untuk menziarahi keluarganya yang telah lama ditinggalkan. Tetapi baginda hanya dapat menemui isteri Ismail dan bertanya tentang Ismail. Isteri Ismail menjawab, "Dia keluar mencari rezeki bagi kehidupan kami."
Ibrahim bertanya pula tentang kehidupan mereka. Isterinya memberitahu, "Kami hidup dalam kemiskinan, kami hidup dalam kesempitan dan kesusahan," adunya lagi.

Ibrahim lalu berpesan, "Apabila suami kamu pulang, sampaikan salamku kepadanya dan beritahu kepadanya supaya menukar ambang pintu rumahnya."

Apabila Ismail pulang, dia berasa sesuatu yang luar biasa lalu bertanya kepada isterinya, "Adakah sesiapa datang melawat kamu?." Isterinya menjawab, "Ya, sorang lelaki tua begini penampilannya(seolah-olah merendahkannya) telah datang dan bertanyakan kepadaku tentang keadaan hidup kita dan aku telah memberitahunya bahawa kita hidup dalam kemiskinan dan kesusahan." Ismail bertanya lagi, "Adakah dia berpesan apa-apa?."

Isterinya menjawab, "Ya, dia menyuruh aku menyampaikan salam kepadamu dan menukar ambang pintu rumahmu." Ismail memberitahu, "Orang itu ialah bapaku dan dia telah mengarahkanku menceraikanmu. Kembalilah kepada keluargamu." Lalu Ismail menceraikannya dan berkahwin pula dengan seorang perempuan lain yang juga daripada kaum Jurhum.

Sekali lagi Ibrahim berjauhan dengan mereka dalam jangka masa (selama) yang dikehendaki Allah s.w.t dan kemudian datang lagi menziarahi mereka. Tetapi kali ini juga baginda tidak dapat mememui Ismail. Baginda datang menemui isteri Ismail dan bertanya tentang Ismail. Jawabnya, "Dia keluar mencari rezeki untuk menyara kehidupan kami."

Ibrahim bertanya pula tentang keadaan hidup mereka. Isterinya menjawab,"Kami hidup dalam kesenangan dan kemewahan." Kemudian beliau bersyukur kepada Allah dan Ibrahim bertanya lagi,
"Apakah yang kamu makan?" Jawabnya, "Daging." Tanya Ibrahim lagi,"Apa yang kamu minum?" Jawabnya "Air.". Ibrahim lalu berdoa, "Ya Allah, berkatilah daging dan air mereka."

Ibrahim lau berpesan kepada isteri Ismail, "Apabila suami kamu pulang, sampaikan salamku kepadanya dan beritahu kepadanya agar mengekalkan ambang pintu rumahnya."

Apabila Ismail pulang, dia bertanya kepada isterinya, "Adakah sesiapa telah datang melawat kamu?". Isterinya menjawab, "Ya, ada seorang lelaki tua yang sangat baik penampilannya telah datang." Dia memujinya dan menambah, "Dia bertanya kepadaku tentang kamu dan aku memberitahunya.Dia juga bertanya tentang kehidupan kita dan aku telah memberitahunya bahawa kita hidup dalam kesenangan."

Ismail bertanya lagi, "Adakah dia berpesan apa-apa?". Isterinya menjawab, "Ya, dia menyuruh aku menyampaikan salam kepadamu dan mengekalkan ambang pintu rumahmu." Ismail berkata, "Orang itu adalah bapaku dan ambang pintu ialah kamu. Dia telah menasihatiku agar aku kekal bersama kamu."

**********************************
Beberapa pengajaran yang boleh didapati daripada kisah ini,

1. Isteri sepatutnya sentiasa menjaga maruah keluarga terutama suami sepanjang masa walaupun semasa ketiadaan suami. (Kerahsiaan rumahtangga)

2. Isteri tidak sepatutnya merungut tentang kehidupan mereka di hadapan tetamu.

3. Bercakap dengan penuh adab dan berlapik. (Nabi ibrahim a.s.)

4. Tidak menceritakan keburukan tetamu yang datang.

5. Isteri perlu banyak bersyukur dengan kehidupan yang ada, kemampuan suami, bukan mengeluh di hadapan otang lain.

2 comments:

NadiaH ManaF @ ナディア said...

penah baca kisah ni masa kecik2 dulu...tapi dulu x penah terpikir plak pengajaran2 ni...:D

~kamilah~ said...

huhuhu